Apa itu karya pop surrealism? - Utusan Malaysia

Apa itu karya pop surrealism?

Shafiq Nordin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASTI banyak yang tidak tahu apa itu karya pop surrealism termasuk saya.
Termenung seketika ketika pertama kali mendengar nama tersebut kerana apa yang ada dalam fikiran hanyalah kartun komik seperti Gila-Gila, Ujang, Lanun dan Apo? Semua komik ini sudah semestinya cukup popular bagi mereka yang lahir pada tahun 70-an sehingga 90-an.
Mujurlah ada rakan memperkenalkan satu nama yang kini sedang meningkat naik dan dia antara salah seorang kartunis hebat yang menghasilkan kartun berunsurkan pop surrealism.
Shafiq Nordin anak jati Tampin, Negeri Sembilan ini sudah 10 tahun berkecimpung dalam bidang seni dan mempunyai studio di Ara Damansara. Dia yang merupakan antara artis pop surrealism berkata, karya ini bukanlah baharu di negara ini.
“Karya ini disambut baik oleh pencinta dan pengumpul seni. Malah, ia semakin popular kerana mereka bijak menilai seni dalam mencari setiap makna pada karya pop surrealism,” katanya.
Shafiq berkata, pop surrealism diterima baik di negara ini terutama golongan muda disebabkan simbol dan ikon bersifat kontemporari dan sezaman serta berkaitan isu-isu terkini. Di samping itu, penggunaan warna pop yang vibrant dan mudah menarik minat mereka untuk mengetahui lebih lagi tentang karya pop surrealism.
Jelasnya, pop surrealism atau low bow, sebenarnya adalah seni visual yang muncul pada 1970-an menerusi gerakan bawah tanah melibatkan cabang seperti komik dan muzik.
“Ia adalah gabungan antara ikonik simbol, warna pop yang vibrant dengan membabitkan elemen alam menerusi imiginasi, mimpi atau separuh sedar,” ujarnya.
Selepas 10 tahun berkecimpung dalam bidang seni, Shafiq menghasilkan sekitar 300 sehingga 500 karya termasuk lukisan, arca, seni digital dan juga instalasi.Dia menjadikan artis seperti seperti Takashi Murakami, Kaws dan James Jean sebagai idola seni dalam berkarya.
Jelas Shafiq, minatnya mula bercambah sejak di sekolah rendah selepas gemar meniru watak kartun daripada komik dan televisyen seperti dragon ball, digimon dan pokemon.
“Permulaan saya mengenali bidang ini bermula ketika menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang seni lukis dan seni reka di UiTM Shah Alam.
“Saya diajar tentang artis terkenal dalam dunia seni Malaysia seperti Jalaini Abu Hassan, Awang Damit Ahmad, Dr. Suleiman Esa dan Ahmad Syukri Mohemed. Melihat kejayaan mereka membuatkan semangat saya untuk menjadi artis semakin membuak-buak,” ujarnya.
Shafiq dalam masa sama berharap, industri seni itu maju dan mampu menganjurkan pameran seni berskala besar di peringkat antarabangsa.
“Ia secara tidak langsung akan membuka peluang artis tempatan lebih dikenali di peringkat antarabangsa dan wujud persaingan positif di antara artis tempatan dan antarabngsa,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, artis tempatan perlu lebih berani mengolah idea dan medium baharu untuk berkarya dengan tidak terikat pada karya konvensional semata-mata. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.