ISTILAH ‘kumpau’ sudah biasa dengan kaki pancing. Semuanya bergantung kepada rezeki. Kalau tiada ikan yang makan umpan, maka keluarlah ungkapan tadi.
Bukan setakat ‘kumpau’, aktiviti memancing juga sebenarnya mempunyai pelbagai cerita dan pengalaman lain yang sudah menjadi kelaziman bagi mereka yang gilakan hobi ini.
Tambah menarik, sekiranya individu itu memancing dengan cara yang boleh dikatakan ekstrem dan memerlukan keberanian menongkah lautan seorang diri.
Bagi Mohd. Shamsulnizam Shamsuddin, 29, dia juga tidak terlepas daripada berdepan pengalaman menakutkan sepanjang setahun berpengalaman memancing menggunakan kayak seorang diri.
Walaupun kaedah ini sudah menjadi trend dan kegilaan ramai untuk mencari keseronokan, bagi anak muda ini, soal keselamatan tetap menjadi asas utama dalam satu-satu trip memancing menggunakan kayak.
Sebagai pemancing tegar yang berasal dari Melaka, dia sendiri pernah berdepan pengalaman menakutkan apabila ‘dikejar’ puting beliung di Pantai Siring satu ketika dahulu.
“Waktu itu memang saya seorang sahaja. Tiba-tiba angin bertiup kuat dan seolah-olah ada dentuman. Apabila saya toleh ke belakang, saya dapat melihat dua puting beliung dan jarak saya hanya satu kilometer sahaja dengan angin tersebut.
“ Masa itu saya fikir memang tidak sempat kalau kayuh balik ke darat. Jadi, saya buat keputusan untuk berteduh di pulau berhampiran. Hampir dua jam saya terkandas di pulau itu sementara menunggu hujan dan ribut reda,” ceritanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Mohd. Shamsulnizam memberitahu, setiap satu kayak khas untuk kegunaan memancing kebiasaan berharga antara RM3,500 sehingga mencecah RM15,000 bergantung kepada jenama dan kualiti.
Dia yang memiliki dua kayak ini berkata, walaupun bukan mudah mengendalikan kayak sambil memancing, aktiviti ini kian popular dalam kalangan kaki pancing sejak kebelakangan ini.
Bagaimanapun katanya, ada beberapa perkara perlu dititik beratkan apabila turun ke laut bagi menjalankan aktiviti berkenaan.
“Sesiapa yang mahu memancing menggunakan kayak perlu tahu asas ‘membaca’ keadaan cuaca, angin dan ombak. Itu memainkan peranan penting,” jelasnya yang pernah mencatat rekod memperoleh ikan siakap seberat 10 kilogram, baru-baru ini.
Selain siakap dan kerapu, jenahak juga menjadi antara tangkapan yang menjadi kelaziman bagi anak muda ini.
Dia yang menyifatkan aktiviti ini sebagai satu kepuasan turut menyediakan perkhidmatan sewa kayak kepada sesiapa yang berminat untuk mencuba aktiviti berkenaan.
“Saya biasanya memancing di sekitar Pangkalan Balak, Melaka. Paling jauh saya pernah pergi ke Port Dickson, Negeri Sembilan.
“Biasanya, saya akan keluar pagi dan pulang apabila hampir senja. Kalau ada sesiapa yang mahu cuba, saya akan bawa dengan menggunakan sebuah lagi kayak dengan sewa RM50. Saya akan bawa sonar pengesan ikan bersama setiap kali trip,” terangnya.
Dalam pada itu, Mohd. Shahrulnizam berkata, setiap negeri mempunyai kelab memancing berkayak untuk manfaat bersama selain pertukaran maklumat.
“Sebagai contoh, kalau saya pergi memancing di Port Dickson, saya akan memaklumkan kepada mereka untuk keselamatan,” jelasnya. – MINGGUAN MALAYSIA
Kisah di sebalik hasil lumayan mengayuh atas air
- Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOF BAKRI
- 11 Jun 2023, 5:58 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Segera keluar daripada ‘perangkap’ pendidikan
22 September 2024, 8:15 am
Pendidikan 3M perlu strategi jangka panjang
15 September 2024, 10:03 am
Kerajaan Perpaduan melepasi 660 hari
15 September 2024, 8:28 am