Noi - Utusan Malaysia

Noi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Satu
JALAN ke Kampung Puteri Warisan berdebu sekarang ini. Setiap hari begitulah yang berpunca dari lori keluar masuk membawa bahan-bahan binaan dan pekerja ke tapak pembinaan.Nek Awa berjumpa pengawal keselamatan pintu masuk kawasan tapak pembinaan itu.
“Aku datang ke sini nak cakap sikit pada kau,Maniam,” ujar Nek Awa .
“Pasal apa?” tanya Maniam. “Sekolah ini bila siap?” soal Nek Awa.
“Kenapa?” balas Maniam.
“Aku nak sekolahkan cucu aku di sekolah ini,” balas Nek Awa.
“Kenapa tak sekolah cucu kamu ke Sekolah Kebangsaan Puteri Warisan?” tanya Maniam.
“Kata Guru Besar sekolah tu, cucu aku tu tak layak,” jelas Nek Awa.
Nek Awa berjalan pulang. Apabila sampai di rumah, Musa dan cucunya Noi sudah menunggunya.
“Masuklah dulu ke dalam rumah,” pelawa Nek Awa berbasa-basi.
“ Noi ini, tak putus-putus mulutnya nak ke rumah neneknya,” ujar Musa.
“Iyalah, masa Noi dilahirkan, siapa yang jaganya. Aku ni, sebab itulah Noi tu rapat dengan aku,” balas Nek Awa.
“Agaknya mak ada baca ayat-ayat pengasih pada makan minum Noi, sebab itulah tak boleh duduk diam dalam rumah, asyik-asyik nak ke rumah mak,” usik Musa. Nenek Awa tersentap dan berpaling pada Musa.
“Mulut kau tu jaga sikit, bila bercakap dengan aku gunakan akal. Kau tu bercakap dengan aku. Ibu kandung kau. Aku masih kenal dosa dan pahala,” ujar Nek Awa. Dia yang menjangkau usia 70-an itu menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Aku pula yang rasa risau nasibnya, Musa…entahlah apa jadi nasibnya masa depan kalau aku tak ada,” tambah Nek Awa sebak.
“Kamu perlu sekolahkan Noi, berikan peluang sama rata yang kamu berikan kepada anak-anak kamu yang lain, Laila, Ijam dan Fatin,” terang Nek Awa.
“Tak lama lagi, bila sekolah komuniti siap dalam kampung kita ini, Noi bolehlah sekolah di situ,” tambah Nek Awa.
“Musa hairanlah mak ini, beria-ia sekolahkan Noi ke Sekolah Pendidikan Khas tu kenapa? Noi itu anak Musa bukannya anak mak. Anak mak, Musa ini,” perli Musa.
Noi tunduk. Perasaannya semakin sebak apabila Musa dan ibunya, Leha tidak menyayanginya kerana dilahirkan sebagai anak lembam. Hanya pada Nek Awa tempat Noi bergantung kasih.
“Aku nak kau sekolahkan Noi di sekolah program Pendidikan Khas, sekolah itu ada guru mahir mendidik kanak-kanak seperti Noi itu,” balas Nek Awa.
“Kalau mak hendak sangat bawa Noi ke sekolah program Pendidikan Khas itu, mak sendirilah urus daftar sekolah tu, Musa tak mahu masuk campur,” ujar Musa.
“Sudahlah, bercakap dengan mak tak pernah menang, asyik mak saja betul,” balas Musa dan menghidupkan motosikalnya.
Noi masuk ke dalam rumah. Tidak lama kemudian, Latif Bogiba masuk ke laman rumah Nek Awa.
“Saya nak pesan tapai pulut 100 biji Mak Awa, ada kenduri aqiqah cucu saya minggu ini,” ujar Latif Bogiba.
“Bila kamu nak ambil atau nak aku hantar ke rumah kamu?” soal Nek Awa.
Latif Bogiba berpaling pada Nek Awa. “Mak Awa nak hantar gunakan apa?” tanya Latif Bogiba. “Aku gunakan basikal nanti,” balas Nek Awa.
“Tak payah, Mak Awa…saya datang ke rumah ambil sendiri.Telefon saya bila tapai dah siap. Ini nombor telefon saya,” ujar Latif Bogiba.
“Noi tolong Nek Awa ambil telefon Nenek Awa di atas rak tu,” ujar Nek Awa.
“Baik, Nek Awa,” balas Noi.
“Buatlah ‘missed call’ nombor kau tu,Latif. Nanti bila tapai tu dah siap aku minta Noi telefon kau,” ujar Nek Awa. Latif Bogiba yang berusia 40-an itu sempat mengerling ke arah Noi.
“Saya pulang dulu,Mak Awa,” ujar Latif Bogiba.

Dua
“Bila Adik nak sekolah, nek?” tanya Noi yang berbahasa dirinya Adik pada Nek Awa.
Nek Awa kasihan pada Noi yang ada keinginan ke sekolah. Sayangnya, keinginannya itu dimatikan oleh Musa. Pagi itu Nek Awa ke Sekolah Kebangsaan Puteri Warisan bersama Noi.
Kalau boleh Nek Awa mahu merayu supaya ‘menumpangkan’ Noi sementara waktu di sekolah itu hinggalah bangunan sekolah komuniti itu siap.
Nek Awa berjumpa pengawal keselamatan sekolah sebelum menuju ke pejabat Guru Besar Sekolah Kebangsaan Puteri Warisan.
“Boleh saya jumpa Guru Besar sekolah ini,” ujar Nek Awa. Seorang Guru Penolong Hal Ehwal Murid (HEM), Cikgu Normala membawa Nek Awa dan Noi ke pejabat Guru Besar. Setelah bertanya khabar, Nek Awa memperkenalkan Noi pada Puan Maimunah.
“Ini cucu saya, Puan,” ujar Nek Awa. Puan Maimunah menyemak rekod kehadiran Noi yang berada di depannya.
“Noi Binti Musa, kanak-kanak ini pernah bersekolah di sini, tiga bulan lalu,tapi Noi berbeza dengan kanak-kanak lain, Noi lemah dalam menulis, membaca dan mengira,” ujar Puan Maimunah, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Puteri Warisan.
“Nanti saya dapatkan penjelasan dari Cikgu kelasnya,1 Cempaka,” ujar Puan Maimunah dan mendapatkan khidmat Malek, pembantu pejabat mencari Cikgu Maisarah, guru kelas 1 Cempaka.
“Baik puan,” jawab Malek dan berjalan ke Bilik Guru.
Apabila sampai ke Bilik Guru, kelibat Cikgu Maisarah tidak kelihatan. Mungkin Cikgu Maisarah tidak ke sekolah hari ini kerana cuti sakit. Fikir Malek.
“Nak cari siapa?” soal Cikgu Murni. “Oh, nak cari Cikgu Maisarah?” balas Malek.
“Tadi dia ada.Tunggu sekejap. Dia ke bilik air,” jawab Cikgu Murni.
Melihat Cikgu Maisarah keluar dari bilik air, Malek segera mendapatkannya.
“Guru Besar nak jumpa,” ujar Malek.
“Ada apa Malek?” soal Cikgu Maisarah.
“Ada seorang nenek membawa seorang kanak-kanak berjumpa Guru Besar,” ujar Malek.
“Oh, baiklah,” balas Cikgu Maisarah.
Dalam perjalanan ke pejabat Guru Besar, Cikgu Maisarah cuba mengingatkan murid Tahun 1 tersebut. ‘Mungkinkah Noi?’ Fikir Cikgu Maisarah.
“Ini dia, Cikgu Maisarah, Guru Darjah Noi,” ujar Puan Maimunah memperkenalkan guru itu kepada Nek Awa.
“Awak ‘kan yang membawa murid ini berjumpa saya baru-baru ini,” ujar Puan Maimunah.
“Betul Puan,” balas Cikgu Maisarah.
“Oh, Noi…murid ini ada masalah sosial, Noi boleh bercakap tetapi tak jelas biji butir dicakapkannya itu. Selain itu, Noi tak ada ‘eye contact’ ketika bercakap dengan cikgunya, tak faham arahan yang diberikan guru dan tak boleh berdikari pergi ke tandas,” ujar Cikgu Maisarah panjang lebar.
“Maksudnya,murid-murid yang lain itu boleh buat, cucu saya ini tak boleh buat?” soal Nek Awa.
“Benar. Kalau di sekolah aliran perdana ini, Noi memang tak sesuai sekolah di sini,” balas Cikgu Maisarah.
“Sekolah mana pula Noi lebih sesuai,Cikgu Maisarah?” soal Nek Awa.
“Noi lebih sesuai ke sekolah pendidikan khas” sampuk Puan Maimunah.
“Betul juga pandangan dari Cikgu Maisarah, saya bimbang kalau Noi terus bersekolah di sini, Noi akan dibuli pelajar-pelajar lain yang mengambil kesempatan atas dirinya yang ‘tercicir’ itu,” terang Puan Maimunah.
“Noi lebih sesuai ke sekolah program khas,” tambah Cikgu Maisarah.
“Tapi, nak sekolah program khas itu, ada syarat-syaratnya, Mak Cik,” ujar Puan Maimunah.
“Apakah syarat-syaratnya, Cikgu?” tanya Nek Awa.
“Ibu bapa atau penjaganya perlu kenal pasti di mana kelemahan dan kelebihan anaknya. Pihak sekolah itu akan menjalankan ujian IQ terlebih dulu dan ujian-ujian lain untuk mengesahkan kelemahannya,” ujar Puan Maimunah.
Seterusnya, Puan Maimunah menjelaskan kanak-kanak yang mempunyai IQ rendah kurang sesuai di tempat di sekolah biasa. Kanak-kanak seperti ini juga tidak sesuai untuk ditempatkan di sekolah program pendidikan khas.
“Kalau begitu puan, kanak-kanak yang mempunyai IQ yang rendah ini, ke mana pula dia ditempatkan?” soal Nek Awa.
“Mereka lebih sesuaikan ditempatkan di sekolah-sekolah yang mempunyai kemahiran,” tambah Puan Maimunah.
“Terima kasihlah atas penjelasan dari Puan Maisarah dan Puan Maimunah,” ujar Nek Awa lalu berjalan pulang sambil memimpin tangan Noi. Nek Awa membatalkan rayuannya untuk menumpangkan Noi di sekolah itu.
“Perut ‘Adik’ dah lapar ni, Nek Awa…Adik nak makan nasi,” ujar Noi.
“Ayuh, kita jalan kaki ke warung Wak Junus,” ujar Nek Awa.
“Warung Wak Junus tak ada nasi dan jual lauk. Warungnya cuma ada jual sup tulang dengan roti Benggali,” balas Noi.
“Kita makanlah sup dengan roti Benggali dulu, petang nanti nanti nenek masak,” ujar Nek Awa.
“Baiklah,” balas Noi.

Tiga
Apabila sampai ke warung Wak Junus, pelanggannya yang datang semakin ramai.
“Dari mana Awa dengan cucu tu?” sapa Tuk Penghulu Kahar.
“Eh, Tuk Penghulu pun ada di sini. Saya dari Sekolah Kebangsaan Puteri Warisan,” balas Nek Awa.
“Kenapa tak sekolah hari ini, Noi?” tanya Tuk Penghulu Kahar. “Nak sekolah apa, Tuk Penghulu? Sekolah tak mahu terima cucu saya ini,” ujar Nek Awa. “Kenapa?” soal Tuk Penghulu Kahar.
“Kanak-kanak lembam macam Noi lebih baik dihantar ke sekolah pendidikan khas,” balas Nek Awa.
“Saya nak minta tolong dari Tuk Penghulu Kahar, nak sekolahkan Noi. Saya tak mahu Noi tercicir dari segi pelajarannya,” ujar Nek Awa.
“Nantilah saya bincangkan dengan YB Rahmad, ADUN Kampung Puteri Warisan ini,” ujar Tuk Penghulu Kahar.

Empat
Nek Awa sudah mula mengajar Noi mengenal huruf menggunakan buku kanak-kanak sebaya dengan usianya.
“Susah mengajar kamu ni, pangkal dapat…hujungnya pula lesap,” rungut Nek Awa apabila abjad yang diajar lupa daripada ingatan Noi. Nek Awa bersabar dengan kerenah Noi itu.
“Bila ‘Adik’ boleh bersekolah, nek?” tanya Noi.
“Noi suka pergi sekolah?” soal Nek Awa.
“Suka,” balas Noi sambil ketawa ceria.
“Nanti sekolah komuniti itu siap, Noi boleh sekolah di situ,” ujar Nenek Awa.
Tiba-tiba ada bunyi hon motosikal di luar rumah.
“Malam Jumaat depan ada kenduri di surau Kampung Puteri Warisan. Ada majlis bacaan yaasin dan doa selamat untuk projek sekolah komuniti yang sudah siap tu, kamu datanglah Awa, bawa cucu kamu tu, aku dah maklumkan kepada YB Rahmad, wakil rakyat nak jumpa kamu selepas majlis itu nanti,” ucap Tuk Penghulu Kahar.
“Alhamdulillah,Tuk Penghulu…Awa sumbangkan 100 bungkus tapai pulut pada majlis tu nanti,” ujar Nek Awa. “Baiklah,” balas Tuk Penghulu Kahar.
“Aku jalan dulu, Awa…nak ke rumah Imam Sayuti, dialah yang mulakan bacaan yaasin dan bacaan doa itu nanti,” tambah Tuk Penghulu Kahar.
Nek Awa membuat tapai pulut bersama Noi yang dipesan oleh Latif Bogiba.

Lima
Usai majlis kenduri pada malam itu,Tuk Penghulu Kahar meminta YB Rahmad yang memakai songkok dan berbaju Melayu serta bersampin untuk menyampaikan sepatah dua kata di majlis itu.
“Ni-lah, Awa dan ini cucunya Noi pernah saya ceritakan pada YB,” ujar Tuk Penghulu Kahar.
“Kita dah sediakan guru-guru bertauliah pendidikan khas di sekolah komuniti kampung kita ini, bawalah cucu Mak Cik berdaftar di sekolah itu nanti,” pesan YB Rahmad.
“Terima kasih,YB,” balas Nenek Awa sebak. – MINGGUAN MALAYSIA

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.