SEORANG lelaki yang umurnya sudah mencecah 90 tahun tidak sama sekali melupakan setiap detik dan waktu semasa melarikan diri daripada tanah kelahirannya di Palestin.
Dia terpaksa bergelar pelarian pada tahun 1948, semasa peristiwa Nakba yang menjadi titik tolak kepada pengusiran masyarakat Palestin sehingga apa yang berlaku hari ini.
Hal yang sama berlaku pada masa sekarang di Gaza sehingga mengorbankan puluhan ribu rakyat Palestin.
Bagi Sheikh Muhammad Mahmud Al-Kharzon, dia tidak mahu situasi sama di Palestin berlaku lagi sebagaimana pernah terjadi kira-kira lebih lebih 50 tahun lalu – penduduk Palestin dihalau dari tanah tumpah mereka sendiri.
Dia yang dapat mengingati peristiwa berkenaan menyifatkan ia sesuatu yang menyedihkan lebih-lebih lagi sewaktu melarikan diri ke Lebanon bersama ibunya.
“Saya lari ke Lebanon sewaktu berumur 13 tahun dengan ibu saya. Ketika itu perang meletus. Kami terpaksa meninggalkan segala-galanya di Palestin. Ini termasuklah rumah.
“Malah saya akan ingat sampai bila-bila apabila ibu saya sama sekali tidak meninggalkan geran tanah di Palestin yang masih saya simpan sehingga kini. Bahkan dia sendiri tidak memikirkan tentang emas miliknya pada masa itu,” kata Sheikh Muhammad dengan tutur kata kurang jelas dengan nada suara yang agak perlahan.


Pertemuan dengannya berlaku secara kebetulan sewaktu saya mengikuti misi bantuan di Kem Pelarian Palestin Al Jalil di Beqaa, Lebanon baru-baru ini.
Sheikh Muhammad berkata, dia mahu menjadikan geran tanah miliknya sebagai sebahagian dokumen penting tanda pengiktirafan tanah Palestin sampai bila-bila.
“Walaupun hanya secebis kertas, ia menjadi bukti tanah Palestin milik orang Palestin, bukannya Israel,” jelasnya.
Peristiwa ini menunjukkan bukti bahawa pemilikan tanah begitu penting dan bukan menjualnya sebagai punca pendapatan.
Ini sebenarnya terkait rapat dengan ‘budaya’ orang Melayu yang sering kali menjual tanah untuk dijadikan punca pendapatan.
Pemilikan tanah dalam kalangan Orang Melayu tidak diurus sebagai salah satu aset penting, sebaliknya hanya melihat keuntungan untuk jangka pendek semata-mata.
Kita kurang memahami bahawa pemilikan tanah akan kekal selama-lamanya jika tidak dijual. Bahkan tanah yang ada hasilnya boleh dinikmati dari satu generasi ke satu generasi.
Bagi kebanyakan orang Melayu, hasil jualan tanah itulah sumber kewangannya. Apabila kurangnya pemahaman, hak pemilikan tanah dalam kalangan orang Melayu semakin berkurangan.
Orang Melayu telah berundur ke belakang dalam isu pemilikan tanah.
Apa yang membimbangkan, seandainya tanah digadai dan hasil jualannya dibelanjakan sehingga habis, tidak mustahil orang Melayu menjadi pelarian di tanah sendiri.
Orang Melayu hendaklah memahami sebenar-benarnya bagaimana meraih laba dengan hasil usaha di tanah milik sendiri atau menjadi miskin di bumi sendiri. – UTUSAN










