Pesta kesenian tengah bendang angkat pengkarya, anak seni Perlis - Utusan Malaysia

Pesta kesenian tengah bendang angkat pengkarya, anak seni Perlis

PENGUNJUNG menghayati persembahan kesenian yang diadakan di tengah bendang di Balbuk Haus, Kampung Balik Bukit, Chuping, Perlis, baru-baru ini. - MINGGUAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERLIS tidak kurang dengan kewujudan ramai bakat seni terdiri dalam kalangan anak muda selain mempunyai tokoh-tokoh yang masih terus memperjuangkan kebudayaan dan kesenian negeri ini.
Antara kesenian negeri ini yang cukup popular dan harus dipertahankan adalah seperti Awang Batil, Beduan,Tarian Canggung, Hadrah, Gendang Terinai Selampit, Gendang Perlis dan pelbagai lagi.
Bagaimanapun, kekurangan platform dalam mengetengahkan bakat tersebut khususnya dalam kalangan anak muda membantutkan usaha mengembangkan hasil-hasil karya mereka termasuk dalam bidang muzik serta pelbagai kesenian lain.
Dalam usaha mengangkat pengkarya dan anak seni khususnya di negeri ini, pemilik Balbuk Haus, Ahmad Soffi Abdul Manah baru-baru ini mengambil inisiatif menganjurkan pesta kesenian yang menampilkan ramai anak seni Perlis termasuk dari luar negeri ini.
Uniknya, pesta itu diadakan di tengah bendang yang berlatar belakangkan Bukit Chuping di Balbuk Haus, Balik Bukit, Chuping.
Pengunjung yang hadir dari pelosok negara ini itu bukan sahaja dapat menikmati persembahan kesenian sebaliknya turut merasai kedamaian di kawasan perkampungan yang cukup mempesona itu.
Selain persembahan muzik, pengunjung turut disajikan dengan deklamasi sajak, puisi, persembahan Awang Batil, pameran foto transaksi dan pelbagai lagi.Mereka yang membuat persembahan pada pesta kesenian tersebut terdiri daripada kumpulan muzik Moi Last Von, Nadarasa serta pengkarya-pengkarya hebat lain seperti Farhan Rajuli, Petak Daud, Budi dan Daya, Ali Adenan, Balbuk Kush dan Dee Alhadi.
Ahmad Soffi berkata, penganjuran tersebut mendapat sambutan cukup memberangsangkan daripada peminat seni.
Katanya, kerjasama antara Balbuk Haus bersama Rumah Bahang, Rumah Reka dan Salvo Kafe itu berjaya merealisasikan penganjuran pesta kesenian tersebut.
“Acara meraikan alam dan seni di tengah bendang itu juga menampilkan Awang Batil yang mewarisi khazanah seni rakyat negeri berusia ratusan tahun itu.
“Suasana di sini (Balbuk Haus) sememangnya menjadi lokasi sesuai menjalankan pelbagai aktiviti kesenian berkenaan. Konsep persembahan di tengah bendang ini juga pertama kali diketengahkan.
“Jika di Sarawak ada Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia atau Rainforest World Music Festival, di sini (penganjuran festival kesenian ini) juga kita cuba mengangkat dan memberi platform kepada anak-anak seni negeri ini selain terus mempertahankan kesenian negeri ini seperti Awang Batil dan pelbagai lagi kesenian,warisan dan budaya negeri ini,” katanya.
Tambah Ahmad Soffi, konsep persembahan kesenian di tengah bendang itu juga pertama kali diadakan di negeri ini dan mereka juga mendapat permintaan dari pengkarya-pengkarya agar meneruskan aktiviti seperti ini.
Katanya, di Perlis, terdapat ramai anak muda yang mempunyai bakat besar dalam kesenian dan memerlukan platform untuk mengetengahkan bakat.
“Selain itu, Perlis juga mempunyai ramai tokoh kesenian dan budaya yang harus dipertahankan. Aktiviti kesenian seperti ini secara tidak langsung boleh menjadi platform untuk persembahan-persembahan kesenian ini.
“Insya-Allah usaha seperti ini akan diteruskan selain pihak-pihak bertanggungjawab juga boleh sama-sama membantu dalam mengangkat anak-anak seni melalui plaform aktiviti atau festival kesenian seperti ini,” katanya.
Dalam pada itu, seorang pengunjung, Luqman Hakim berkata, konsep pesta kesenian di tengah bendang itu cukup unik dan jarang diadakan di tempat-tempat lain.
Katanya, antara yang menarik perhatian adalah persembahan seperti Awang Batil dan deklamasi puisi serta sajak selain persembahan sekumpulan anak muda seperti Moi Last Von yang menampilkan irama muzik yang cukup segar dan menyentuh jiwa pendengar.
“Saya lihat pesta kesenian ini cukup baik sebagai platform anak-anak seni ini mengetengahkan bakat mereka dan mungkin boleh diadakan dengan skala lebih besar selepas ini dengan kerjasama pelbagai pihak.
“Inisiatif yang diambil Balbuk Haus menerusi penganjuran itu juga sangat baik malah lokasi berkenaan juga dilihat sangat sesuai diadakan persembahan-persembahan kesenian.
“Di situ kita juga boleh menikmati ketenangan dengan suasana cukup mendamaikan,” katanya.- Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya