Cerita can mali can - Utusan Malaysia

Cerita can mali can

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI beranda rumah dua tingkat itu, Hassan tidak mempedulikan andaian salah seorang remaja yang berkumpul di situ. Bagi Hassan bukan penting sama ada kambing berbulu dan bertanduk emas itu berpuaka atau tidak.
Hassan bercerita lagi tentang kejadian berpuluh-puluh tahun dahulu. Cerita tiga pemuda kampung berhasil mengepung dan mencekup serentak kambing emas itu. Mereka mencempung kambing emas itu dan menambatnya di sepohon pokok jambu susu yang redup. Seredup sorot mata Hassan sekarang ini, merenung penuh harapan ke sekumpulan remaja di depannya.
Hassan terus bercerita tentang pokok jambu susu itu tidak berjauhan dari balai raya kampung. Walaupun ketika itu belum muncul teknologi komunikasi tanpa sempadan. Namun cerita-cerita pelik begitu tersebar cepat ke setiap pelosok kampung.
Hassan bersama penduduk kampung berasak-asak ke perdu pokok jambu susu. Seperti semangat dan keinginan di dada Hassan berasak-asak untuk melihat sendiri kambing emas yang dikatakan amat aneh. Sebaik sampai di pokok jambu susu, kelihatan Tok Abu, Penghulu Murad dan Lebai Hud lebih awal berada di balai raya.
Terdengar riuh mereka bersilat lidah memastikan siapakah begitu handal mencekup kambing emas yang menjadi buruan dan rebutan? Jawapan diterima mengecewakan. Rupa-rupanya pemuda-pemuda yang dikatakan handal, salah seorang daripadanya adalah pesilat dari gelanggang Tok Abu, seorang lagi pengikut dari markas Penghulu Murad dan juga seorang makmum dari madrasah Lebai Hud.
Kejayaan tiga pemuda itu mendapatkan kambing emas yang tiba-tiba menjelma di belukar kampung, tidak dengan cara bersepakat. Tetapi, kebetulan semata-mata. Tanpa membiarkan masa berlalu lebih lama, tiga manusia berpengaruh itu bertegang urat lagi. Mereka tidak menghiraukan tentang keturunan atau anutan. Bertelagah dan bertelingkah. Masing-masing mendakwa, dia paling layak menjadi tuan punya kambing emas.
Hassan tidak terlupa di ketika itu, Ah Nam tiba-tiba memberikan buah fikiran bagi menyelesaikan masalah. Pandangan Ah Nam bukan sahaja disetujui oleh Ramu malah seluruh penduduk kampung, termasuk Hassan. Tiada seorang pun membantah cadangan Ah Nam. Memandangkan ramai bersetuju dengan cadangan tersebut, akhirnya tiga orang berpengaruh besar di kampung terpaksa mengalah.
Setelah diadakan undian, ramai yang memilih Hassan sebagai pengembala kambing emas yang istimewa itu buat sementara. Memandangkan senja masih jauh. Beberapa pemuda bergotong-royong menyiapkan kandang yang kemas berdinding, berbumbung dan berpelantar.
Ya! Seperti kandang kambing lain, pelantar memang diperlukan untuk kambing-kambing menyelamatkan diri sekiranya air melimpah di tanah. Hassan menyaksikan kemahiran pemuda-pemuda kampung bertukang. Hassan cukup kagum! Tetapi rasa kagum dalam diri Hassan berganti hambar. Kemahiran mereka bertukang itu dan ini sering dipergunakan untuk kepentingan pengaruh pihak tertentu semata-mata.
Bersesuaian dengan cadangan Ah Nam, Hassan bersedia menjaga kambing emas itu selagi belum ditetapkan siapa tuannya. Setiap pagi dan petang Hassan ke kebun kelapa sawit. Selepas meminta izin tuan kebun, Hassan mengait daun kelapa sawit. Kesat kulit pokok kelapa sawit, sesekali bergesel ke kulit Hassan, terasa sedikit sakit.
Namun sakit itu bukan pematah hasratnya memberikan kambing mengunyah daun kelapa sawit. Memang daun kelapa sawit antara makanan kegemaran kambing. Jika tidak sempat, Hassan meredah belukar mengambil daun pisang hutan tumbuh liar. Kambing juga suka mengunyah daun pisang. Hassan bukan baru sehari menjaga kambing. Sekalipun daun-daun pisang dikutipnya cepat layu, namun tanggungjawab Hassan memastikan kambing-kambingnya terus kenyang, tidak pernah layu. Bukan hanya menjaga kambing emas itu semata-mata. Malah Hassan menternak berpuluh ekor kambing baka katjang yang lebih lasak.
Memang sudah rutin. Selang beberapa hari, Ah Nam membekalkan rumput gajah ke kandang kambing di sekitar kampung. Ah Nam telah mengusahakan ladang rumput gajah yang cukup luas sejak bertahun-tahun. Rumput gajah adalah makanan paling berkhasiat kepada baka kambing. Dapat menghasilkan kambing yang lebih banyak daging daripada tulang. Hanya mereka berkemampuan boleh membeli rumput gajah. Selama menjadi pengembala, Hassan hanya berupaya memberikan daun kelapa sawit atau daun pisang kepada baka kambing-kambing katjang ternakannya. Hassan mana ada wang untuk membeli rumput gajah.
“Aiyaa… Can! Kita kasi lebih rumput gajah! Can boleh bagi kambing-kambing lain makan juga.” ujar Ah Nam, lidahnya belum fasih menggunakan bahasa asal penduduk kampung. Tetapi itu yang dikatakan Ah Nam setiap kali membawa guni rumput gajah yang dikhaskan buat kambing emas yang seekor itu. Hassan tersenyum, rasa bertuah juga menjadi penjaga sementara kambing yang istimewa. Boleh kambing-kambing katjang ternakannya tumpang mengunyah rumput gajah yang berzat. Bayaran rumput gajah buat kambing emas itu dilangsaikan oleh Tok Abu, Penghulu Murad atau Lebai Hud secara bergilir-gilir. Apa dihairankan, tiga orang itu memang banyak tanah dan ladang. Pendapatan hasil padi dan buah-buahan selalu berlipat-ganda untung. Tambahan Lebai Hud, bukan Hassan sahaja tahu. Semua orang tahu. Bayaran diterima lebai itu hasil mengajar mengaji di madrasah, terlalu memewahkan hidupnya.
Selang dua minggu sekali, Ramu dan beberapa orang suku-sakat yang muda belia masuk ke kandang-kandang kambing di kampung. Mereka mengaut tinja-tinja kambing. Tinja-tinja itu, Ramu beli daripada orang kampung.
Hassan pernah ke bengkel Ramu dan melihat bertimbun longgokan tinja kambing di situ. Menimbun rasa kagum Hassan menyaksikan betapa rajin pekerja di bengkel itu menghentak tinja-tinja kambing sehingga terpenyek dan padat. Kemudian tinja-tinja terpenyek dijemurkan bawah percik terik matahari. Pekerja Ramu mengisar tinja kering dengan alat pengisar buluh sehingga jadi serbuk.
Hassan tidak pernah bertanya, tetapi Ramu yang menceritakan. Tinja-tinja yang bertukar serbuk akan digaulkan dengan habuk sabut kelapa sawit dan kapur makan. Tujuannya untuk menukarkan tinja-tinja itu menjadi baja yang tidak lagi berbau hamis. Baja daripada tinja kambing merupakan baja yang sesuai dengan semua jenis tanaman, begitu pengakuan Ramu. Di bengkel itu juga pekerja Ramu mengisikan baja tinja kambing ke karung hitam sebelum menjualkannya kepada penduduk kampung.
Ia berbeza dengan tinja kambing emas yang seekor itu. Tinja kambing emas agak luar biasa. Langsung tidak berbau hamis, malah semerbak haruman melur. Ramu menghulur wang yang agak banyak kepada Hassan setiap kali selesai mengaut tinja kambing emas. “Can…Jangan risau! Memang Tok Abu, Penghulu Murad dan Lebai Hud suruh aku bayar lebih kepada engkau. Upah engkau jaga kambing emas.” kata Ramu setiap kali membayar harga tinja kambing emas.
Hari ke hari, berganjak bulan ke bulan memasuki tahun ke tahun. Cerita kambing ajaib berbulu dan bertanduk emas merebak ke kampung lain, menembusi ke kota-kota luar dan singgah ke pengetahuan Datuk Bandar. Hassan ingat lagi, beberapa wakil Datuk Bandar melawat kandang kambing emas. Bersama wakil dari kota itu, dibawakan seorang pandai emas. Peranan untuk memeriksa sama ada bulu dan tanduk kambing itu emas tulen. Hasil pemeriksaan si pandai emas, lebih suku daripada bulu-bulu melekat di tubuh kambing itu adalah emas tulen. Hampir separuh daripada sepasang tanduk kambing itu adalah emas padat. Langsung sekali lagi berita tergempar semakin tergempar. Berita itu membolehkan Hassan bersemuka dengan Datuk Bandar yang berhasrat untuk menjadikan kambing itu hakmilik negeri. Datuk Bandar sanggup membayar sebanyak mana pun jumlahnya jika Hassan setuju menjual. Tetapi, Hassan menjelaskan kepada Datuk Bandar, hal begitu mesti mendapat rujukan daripada Tok Abu atau Penghulu Murad ataupun Lebai Hud. Hanya di antara mereka itu bakal menjadi tuan punya kambing itu. Tetapi, Hassan tidak sangka, mereka masih bercakar lidah, masing-masing mendakwa dia yang layak memiliki kambing emas itu dan memperoleh bayaran daripada Datuk Bandar. Mereka tidak sanggup berkongsi walaupun sekupang. Suasana tegang melanda seisi kampung. Hasut-menghasut meluap-luap.
Tidak semena-mena, kambing emas tiba-tiba lesap. Sekalipun pintu kandang terkunci rapat. Hassan tidak pernah membiarkan pintu kandang itu terselak.
Kecoh penduduk kampung, menyusup ke belukar-belukar mencari semula kambing emas. Hassan tahu, mereka tidak menyalahkannya. Mereka sendiri sedar Hassan menjaga kambing emas lebih cermat daripada menjaga kambing katjangnya. Malahan, setiap malam ada wakil daripada gelanggang atau markas ataupun madrasah datang memastikan kambing emas itu dalam keadaan selamat. Tetapi tiada siapa dapat meneka bagaimana kambing ajaib itu boleh lesap. Datuk Bandar turut mengarah kakitangannya ke kampung untuk membantu mendapatkan semula kambing emas. Hassan ingat lagi, di ketika itu ada pesilat membuka gelanggang baharu, meninggalkan Tok Abu. Ramai pengikut membuka markas baharu, mengetepikan Penghulu Murad. Tidak terkecuali ramai makmum mendirikan madrasah baharu, membiarkan Lebai Hud.
Masing-masing bertegas dan berjanji kepada penduduk kampung, hanya mereka yang mampu mendapatkan semula kambing emas. Di masa itu juga, jawatan penghulu bukan lagi mengikut pilihan penduduk secara menyeluruh. Sebaliknya, ramai yang mengampu Datuk Bandar dan merayu supaya dilantik menjadi penghulu.
Perebutan jawatan penghulu tidak terbendung. Hassan tetap seorang pengembala, meratapi kemesraan dan keindahan yang kian musnah. Hati Hassan sarat menyimpan kesal memikirkan segala kehancuran masyarakat di situ seakan tidak ada titik selesai. Malahan hari ke hari bertambah puak-puak baharu dalam kalangan pesilat, pengikut dan makmun. Semua berlawanan haluan. Hassan tetap tidak berpihak dengan sesiapa. Hassan tidak tergamak masyarakatnya bertambah buruk. Akhirnya, beransur-ansur penduduk kampung tidak menghiraukan lagi Hassan yang lebih banyak masa bersama kambing-kambing.
Setelah berbulan penduduk kampung yang kurang bertegur mesra, belum berhasil menjejaki kambing emas. Kemunculan kambing ajaib itu tidak pernah diduga, ghaibnya juga tiada siapa sangka. Cuma sangka-buruk dalam kalangan masyarakat tidak menampakkan tanda-tanda susut. Hampir setahun kemudian. Pada tengah hari itu, terlihat kelibat Ah Nam dan Ramu membawa suku-sakat masing-masing bersiap-siaga menyusup ke belukar. Mereka juga ingin membantu mendapatkan semula kambing emas yang menjadi punca segala selisah-faham.
“Eh…Can! Jom masuk hutan. Tangkap kambing emas.” ajak Ramu sebaik sahaja melihat Hassan memberikan daun-daun pisang kepada kambing-kambingnya. Hassan membalas dengan senyuman.
“Iya, Can! Mali tolong tangkap kambing emas.” seru Ah Nam, lidahnya masih belum fasih bertutur bahasa penduduk asal kampung. “Can…Mali Can!” Ah Nam melaung lagi, kali ini sedikit berirama. Tidak semena-mena beberapa orang daripada suku-sakat Ramu mengulang rebutan Ah Nam dengan irama serupa: “Can mali can… Can mali can…” semakin meriah nyanyian itu disambut suara suku-sakat Ah Nam. Mereka mengulang-ulang nyanyian itu sambil melangkah ke belukar. Hassan terus tersenyum mendengar nyanyian yang belum pernah dilagukan orang.
Hassan terhenti bercerita. “Elok kamu semua balik, lagipun cerita sudah tamat.” Sebut Hassan sambil memandang ke wajah remaja-remaja yang masih ternanti-nanti kalau ceritanya belum habis. Menyedari cerita Hassan sudah tamat, mereka di situ tiba-tiba tertawa kecil serentak menuruni anak tangga. Riuh-rendah mereka mengulangi irama; ‘can mali can’.
Hassan memerhati gelagat remaja-remaja itu mengambil basikal masing-masing. Dari jauh, Hassan mengharapkan remaja-remaja yang sedang membesar di era teknologi berkembang pesat berbagai bidang, menjadikan ceritanya sebagai modal memasang tekad mengembalikan kemakmuran dan perpaduan yang pernah wujud sebelum menjelma dan lesapnya kambing emas itu. Hassan perlahan-lahan melangkah masuk ke rumah dan meninggalkan beranda.DI beranda rumah dua tingkat itu, Hassan tidak mempedulikan andaian salah seorang remaja yang berkumpul di situ. Bagi Hassan bukan penting sama ada kambing berbulu dan bertanduk emas itu berpuaka atau tidak.

Hassan memerhati gelagat remaja-remaja itu mengambil basikal masing-masing. Dari jauh, Hassan mengharapkan remaja-remaja yang sedang membesar di era teknologi berkembang pesat berbagai bidang, menjadikan ceritanya sebagai modal memasang tekad mengembalikan kemakmuran dan perpaduan yang pernah wujud sebelum menjelma dan lesapnya kambing emas itu. Hassan perlahan-lahan melangkah masuk ke rumah dan meninggalkan beranda. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya