Apabila ‘aunty’ berketurunan Cina menari Inang

Apabila ‘aunty’ berketurunan Cina menari Inang

Cina
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERAK tari Inang yang digayakan sekumpulan wanita aunty Cina ketika berlatih sudah cukup menceritakan minat mereka terhadap salah satu cabang warisan dan kebudayaan orang Melayu.

Satu persatu langkah disusun oleh kumpulan aunty Cina itu dengan gerak mengikut rentak muzik Melayu yang dimainkan.

Sesekali terdengar arahan guru yang melatih, penuh kesabaran dan ketekunan bagi memastikan susunan tarian Inang yang dipelajari tidak sumbang.

Apa yang menarik, segala gerak tari tersebut diajar oleh seorang guru berketurunan Cina, Koo Soo Ming, 64, tanpa rasa kekok.

Dia yang berasal dari Kelantan berkata, semuanya kerana minat mendalam sejak kecil terhadap tarian berkenaan dan persekitarannya yang dibesarkan dalam kejiranan Melayu.

“Saya belajar tarian hanya menerusi cerita-cerita Melayu dan di sekolah menerusi taridra (drama yang dipersembahkan dalam bentuk tarian ) serta universiti. Saya tidak belajar secara formal sebagaimana di universiti lain pada hari ini yang mempunyai silibus dan program sendiri.

“Kemudian apabila sudah tamatkan pengajian, bekerja dan berkahwin, saya berhenti menari sehinggalah berumur 50 tahun. Pada ketika inilah saya membuat keputusan untuk meneruskan minat semula dalam bidang tarian apabila anak-anak sudah besar,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Dia yang pernah bekerja sebagai guru dan editor di beberapa syarikat penerbitan buku berkata, di sinilah bermula kerjayanya sebagai guru tari selepas membuat keputusan untuk bersara.

“Apabila bersara, saya turut menjadi sukarelawan untuk sebuah Persatuan Kanser Kebangsaan Nasional (NCSM). Mereka banyak mengadakan pelbagai acara untuk mengutip dana. Daripada situlah saya terfikir untuk mengadakan persembahan tarian Melayu dan terus mengembangkan minat termasuk mengajar persatuan ini.

“Kemudian Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dalam masa sama banyak membantu kami daripada segi latihan, kostum dan koreografer untuk menjayakan satu-satu persembahan,” jelasnya.

Kelas tarian Soo Ming yang diadakan setiap Rabu di Taylor’s University, Subang Jaya disertai lebih 20 pelajar yang rata-ratanya golongan warga emas berusia antara 60 sehingga 78 tahun.

Beliau sebelum ini turut mendapat bimbingan daripada koreografer tersohor Khairulazhar Mohtar daripada Nyala Dance Theatre. Menurut Soo Ming yang fasih bercakap Melayu, ada sebahagian pelajarnya mempunyai pengalaman dalam bidang tarian sebelum ini, selain ada yang bermula tanpa pengalaman dan hanya menjadikannya sebagai aktiviti masa lapang.

“Tarian Melayu tradisional memang bagus untuk memastikan gerak badan menjadi lebih aktif selain untuk kesihatan minda.

“ Selain itu, pakaian yang digunakan lebih sopan. Jadi sesuai untuk warga emas,” jelasnya.

Tambah Soo Ming, dia mengakui untuk seseorang itu mempelajari seni tari bukan sesuatu yang mudah lebih-lebih lagi bagi mereka yang telah berumur.

Katanya, ini kerana ada sebahagian pelajar yang mempunyai masalah sendi sehingga menyebabkan pergerakan terbatas.

Namun beliau berharap, penari yang terdiri dalam kalangan warga emas tidak disisihkan dan dibantu sama ada daripada segi logistik dan kewangan.

“Kami buat persembahan pun bukan dibayar. Ia untuk mengutip derma dan bersifat kebajikan. Malah kami perlu mengeluarkan duit sendiri untuk membayar kostum dan sebagainya.

“Justeru, saya sangat berharap ada yang sudi membantu agar dapat kami teruskan minat dalam tarian Melayu ini,” katanya.

Dalam pada itu, salah seorang pelajarnya, Kylee Kiew Kong, 78 berkata, dia menyertai sesi kelas tarian di bawah kendalian Soo Ming disebabkan minat selain untuk mempelajari sesuatu perkara baharu dalam bidang tarian.

“Saya percaya, kita perlu menerokai setiap perkara baharu dalam kehidupan, agar dapat menjadikan kehidupan ini lebih bermakna.

“Selain itu, apa yang paling penting kita dapat bersosial bersama rakan-rakan lain sekaligus dapat memastikan kecergasan badan dan kecerdasan otak,” terangnya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya