Tetamu

Tetamu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mereka bertemu ketika sama-sama memanjat tangga IPT. Pasangan yang menjadi bahan bualan dan cacian warga kampus sedikit masa lalu. Yang menjadi isu kontroversi ekoran kontradiksi ideologi. Akhirnya, mereka berjaya juga melepasi zaman kritikal itu dengan sempurna. Pertembungan yang tidak dirancang tapi berakhir dengan ikatan pernikahan.

Benarnya kata-kata fuqaha, jangan kamu keterlaluan membenci seseorang kerana mungkin nanti dia akan menjadi insan yang paling kau sayang. Sejarah perkasihan mereka agak unik juga. Jarang orang yang tidak sehaluan tiba-tiba boleh bersatu dan bersekongkol pula melayarkan sekoci perkahwinan. Namun itulah hakikatnya.

Setelah puas berbalah diksi, setelah lama berlawan diskusi, akhirnya masing-masing dapat mengenali hati budi dan peribadi. Lalu disatukan dalam ikatan murni. Malah restu kedua belah pihak menjadi batu kilir memupuk rahmah dan titik persefahaman.

Seluruh warga kampus sering memperkatakan watak oposisinya dalam setiap debat. Ironinya, dia dapat pula dialahkan oleh seorang jejaka kampung yang dikenali terlalu low profile dan suka merendah diri. Hingga kini watak Lilad itu telah meresap dan menjelma pula sebagai Alyani baharu!

Epilog cerita, mereka menjadi pasangan debat serasi di kampus dan mewakili varsiti dalam Debat ASEAN. Suatu pencapaian penting universiti di mata akademia nusantara.

Nyata, mereka bukanlah pasangan merpati dua sejoli yang hanya ingin suka-sukaan sahaja menamatkan musim perkasihan. Cepat pula persetujuan diakad dan perancangan ala kadar dijalankan. Bukan kuasa kita mempersoalkan!

Barangkali berkat itu, mereka kini hidup aman damai tanpa ada sebarang pertembungan dan perbalahan idea seperti dijangka ramai. Al-maklum, dua watak yang sering menjadi juara di arena panggang, masakan bisa berkayuh dalam satu sampan dengan tenang. Kata oranglah.

“Bang, mari makan,” sentuhan lembut si isteri mendaratkan memori zaman gemilang di universiti. Lilad buat-buat menggeliat melarikan ingatan di alma matter. Dia hanya teguk air teh o panas dan beberapa butir kurma sahaja ketika iftar tadi.

Lilad beralih ke meja makan. Aroma gulai lemak udang, sambal goreng tempe, dan kerabu serak buatan sendiri kelihatan cukup menyelerakan. Bijak Alyani menggabungkan menu Pantai Timur dengan Selatan untuk mengasimilasikan selera mereka.

“Sakit abang dah okey?” Sambil mencedukkan nasi ke pinggan suaminya. Lilad angguk tanda semuanya telah kembali pulih. Tampak berselera dia memulakan suapan, menambah pula seperti selalunya. Walaupun makan sudah agak lewat, namun belum mengurangkan tabiatnya yang memang agak kuat makan itu. Anak-anak telah Alyani ladeni tadi.

Alyani memang pintar mengatur urusan rumah tangga. Cuma sebagai wanita berkerjaya, dia tidaklah punya waktu yang banyak untuk selalu menyediakan menu. Anak- anak juga amat teruja dan menantikan hari cuti. Bukan untuk berjalan seperti kebanyakan orang, tetapi ingin menikmati resepi ibu.

“Yeay, mama boleh masak hari ini!” Lala yang sudah faham susunan hari itu selalu mengingatkan. Mika dan Tuti tukang sokong. Alyani senyum simpul sahaja melihat gelagat mereka. Senyuman adalah kosmetik sejati dirinya.

Cuti bagi wanita, bukan berehat sebenarnya. Itu masa untuk dia mengikat ahli keluarga dengan hidangan istimewa. Sebagai orang Pantai Timur, dia masakan nuansa Kelantan yang autentik. Nasi dagang kuah ikan aya. Kalau di Johor disebut ikan tongkol. Kalau di utara pula ikan kayu.

Mulanya Lilad kurang lalu juga makan nasi dagang ini. Tapi setelah dicuba beberapa kali, baru serasi. Apa lagi kalau ditambah dengan belimbing buluh pada kuah nasi dagang tu, hm…bertambah-tambahlah lazatnya!

“Mama masak memang best!” Lala tokok selera papa. Itu antara agenda biasa ketika hujung minggu. Bulan puasa ini Alyani tidak mahu lepa layan kehendak suaminya dan anak-anak. Ada sahaja menu baharu yang dicubanya.

Malam mula merangkak menuju magnitudnya. Bulan bundar pascapurnama kian memasuki fasa separa dalam ekologi hayatnya. Tanpa disedari Ramadan sudah hampir menamatkan pusingan. Suatu edaran yang dinanti penuh keriangan atau ditangisi untuk ditinggalkan. Dua isme yang amat berbeda, tapi punya natijah yang serupa.

***
“Ya Allah, abang tertidur, ke?” Regata mimpinya berlabuh di terminal sedar. Lilad terkulat-kulat mengusap mata. Dia berpaling ke arah datangnya suara yang mengejutkannya tadi.

Di sampingnya terpacak Alyani Mastura, isteri yang masih bermukenah membimbit mushaf. Lilad masih belum sempurna sedar. Si isteri ukir senyuman. Dia susun bantal yang berselerak dek tiduran suami yang bersilat entah jurus apa sebentar tadi.

“Kan abang pening kepala tadi. Lepas berbuka dan solat Maghrib, abang terus lena di sini. Mas tak mahu ganggu abang,” kekal lunak dan manja suara si isteri. Lilad bingkas. Matanya melilau-lilau, cuba menggamit kembali apa yang kabur.

Alyani dan anak-anak sudah menamatkan rutin tadarus mereka. Tinggal menanti nakhoda keluarga meneruskan pelayaran bahtera. Hari ini malam Jumaat terakhir sebelum Syawal.

Lilad jenguk jam dinding dan bersegera pula ke bilik air. Tidak sangka pula dia terlena di sofa yang mulanya hanya untuk merehatkan badan kerana serangan migrain yang tiba-tiba tadi.

“Tak apa lewat sikit, kan. Sian anak papa,” katanya kepada puteri sulungnya. Dua lagi insan kecil kelihatan patuh membentang sejadah. Lilad dapat kembali rentak ingatan. Selepas telan Panadol dua biji dan berehat tadi lega sedikit sakitnya.

“Nanti papa jangan lupa lagi rakaat,” usik Mika merujuk kepada peristiwa kelmarin di mana Lilad tertambah satu rakaat ketika solat Maghrib. Lilad buat-buat cemberut. Sudah dua hari dia terpaksa solat di rumah bersama keluarga kerana gangguan medikasi itu. Surau Gong Limau atau Jabur Kubur tidak dilewatinya ketika Isyak.

“Yalah,” jawabnya sambil pipi montel anak itu dicubit sayang. Seusai Isyak mereka langsung solat Tarawih. Memang jadi amalan mereka hanya buat lapan rakaat Tarawih dan tiga rakaat witir sahaja. Apatah lagi dengan simptom itu dan anak-anak yang masih kecil. Cukuplah sebagai latihan.

Tertib dan tenang sahaja ritual yang mereka lakukan, walaupun sesekali Tuti melilau mencilok antara kakak-kakaknya. Merebut keberkatan hujung Ramadan yang banyak barakah itu. Selepas menyalami papa dan mama, kedua anaknya dibawa ke kamar tidurnya. Tuti yang paling kecil Lilad dukung sementara menanti si isteri memberesi baki tugasan di dapur.

***
Dingin menggigit malam. Gebar tebal yang menyelimuti tubuh dikuak perlahan seakan ada yang menolaknya. Momen hening. Di sepertiga malam itu, perlahan-lahan Lilad terjaga. Dia mengumpul sedar dan bermeditasi seketika. Menyorot banyak kisah yang sudah dilewatinya. Membuat restrospektif diri dan merumus koreksi.

Seperti diarah, spontan kakinya melangkah ke bilik air mengangkat hadas kecil. Air yang dingin itu memberi segar mata dan tubuhnya. Dia merayap ke kamar solat, meninggalkan Alyani yang kepenatan pasti.

Seakan membayar kealpaannya melewatkan Isyak, Lilad imbuhkan dengan marathon munajat di hamparan sejadah. Solat sunat tahajud, taubat, dan solat hajat dua rakaat. Dia lunasi pakej qiamulail dengan kompilasi ratib dan zikr.

Kemudian dia tunduk bersimpuh. Dia luahkan keluhan hati di hadapan Rabbul Izzati. Dia lazimi tasbih 100 kali, dia ulang tahmid 100 kali. Dia takbir dan tahlil juga 100 kali. Salawat dan istighfar menyusul 100 kali. Dia muratal empat qul, disusuli dengan ayat Qursi dan ummul kitab.
Malam ini seakan dia ampunya. Kerdip kencana memantulkan sinar melimpahi ardi. Sunyi dini hari seakan menggenggam rasa personik. Sekonyong-konyong lembar ambar berbunga putih terhampar di hadapan meditasinya.

Silir haruman menyelinap ke pelipis hidungnya, bak menumpahkan kewangian mutlak dari graha bejana kasturi. Jalinan batuan aneka warna menjalin dinding di sekelilingnya. Dia lihat percikan arunika dari celahan kristal itu.

Dia hanyut dalam elusan lamunan amat mengasyikan.

Sejak berhijrah ke alam kerjaya ini, jarang dia peroleh waktu paling sesuai untuk mendekati dan berkhalwat dengan-Nya. Sudah lama benar dia tidak merasai nikmat mengamalkan ilmu laduni dan tasawuf yang dipelajarinya di Pondok Haji Lah, Patani.

Lilad merasa nyamannya bak euforia. Perlahan-lahan dirinya memasuki alam malakut dan jabarut yang persis tenang dan pakum. Dia tidak lagi melihat dirinya. Dia tidak nampak lagi rumah dan kamar tempat dia mengajarkan anak-anaknya dengan pelbagai ilmu.

Dia kini berada di alam sunyi yang cukup tenang dan jembar. Dia berada di dasar maqam yang jarang-jarang dirasainya. Kumat-kamit mulut terus melafaz zikir munajat yang semakin lirih dan sayu.

Hening malam terus ditidurinya. Dalam kesunyian itulah desiran halus, diikuti dengan esakan yang lebih keras mula kedengaran. Lelehan air suam dari empangan retina mencurahkan kandungan. Puing-puing cahaya turut sama mendendangkan zikir keinsafan yang berlagu menemani malam Jumaat.

Flora dan fauna bertafakur sama mengikut rentak zikir yang dialunkan. Ketenangan mutlak yang dicapai setelah sekian lama sirna diramahinya penuh tekun. Terasa tidak mahu lagi melepaskan detik taqarub sedemikian.

Rintik-rintik embun jantan turut membeku dek ketakutan pada khaliq yang menciptakan.
Alangkah!

***
Decitan gajet yang setia berdetak mengejutkan lenanya. Sahutan kokokan ayam jantan sayup-sayup kedengaran menusuk cuping telinganya. Tatkala melihat ke sisi, Alyani tersentak kerana si suami tiada di situ. Suami yang selalu didakap atau mendakapnya, kala ini tidak ada di sampingnya.

Alyani bingkas bangun dan menjenguk paparan telefon – waktu untuk imsak. Dia bangun menjenguk kakus. Kemudian keluar meninjau ke kamar solat di ruang sebelah. Sekujur tubuh terbujur sepi di atas sejadah. Berdetak sedikit hati sang isteri.

“Abang…bang…!” Tiada jawapan. Tifa keresahan meniup. Macam-macam tafsir pula bergaung di mindanya. Iyalah, rungut si suami fasal sakit kepalanya selepas iftar masih juga mengganggu ruang fikir.

“Bang,.. bangun bang!” Ulangnya lagi sambil menggerak-gerakkan bahu si suami. Lilad mendengus malas, menunjukkan ada respons dan respirasi. Alyani melepaskan keresahan yang tadinya bersarang di sudut hati. Dia gerak lagi bahu untuk memastikan analogi.

“Abang tidur di sini ke?” Lilad menggenyeh mata beberapa kali. Dalam suram kelam , dia menangkap suara dan wajah si isteri yang masih kusut. Senyum Alyani berbalam dalam kesamaran kamar. Sebaliknya, dia lihat sinar kemilau dari wajah suami.

“Astagfirullah!” Lilad pandang sosok tubuh yang selalu tenang dan reda. Biar tidurnya malam tadi tidak didodoi suami. Biar jemari tiada yang meramas-ramas seperti kebiasaannya. Biarpun malam Jumaat kali ini tidak seperti malam-malam Jumaat selalunya. Alyani terus senyum.

Dia tahu, Lilad tidak berniat membiarkannya terkapar sendiri menghuni kesyahduan malam. Dia tahu suaminya telah menjadi tetamu malam-Nya. Tetamu yang pasti akan dilayan lebih baik daripada layanan seribu bidadari.

Malah itulah antara bilah-bilah momen yang dinanti-nantikan oleh penghuni maya ini. Sebelum Ramadan melunasi itenerari ubudiah yang singkat, harus dihabisi dengan sebaik dan sebanyak mungkin amal. Kita hanya makhluk, tidak terjangkau kehendaknya Khaliq.

Takbir Syawal akan berkumandang sehari dua lagi. Alyani jadi tidak sabar pula untuk meladeni dan menyiapi anak-anak serta suami tersayang dengan khidmat tulusnya. Biarpun tidak sebaik layanan yang diterima insan yang menjadi tetamu-Nya itu.

Dalam samar dia lihat wajah suami terus berseri. Alyani pasrah syukur kerana bersuamikan pria yang dahulu jadi lawan hujahnya di IPT . Walaupun dia bukan alim sangat, bukan ustaz atau terdidik dengan ilmu agama mutlak, namun itu bukan menghalang dia menjadi abid yang mursyid.

Fajar sadiq mula kelihatan memutih di lengkung jumantara. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×