Lelaki bertali pinggang putih - Utusan Malaysia

Lelaki bertali pinggang putih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Wah, kacak­nya!” Kede­ngaran suara murid-murid pe­rempuan yang ‘menggeletik’ di siar kaki bersebelahan bilik guru. Aku mentafsirkan bahawa mereka sedang berbicara berkenaan guru baharu yang melapor diri di sekolah kami pada hari ini.
Tiba-tiba pintu dikuak perlahan,
“Assalamualaikum, cikgu.”
Salamnya dibalas seisi penghuni bilik guru. Lantas aku turut mengalihkan pandangan mata pada buku latihan murid 5 Cekal. Kukira bebola mataku tidak bergerak dari situ setengah jam yang lalu. Pen gel berwarna merah diletakkan perlahan.
Bilik guru yang awalnya tadi agak riuh-rendah dengan suara gelak tawa tiba-tiba bertukar suasana 360 darjah. Senyap seperti berada di lokasi perkuburan. Eh, perpustakaan awam!
“Saya kenalkan guru baharu sekolah ini, Cikgu Hafiz Ikhwan. Saya harap cikgu-cikgu di sini dapat memberikan bimbingan dan tunjuk ajar kepada guru ini,” ujar Penolong Kanan Pentadbiran dengan nada lembut tetapi masih berbaur tegas.
Permintaannya kami balas dengan senyuman. Kami pasti ‘ajar’ guru ini. Garis senyuman sinis di hujung bibir masing-masing. Bergurau.
Setelah wanita yang tegas itu keluar dari kamar guru, aku kembali menyambung tugas menanda karangan murid. Semakin dibaca semakin berselirat otak untuk memahami setiap bait kata yang diterjemahkan oleh murid kelas peralihanku ini. Nafas keluhan dihela perlahan.
“Cikgu, minumlah,” kata guru baharu itu.
Minuman kotak berjenama Farm Fresh berperisa kopi diletakkan di hadapanku. Aku sambut dengan ucapan terima kasih. Aku kira itu adalah bentuk perkenalan pada hari pertama sebagai rakan sejawatan. Pada kotak minuman itu tertulis, eyes wide open memberikan petunjuk ingin menghulurkan pertolongan dalam menahan dedaun pintu irisku daripada terlena.
Kringggggg. Loceng berbunyi.
Dua murid perempuan beruniform biru gelap sudah menanti di depan meja untuk membantuku mengangkat segala buku ke kelas. Akhirnya air kopi itu belum sempat kucicip namun kusempat berbalas senyuman ikhlas sebelum mengatur langkah keluar.
Sebenarnya banyak persoalan yang ingin kuajukan pada guru baharu itu. Wajahnya seperti pernah hadir dalam wayang garis masaku. Bila? Tidak dapat kupastikan tarikhnya. Pertanyaan demi pertanyaan yang bersilih ganti datang kubiarkan seperti angin lalu. Bahkan dibalas dengan jarum masa yang seolah-olah menepuk bahuku dengan kasar. Lain kali sahajalah kita beramah mesra. Aku meminta diri segera lalu berlalu menuju ke kelas.
Hari demi hari berlalu pergi, penggal persekolahan semakin berakhir. Para guru sudah tidak sabar-sabar untuk memulakan cuti penggal mereka pada minggu hadapan.
Manakan tidak. Berbulan-bulan lamanya mereka dihimpit agenda sekolah yang tidak berkesudahan. Dari aktiviti sukan, perkhemahan, karnival, bengkel, ujian sumatif dan lain-lain tergalas di pundak bahu para guru sejak awal sesi persekolahan yang lalu. Penat. Sudah pasti.
Guru baharu bernama Hafiz masih lincah di padang sekolah sambil mengutip sampah sarap yang sengaja ditinggalkan oleh sebahagian murid usai acara akhir, iaitu acara penyampaian hadiah.
Walaupun kepalanya bertutup dengan topi, kelihatan kulitnya seperti udang yang dibakar sehingga hangit sedangkan awal dahulu wajah kecinaannya serasi dengan warna kulit yang kuning langsat. Kukira boleh dikatakan seiras pelakon Korea terkenal, Park Seo Joon sehingga merembeskan hormon estrogen murid perempuan dari sekolah kami setiap kali memandangnya.
Aku melambai ke arahnya dari khemah peserta. Urat-urat timbul dari lengannya sudah cukup menggambarkan keringat dan cemerkapnya dia dalam menjalankan tugas. Dari memotong rumput di padang, membuat garisan larian hinggalah menguruskan peserta-peserta untuk acara sukan. Aku kagum dengan semangat dan usahanya.
“Terima kasih, Hafiz sebab banyak tolong saya mengurus pasukan rumah merah untuk sukan kali ini”.
“Sama-sama, cikgu.”
“Tak perlulah awak nak berbahasa cikgu dengan saya. Panggil sahaja, kak.”
“Tak boleh, cikgu ialah cikgu saya,” katanya.
“Saya tahu awak bekas murid sekolah ini. Tapi saya tak pernah ajar awak pun. Saya ok sahaja dengan panggilan kak. Mungkin kita akan lebih berasa selesa untuk bekerja bersama.”
Hafiz tersenyum. Tiba-tiba dia bersuara,
“Cikgu ingat tak 10 tahun lalu, cikgu ada berikan tali pinggang pada seorang murid?”
Aku cuba mengimbas kembali. Kening dikerutkan. Mataku dikecilkan. Ternyata memori tuaku gagal mengingat perkara yang ingin disampaikan olehnya.
“Sayalah budak itu. Cikgu Hanis minta saya berterima kasih kepada cikgu pada ketika itu. Tali pinggang berwarna hijau itu pun masih saya simpan rapi.”
Oh! Barulah aku teringat teguran daripada cikgu disiplin yang berusia separuh abad pada ketika itu.
Katanya, “Mira, lain kali awak tak boleh buat macam ini lagi ya. Nanti saya bimbang budak-budak lain akan ambil kesempatan untuk melanggar disiplin.”
Sebenarnya bukanlah niatku untuk menyokong seorang remaja yang sengaja memakai tali pinggang putih ke sekolah.
Aku dihimpit rasa hiba tatkala menyaksikan tali pinggang murid itu dirampas oleh Cikgu Hanis yang berbadan gempal itu. Ketika itu, kelihatan murid itu tidak membantah kata-kata guru disiplin yang memarahinya.
Kulihat dia juga sedang tundukkan kepalanya sambil memegang pinggang seluarnya dengan genggaman tangannya yang kecil. Lantaran bimbang kemungkinan seluarnya akan terlondeh, aku bergegas ke koperasi sekolah untuk mendapatkan tali pinggang baharu untuknya.
Malangnya, sebaik sahaja urusan jual beli selesai, murid itu sudah hilang dari radar penglihatanku. Oleh sebab itulah, aku menyerahkan tali pinggang itu kepada Cikgu Hanis untuk membantuku mencari murid itu.
Tidak kusangka bahawa hari ini murid kecil itu berada di depan mataku. Tawaku gempita setelah cerita itu dapat diimbas kembali. Masya-Allah. Bagaimana murid yang dahulu kelihatan sungguh polos, kecil dan rendah sudah meninggi lebih 30 sentimeter daripadaku dalam masa ‘sekelip mata’.
Sungguh tidak kusangka. Pemberian kecil daripadaku dibalas dengan pertolongan yang luar biasa saat kudrat kuterbatas mengerjakan segala tugasan hakiki sebagai pendidik.
‘Semoga Allah merahmati kehidupanmu, mempermudah urusanmu dalam menjadi suri teladan dan pendidik unggul buat generasi yang akan datang, Hafiz Ikhwan’, doaku dalam kalbu.
Kemudian, kami terdiam mengingati kenangan silam sambil mempamerkan garis senyuman di bibir. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.