Filem sejarah: Mahu ikut realiti atau kehendak hiburan? - Utusan Malaysia

Filem sejarah: Mahu ikut realiti atau kehendak hiburan?

(Dari kiri) Azlim Ibrahim, Prof. Emeritus Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh, Daniyal Kadir dan A. Wahab Hamzah sebagai panel pembicara forum.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Melihat sahaja posternya, saya terus menjangka penganjuran forum ‘Fiksyen Bukan Sejarah’ ini pasti bertolak daripada fenomena filem sensasi ‘pecah panggung’ Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan (MKKP).
Di sepanjang mengikutinya yang berlangsung kira-kira dua jam di Pawagam Jalan Ampas, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) pada 4 Oktober lalu, panel pembicara dan moderator forum memang lebih banyak membincangkan soal MKKP. Namun demikian, itu tidak aneh kerana penganjurnya adalah Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem, ASWARA. Ahli panelnya, iaitu Prof. Emeritus Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh, A. Wahab Hamzah, dan Daniyal Kadir juga sudah sinonim dengan perfileman tanah air.
Moderatornya pula ialah Pensyarah ASWARA, Azlim Ibrahim yang sangat cenderung dengan perfileman. Meskipun beliau sendiri tidak melupakan pesanan urus setia forum agar perbincangan turut menyentuh genre selain perfileman, tetapi MKKP begitu mempengaruhi.
Namun demikian, keadaan itu tidak juga menjadi kesalahan kerana penganjur dan ahli panelnya lebih ‘mesra filem’. Cuma, oleh kerana isu dan judul forum bersifat umum, seimbangkanlah dengan fiksyen bukan sejarah karya lain.
Justeru, malah mujur juga ada dalam kalangan peserta yang membangkitkan peristiwa lalu atau sejarah difiksyenkan dalam lirik lagu dan sajak. Ada pula seorang peserta lain yang membawa genre novel dan cerpen, berkaitan dengan teori penulisan karya tersebut.
Antara lagu berkaitan disentuh adalah Tragedi di Utara (Sasterawan Negara Allahyarham Datuk Dr. Usman Awang/Kopratasa), Balada Seorang Gadis Kecil (Allahyarham Zubir Ali), dan Masirah (S Amin Shahab/Datuk M Nasir). Walaupun mengakui kurang arif dengan soal lagu, tetapi Wahab yang juga bekas Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, penulis dan pengkritik filem tetap memberikan pandangannya apabila menyentuh soal prosaik dalam karya itu.
Wahab yang menjadi pensyarah sambilan di ASWARA, turut memberikan contoh kumpulan puisi Sasterawan Negara Datuk Seri Dr. A Samad Said, iaitu Al-Amin, yang membawakan keperibadian dan sejarah hidup Rasulullah SAW. Beliau sendiri pernah mengadaptasinya ke muzikal di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Timbul juga persoalan daripada salah seorang peserta forum apakah filem MKKP tidak boleh dimaafkan kerana perfileman negara seperti telah jumud dengan kisah klise seperti keruntuhan keluarga, percintaan dua darjat, dan penyalahgunaan dadah sejak sekian lama.
Apabila muncul filem dengan corak cerita berlainan seperti MKKP, kata peserta itu, ia menerima kecaman pula. Tambahnya, tidakkah pengkritik filem boleh bertoleransi dalam aspek tema cerita MKKP kerana mesej cerita paling penting?

Barisan pelakon (dari kiri) Fattah Amin, Beto Kusyairy, Datuk Adi Putra, Yayan Ruhian dan Johan Asari pada tayangan perdana filem Mat Kilau- Kebangkitan Pahlawan di GSC Starling Mall, Petaling Jaya, baru-baru ini. MINGGUAN/FARIZ RUSADIO

Menjawab pertanyaan tersebut, Daniyal mengatakan tidak timbul soal filem MKKP boleh dimaafkan atau sebaliknya kerana kejayaan mengutip RM97 juta menjadi petanda ia diterima, dan dimaafkan.
Sebelum itu, Daniyal menyebut soal penciptaan kamera yang bertujuan merakamkan peristiwa sebenar atau realiti. Kemudian, tambah pengkritik filem dan penulis itu, bahan rakaman berubah dari realiti kepada rekaan atau fiksyen.
George Eastman (12 Julai 1854-14 Mac 1932) ialah pengasas syarikat Eastman Kodak dan mencipta filem gulung, yang membantu membawakan fotografi kepada orang ramai.
Filem gulung juga menjadi asas kepada penciptaan filem gambar bergerak (movie) pada 1888 oleh pembuat filem pertama di dunia, Louis Le Prince yang beberapa tahun kemudian pengikut beliau seperti Leon Bouly, Thomas Edison, Lumiere Brothers, dan Georges Melies teruskan.
Memfiksyenkan sama ada sejarah kerajaan atau tokoh hampir tidak berbeza dengan pengadaptasian. Justeru, banyak yang boleh difiksyenkan ke filem.
Dalam hal ini, Wahab menyatakan sejarah juga perlu dicantikkan dan mempunyai nilai hiburan agar ditonton orang. Apa erti filem, jika tiada penonton. Mengenai MKKP yang 60 peratus difiksyenkan, katanya itu mengikut kehendak hiburan.
“Jika tidak mahu unsur atau nilai hiburan, lebih baik menonton filem dokumentari yang dalam hal ini, dokumentari Mat Kilau,” kata Wahab yang turut menyebut filem dari Indonesia arahan Ariffin C Noer (pengarah kegemaran Azkim) mengenai Gerakan September 30.
Wahab turut menyebut filem arahan Allahyarham Tan Sri Jins Shamsudin, Bukit Kepong (1982) yang katanya dihasilkan mengikut sudut pandangan pengarah.
Azlim menambah, Sarjan Jamil (lakonan Jins) sebenarnya mati pada peringkat awal peristiwa lagi, tetapi untuk kehendak-kehendak tertentu filem, beliau dimatikan dengan penuh dramatik pada penghujung cerita.
Ketika Prof. Emeritus Datuk Dr. Wan Hashim dari Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Perta­hanan Nasional Malaysia agak banyak menyebut filem Tan Sri P Ramlee, Daniyal mengambil filem seperti Kembara…Seniman Jalanan (1986), dan Bintang Malam (1992) yang menggambarkan Kuala Lumpur.
Kesimpulannya, barisan panel forum bersetuju fiksyen jangan mengubah atau memesongkan terus sejarah sehingga penonton mengangkat perkara salah, dan tidak wujud. Mereka memberikan contoh filem francais Rambo yang dilakonkan Sylvester Stallone, yang begitu diminati ramai. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya