Daging bakar, air asam kerisik gamit warga kota - Utusan Malaysia

Daging bakar, air asam kerisik gamit warga kota

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENU hirisan daging bakar mungkin sudah biasa bagi sesiapa sahaja lebih -lebih lagi mereka yang tinggal di ibu kota ini.
Namun, bagi rata-rata peminat hidangan tersebut, daging yang dicicah air asam dicampur kerisik agak jarang sekali kedengaran.
Hanya mereka yang berasal dari negeri utara tanah air yang tahu kehebatan di sebalik menu ‘rahsia’ ini.
Paling menarik, daging yang digunakan adalah bahagian batang pinang yang lembut dimakan bersama nasi panas beserta telur dadar.
Sudah pasti hidangan sebegini membuatkan anda melupakan sejenak menu lain yang berasaskan daging terutama stik.

ADUNAN BAHAN PERAP
Bagi pemilik Restoran Maluri Tom Yam, Putri Nurul Balqis Ahmad Zali, 40 berkata, dia mempertaruhkan menu yang diadun sendiri untuk dinikmati penggemar daging dan masakan Melayu.
Katanya, walaupun menu tersebut dilihat ringkas, adunan bahan perap dan gaya masakan memainkan peranan penting untuk memastikan kepuasan pelanggan.
“Saya perap daging segar ini sekurang-kurangnya 24 jam sebelum dibakar dengan suhu yang tidak terlalu tinggi agar ia dimasak sempurna.
“Antara bahan yang saya gunakan adalah kicap manis dan sos tiram serta beberapa bahan lain.
“Selain itu, bahan perapnya juga akan diadun dengan menggunakan bahan rempah asli Melayu,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia baru-baru ini.

RESIPI WARISAN
Tambah Putri Nurul Balqis, dia menggunakan resipi warisan ibunya bagi menghasilkan air asam kerisik untuk dicicah bersama daging bakar.
“Apabila ditambah kerisik, air asam akan menjadi kurang pedas. Namun sekiranya ada yang mahukan ia lebih pedas kami akan tambah cili mengikut kehendak pelanggan,” jelasnya.
Harga bagi set daging bakar beserta nasi ini adalah RM14.90, manakala tambahan RM1 dikenakan sekiranya pelanggan mahu menambah telur dadar.

MENU WAJIB
Selain itu, menu wajib yang perlu dicuba adalah Dried Chilli Chicken dan Buttermilk Chicken khusus bagi mereka yang tidak mahu menu berasaskan daging.
Menurutnya, dia menjalankan beberapa kali eksperimen bagi menghasilkan kedua-dua resipi ini dan mendapatkan testimoni daripada rakan dan suami sebelum mengkomersialkannya.
“Dua menu ini juga merupakan masakan terbaru. Biasanya orang banyak berpandangan restoran masakan Thai berasaskan makanan dari negara sana.
“Namun kini kami cuba lari daripada perspektif berkenaan dan pelanggan akan mempunyai lebih banyak pilihan,” ujarnya.
Malah Putri Nurul Balqis dalam masa sama berkata, pelanggan boleh menambah hidangan lain seperti sup perut dengan harga RM19.90.

Maluri Tom Yam
Alamat: No. 52, Jalan Jejaka 9, Maluri, 55100 Kuala Lumpur.
Waktu operasi: 12 tengah hari sehingga 12 tengah malam setiap hari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.