‘Ber-ATV-ti’ teroka ceruk di Gopeng - Utusan Malaysia

‘Ber-ATV-ti’ teroka ceruk di Gopeng

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA mula-mula datang ke Gopeng satu ketika dahulu, tidak banyak tarikan atau aktiviti luar yang saya tahu. Kalau ada pun hanyalah aktiviti berkhemah atau rafting sahaja. Saya datang ke sini pertama kali dahulu pun kerana menyertai aktiviti menerokai Gua Tempurung.
Kemudian saya berpeluang datang lagi ke sini untuk mencuba aktiviti dengan menggunakan kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV) bersama ATV Gopeng.
Tidak seperti aktiviti ATV yang saya cuba sebelum ini, laluan di sini banyak menyelusuri kampung yang ada di dalam kawasan Gopeng antaranya Kampung Chulek, Kampung Jahang dan Gunung Panjang.
Satu perkara menarik di sini, setiap kampung mempunyai sejarah sendiri terutama berkaitan aktiviti perlombongan bijih timah yang dijalankan di kawasan tersebut satu ketika dahulu.
Justeru, pengunjung yang datang mencuba ATV sedikit sebanyak mengetahui dan dapat melihat lebih dekat kawasan bersejarah dahulunya dinamakan sebagai Gunung Mesah ini.
Dalam pada itu, saya turut dibawa menempuhi laluan anak sungai dan beberapa kawasan trek berbatu yang agak mencabar tahap adrenalin seseorang.
Apa yang menarik, ada juga laluan terasa seperti berada di kawasan zaman dahulu kala dengan berlatar belakangkan tasik kecil dan berbukit.
Sebab itulah berani saya katakan kedatangan ke Gopeng tidak lengkap tanpa mencuba ATV.
Apatah lagi ATV Gopeng turut menyediakan trek yang boleh membawa sesiapa sahaja menerokai perkampungan di Gopeng termasuk di kawasan air terjun.
Bagaimanapun trek ini hanya untuk mereka yang berjiwa kental dan berpengalaman mengendalikan ATV. Jika tidak, ambil sahaja pakej santai-santai sejauh antara 15 sehingga 17 kilometer (km) yang sudah cukup memberi kepuasan.
Pengurus ATV Gopeng, Hisyam Nor berkata, pihaknya menyediakan sebanyak 21 ATV yang boleh disewa sama ada untuk sesi pagi pada pukul 9 pagi atau sesi petang bermula pukul 2.30 petang.
“Kita ada empat pakej iaitu santai (leisure trail ), mencuba keseronokan (fun trail), mencabar (adventure trail ) dan laluan sungai atau river trail.
“Keunikan aktiviti ATV di sini adalah laluan yang kita gunakan banyak di kawasan denai dan off road selain laluan di perkampungan. Jadi pengunjung boleh merasai ketenangan sambil bersantai,” jelasnya.
Menurut Hisyam, tempoh masa aktiviti ATV bergantung kepada tahap kemahiran seseorang dan pakej yang diambil iaitu antara sejam sehingga tiga jam.
“Bagi mereka yang mengambil pakej laluan sehingga ke air terjun turut berpeluang mandi di Sungai Kandu.
“Malah, kita juga sediakan makanan dengan tambahan hanya RM5. Apa yang penting kepuasan pengunjung yang mahu beriadah menggunakan ATV di sini,” terangnya.
Sebarang pertanyaan mengenai pakej di sini boleh menghubungi talian 017-8663959 atau laman Instagram ATV Gopeng. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya