Mengapa Hatyai? - Utusan Malaysia

Mengapa Hatyai?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERONOK melihat rancaknya aktiviti riadah dan pelancongan selepas lebih dua tahun terkurung akibat penularan wabak Covid-19.
Selain melihat kebebasan dan kegembiraan orang ramai terutama bagi mereka yang berkeluarga, kegembiran juga lahir disebabkan saya sukakan aktiviti lasak dan mengembara.
Alhamdulillah, saya berkesempatan untuk berkunjung ke beberapa negara lain apabila pandemik Covid-19 semakin reda.
Bagaimanapun, Hatyai yang berjiran dengan negara kita ini masih belum dapat saya kunjungi walaupun sudah banyak cakap-cakap memperkatakan tentang ia kini merupakan destinasi percutian popular dalam kalangan rakyat Malaysia.
Terfikir juga saya pasal Hatyai ini, terutama apabila diperkatakan tentang faktor-faktor yang menarik rakyat kita ke sana.

Kalau mengikut kata rakan dan saudara mara, Hatyai merupakan ‘syurga’ membeli belah dan makanan kerana selain harga murah serta cita rasanya sedap, faktor halal semestinya menjadi keutamaan bagi umat Islam. Bukan itu sahaja, Hatyai juga mudah diakses menerusi jalan darat sama ada keretapi atau kenderaan lain termasuklah bas.
Itu belum lagi pelbagai tempat menarik di Hatyai seperti pasar terapung, chang puak camp dan kereta kabel.

Bagaimanapun, saya bukanlah mahu mempromosikan Hatyai. Sebaliknya Hatyai perlu dilihat dalam aspek lain yang bukan sekadar menaikkan faktor ekonomi kepada Thailand, tetapi turut ‘membuka jalan’ kepada banyak pihak di negara ini menikmati hasilnya.Banyak pakej ke Hatyai dari Kuala Lumpur ditawarkan pada masa sekarang membabitkan pelbagai agensi termasuk Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sendiri.
Kewujudan pakej ke Hatyai dalam kalangan operator pelancongan juga ibarat cendawan tumbuh selepas hujan yang sekaligus memberi limpahan hasil ekonomi kepada mereka.
Malah saya juga sempat bertemu dengan salah seorang pengusaha pelancongan yang tidak menafikan kesan positif dan potensi Hatyai kepada Malaysia.Menurut Pengarah Urusan Mursyid Alharamain Travel & Tours Sdn. Bhd, Muhammad Mursyid Abu Hassan, dia menerima tempahan agak tinggi untuk mengurus individu yang mahu ke sana terutama menerusi pakej persendirian.
“Apabila permintaan tinggi, ada yang mahu kami adakan satu pakej khas untuk keluarga sendiri sebab mereka boleh bersantai dan bebas untuk ke mana saja di Hatyai. Kami hanya beritahu harga saja. Sebagai contoh RM350 untuk tiga hari dua malam.
“Jadi, kami sediakan pemandu dan ini semestinya memberi peluang pekerjaan kepada orang kita, “ katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Dalam pada itu, Muhammad Mursyid berkata, budaya, bahasa, pakaian dan makanan mereka hampir segalanya sama dengan masyarakat kita.
“Hendak solat di sana pun mudah. Surau dan masjid pun banyak. Jadi, sebab itu orang kita suka datang ke sana dan ia merupakan destinasi yang mesra kepada semua lapisan masyarakat kita.
“Dalam erti kata lain, Hatyai adalah wilayah Muslim yang mesti dikunjungi. Orang kita boleh datang dan bertanya khabar kepada penduduk di sana,” ujarnya.
Jadi, sekarang saya faham mengapa Hatyai begitu dekat di hati rakyat Malaysia sehinggakan boleh dikatakan hampir di mana-mana saja orang menyebut tentang wilayah ini.
Dalam masa sama, Hatyai juga menjadi lambang kepada kejayaan bilateral tourism antara Malaysia dan Thailand yang perlu sama-sama dijaga agar reputasi kekal terpelihara.
Apatah lagi apabila memperkatakan tentang peluang pekerjaan dan sumbangan pendapatan kepada masyarakat di kedua-dua negara. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya