Seiring dengan transformasi pendigitalan, Kumpulan Syarikat Prolintas menggunakan teknologi kecerdasan buatan dan machine learning sekali gus melancarkan Sistem Pemantauan Lebuh Raya berteraskan teknologi pintar – Prolintas Smart Surveillance System (S3).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Mohammad Azlan Abdullah, berkata S3 dibangun bertujuan meningkatkan tahap kecekapan operasi lebuh raya.
Katanya, ia merangkumi pemantauan permukaan lebuh raya, pengesanan kerosakan aset lebuh raya, kemalangan, objek asing, kawasan air bertakung dan kehadiran haiwan.
Katanya ia adalah sebahagian daripada keupayaan sistem ini selain daripada live video streaming, real–time integrated notification and reporting.
MENINGKAT
“Sistem ini sejajar dengan usaha berterusan pihak syarikat dalam meningkatkan kadar keselamatan dan tahap kepuasan pengguna lebuh raya.
“Inisiatif ini mengetengahkan cara kerja lebih efisien dan moden dalam penggunaan teknologi selaras dengan Revolusi Industri 4.0,” katanya.
Pencapaian itu meletakkan Prolintas syarikat konsesi pertama di Malaysia menggunakan teknologi pintar dalam pengurusan operasi lebuh raya.
S3 digunakan di kesemua lebuh raya seliannya seperti Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Kajang SILK (SILK).
Sejak S3 mula dilancarkan pada 19 Ogos 2020, teknologi itu berupaya mengesan 1,303 kes pada bulan pertama dan 440 pada bulan berikutnya. Sebanyak 50 peratus daripada kes berkenaan melibatkan kerosakan permukaan dan aset lebuh raya dibaik pulih menerusi notifikasi real-time S3.
PROSES
Secara ringkasnya, pengesanan dilakukan menerusi dash board camera dengan prapemprosesan imej oleh komputer bersaiz kecil (raspberry pi) yang dipasang di setiap kenderaan peronda lebuh raya.
Imej itu kemudiannya disalurkan secara terus menerusi rangkaian 4G ke pelayan cloud untuk pemprosesan pengecaman dan klasifikasi dan tindakan selanjutnya.
Teras utama kepada pelaksanaan S3 ini adalah penggunaan teknologi kecerdasan buatan dan machine learning yang diberi nama kecerdasan buatan dan sistem analitik (AISYA).
Sementara itu, AISYA berperanan memproses imej dan buat pengecaman, pengkelasan, analisis data selain laporan digital secara bersepadu seterusnya memberikan notifikasi kepada petugas menerusi aplikasi mobil dan web.

APLIKASI PRIME
Prolintas turut melancarkan sistem aplikasi pengurusan operasi lebuh raya iaitu Prolintas Integrated Maintenance Escalations (PRIME). Ia dibangunkan menggunakan platform Microsoft Kaizala & Flow.
Ia menjadi kesinambungan kepada inisiatif transformasi pendigitalan Prolintas yang mana bukan sahaja memodenkan kerja-kerja pelaporan insiden dan aktiviti penyelenggaraan malah meningkatkan kecekapan proses baik-pulih dan pemantauan kemajuan kerja aset.
Selain itu, pembangunan PRIME ini turut membantu proses penjanaan modul automasi bagi penjadualan kerja-kerja penyelenggaraan dan pendigitalan di mana borang manual akan digantikan dengan action card menerusi platform Microsoft Kaizala.
Melalui teknologi ini, ia membantu operasi lebuh raya seliaan Prolintas agar lebih berdaya saing dan sistematik sekali gus memberikan fokus yang optimum dalam menjamin keselamatan dan kepuasan pengguna lebuh raya.










