Leftenan Ibrahim Alla Ditta: Kisah pahlawan yang tidak didendang

Leftenan Ibrahim Alla Ditta: Kisah pahlawan yang tidak didendang

ANGGOTA askar Melayu menjalani latihan sewaktu zaman pendudukan Jepun satu ketika dahulu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM sejarah peperangan di negara ini, nama Leftenan Adnan Saidi dan Sarjan Hassan terpahat sebagai hero pejuang negara dalam menentang penjajah.

Malah, kisah perjuangan kedua-duanya turut difilemkan bagi tatapan generasi akan datang.

Bagaimanapun di sebalik kisah dua pejuang ini, terdapat nama lain yang perlu diangkat sebagai pahlawan bangsa dan tanah air.

Beliau ialah Leftenan Ibrahim Alla Ditta, anak kelahiran Taiping, Perak.

Menurut Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkiflee, Allahyarham yang dilahirkan pada 6 September 1914 telah terlibat dalam beberapa pertempuran ketika zaman pendudukan Jepun.

“Apabila Jepun menyerang Tanah Melayu, pasukan Leftenan Muda Ibrahim iaitu Kompeni D Batalion Kedua Askar Melayu diarahkan bertahan di Sungai Bakap pada 11 Disember 1941.

“Setelah kekalahan teruk tentera British di Gurun, pasukan Leftenan Ibrahim berundur ke Sungai Nibong pada 16 Disember 1941.

“Di sini, mereka berjaya bertahan selama 48 jam dengan menyekat tentera Jepun menyeberangi Sungai Kerian. Akibat serangan udara Jepun, mereka digerakkan berundur ke Parit Buntar, Ipoh kemudian ke Kuala Kubu dan Port Dickson,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Sebagai rekod, Allahyarham Ibrahim memasuki tentera pada 1 Januari 1935 dengan nombor perkhidmatan 210.Beliau kemudian ditauliah pangkat sarjan pada 31 Disember 1938.

Pada 1 Januari 1939, beliau kemudian ditauliah sebagai pegawai Askar Melayu dengan berpangkat Leftenan Muda.

Beliau turut menjadi ketua platun dalam Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu. Apabila Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu dibentuk pada 1 Disember 1941, Leftenan Muda Ibrahim bertugas di Kompeni D.

Dalam pada itu Nor Hisham berkata, pasukan dipimpin Leftenan Muda Ibrahim sekali lagi memainkan peranan penting dalam kempen Perang Dunia Kedua di Malaya apabila digerakkan ke Batu Pahat selepas kejatuhan Muar pada 15 Januari 1942.

“Di Batu Pahat, askar-askar Melayu berjuang bersama tentera British. Leftenan Muda Ibrahim bersama Leftenan Muda Ali dan Leftenan Muda Yazid bertempur dengan sengit menyekat serangan tentera Jepun terhadap Batu Pahat pada malam 18 Januari 1942.

“Tindakan mereka ini membolehkan tentera British berundur. Pasukan Askar Melayu termasuk Leftenan Muda Ibrahim seterusnya berundur untuk mempertahankan Lapangan Terbang di Senggarang,” jelasnya.

Tambah Nor Hisham, pengunduran tentera British dari Batu Pahat terkepung di sekitar Senggarang hingga Punggur.

“Di sinilah, Leftenan Muda Ibrahim melakukan tindakan berani apabila menyusup masuk ke kawasan musuh untuk mendapatkan maklumat.

“Beliau dan anggotanya bukan sahaja berjaya mendapatkan maklumat kekuatan musuh, malah turut berjaya membawa balik dua laras meriam tentera British yang tertinggal di Batu Pahat ke Punggur. Meriam ini digunakan untuk memperkukuhkan pertahanan tentera British yang terkepung di Pantai Punggur,” ceritanya.

Tambah Nor Hisham, keberanian luar biasa yang ditunjukkan oleh Leftenan Muda Ibrahim ini menyebabkan kerajaan British menganugerahkan Pingat Military Cross kepada beliau semasa perarakan kemenangan di London pada 1946.

Menurutnya, Leftenan Muda Ibrahim menjadi anak Melayu pertama dianugerahkan pingat keberanian tertinggi British itu.

Beliau menamatkan perkhidmatan ketenteraannya selama 19 tahun dengan pangkat Mejar pada 25 Mac 1954.

Selepas bersara, beliau menetap di Batu Caves, Selangor dan meninggal dunia pada 1983. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN