Meskipun teater sama seperti seni persembahan lain seperti bangsawan dan randai yang memerlukan pelakon sebagai pemegang peranan, tetapi pelakon hebat dan popular bukan tiket ia laku dan mendapat sambutan,
Ada beberapa faktor yang perlu diberi perhatian bagi penggiat teater supaya produk mereka mendapat sambutan, bukan teater sendu tanpa penonton dan merugikan penerbit.
Ini kerana ada teater yang mendapat sambutan luar biasa sentiasa penuh dengan penonton walaupun dipersembahkan berhari hari lamanya.
Apa resipi terbaik menarik penonton menyaksikan persembahan teater?
Bagi penggiat seni teater, Siti Rohayah Atan beliau melihat persembahan teater masih menerima khalayak meskipun dikenakan harga tiket yang mahal.
Beliau yang hampir tiga dekad terlibat dalam persembahan teater memberitahu faktor penting adalah naskah yang menarik, ada promosi dan pelakon berbakat
“Tidak bermakna pelakon terkenal hebat, menjanjikan persembahan teater yang menarik khalayak, “ ujarnya kepada Mingguan Malaysia.
Menurutnya teater Lantai T. Pinkie karya Sasterawan Negara Datuk Seri ‘A Samad Said antara yang paling mendapat sambutan meskipun dipentaskan lapan kali setakat ini.
Teater tersebut yang pernah dipentaskan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebelum ini menambat hati penonton meskipun harga tiketnya mencecah ratusan ringgit.
Teater tersebut menampilkan beberapa pelakon popular seperti Datuk Jalaluddin Hassan dan Nabila Huda serta beberapa pendatang baharu dalam seni lakon.
Teater muzikal tersebut diterbitkan Persatuan Teater Malaysia (PTM) dan CTRA Production dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC).
Bagi Siti Rohayah yang juga Pengarah Urusan CTRA Production , meskipun sudah dipentaskan beberapa kali masih ramai sanggup datang menonton dengan harga tiket yang tinggi kerana berasa berbaloi dengan naskah menarik itu.

Tambahan pula seni teater mempunyai peminatnya tersendiri dan mereka yang mementingkan naskhah berkualiti, pasti tidak akan melepaskan peluang untuk menyaksikan persembahan seumpama itu.
Kata Siti Rohayah lagi, pengalaman beliau aktif dalam pementasan teater menunjukkan tidak ada jaminan, populariti pemegang peranan akan menarik penonton berduyun-duyun menyaksikannya.
Beliau memberi contoh beberapa teater tempatan yang dipentaskan sebelum ini juga menarik perhatian antaranya termasuklah Upin Ipin manakala beberapa persembahan teater lain seperti Di Bawah Lindungan Kaabah
Tenggelamnya Kapal Van der Wicjk karya Hamka, Ombak Rindu dan Muzikal Tun Mahathir, Namun, beberapa pementasan teater yang sebelum ini yang dibarisi pelakon popular termasuklah antaranya pelawak, kurang mendapat sambutan.
Justeru katanya, resipi mutlak menarik khalayak menyaksikan teater bukanlah siapa pemegang watak , berapa harga tiket tetapi jalan cerita menarik karya tokoh tokoh tertentu serta promosi yang berkesan.
Apabila teater tersebut mendapat promosi yang hebat, ramai akan sanggup saksikannya meskpun tiket agak mahal.
Ditambah pula, dalam keadaan sekarang pementasan teater banyak menggunakan teknologi terkini termasuklah set pentas dan teknik pencahayaan yang menarik.
Pakej pakej begini mampu menarik perhatian manakala naskah yang terlalu bergantung kepada populariti barisan pelakon berdepan risiko rugi kerana kekurangan penonton.
Resipi menarik khalayak menyaksikan seni persembahan pentas dan wayang, sebaiknya tidak bergantung kepada satu satu elemen sahaja sebaliknya perlu menggerakkan elemen lain seperti naskhah menarik karya individu yang disegani, memerlukan promosi yang berkesan selain populariti pelakon berbakat. – UTUSAN










