RUANGAN Redah kali ini lari daripada kebiasaan dan tidak hanya tertumpu kepada ruang lingkup hal berkaitan pelancongan.
Saya menulis artikel kali ini selepas kagum dengan semangat dan kekentalan seorang wanita membesarkan anak dengan cara yang amat jarang dapat kita fikirkan dan lakukan.
Apa yang boleh saya katakan, wanita ini ‘betul-betul redah’, menongkah arus kemodenan dan cara berfikir majoriti rakyat di negara ini. Apatah lagi ketika zaman yang penuh persaingan dan ledakan teknologi pada masa kini dengan hampir segala macam kehidupan peribadi didedahkan.
Kononnya semua mahu berlumba-lumba menjadi yang terbaik, terpandai, terhebat, terkaya dan segala macam ‘ter’ lagi. Namun tidak bagi Zarah Ariffin Alkhadri, 39 yang mahu menunjukkan bagaimana tanda aras kehidupannya tidak ditentukan orang lain. Semuanya mengikut kekentalan prinsip dan keyakinan sendiri dalam membesarkan anak-anak di samping suami tercinta. Dia berasal dari Damansara Jaya dan kini menetap di Terengganu membesarkan empat anaknya dengan acuan sendiri tanpa mengikut sistem pendidikan sedia ada.
Kaedah pembelajaran dan pengajaran kesemua empat anaknya diterapkan di rumah tanpa perlu ke sekolah. Ketika ditanya apa menyebabkan dia mengambil pendekatan sedemikian, jawapannya mudah. Ia adalah demi memberikan pendedahan dan kebebasan untuk anak-anaknya mengenali erti kehidupan sebenar serta kepelbagaian budaya yang bukannya bersandar kepada peranti atau internet semata-mata.
Semua pelajaran daripada alam dan kehidupan, lebih-lebih lagi Sains dan Matematik. Sebagai contoh kata Zarah, anak-anaknya diajar mengira pinggan ketika membersih dapur.
“Kami menggunakan pendekatan homeschooling kerana sebelum ini sering bergerak dari satu tempat ke satu tempat. Selain itu, saya cuba memberi peluang kepada mereka bergaul bersama-sama rakan daripada pelbagai kaum.
“Lagipun pada kami, silibus pendidikan sekarang terlalu ke hadapan dan kami rasakan anak-anak kami tidak memerlukannya. Kami mahu anak-anak belajar dalam keadaan gembira dan mahu mereka menuntut ilmu berdasarkan kemahuan (belajar) sendiri,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Dia bagaimanapun tetap menekankan penguasaan 3M (menulis, mengira dan membaca) di samping memberi kebebasan kepada anak-anaknya sama ada untuk meneruskan sistem persekolahan formal ketika usia peringkat menengah nanti.
“Kami beri kebebasan pada mereka. Untuk sekolah rendah, kami rasa memang tidak perlu buat masa ini. Cuma apabila ke peringkat menengah lebih-lebih lagi sekolah vokasional, itu sangat bagus kalau mereka diberi peluang,” katanya yang pernah bekerja di salah sebuah pusat gimnasium terkenal.
Dalam pada itu, Zarah juga tidak sesekali mendedahkan anak-anaknya kepada peranti dan internet sebagaimana rakan seusia mereka atas alasan tersendiri.
“Apabila intenet terlalu mudah untuk diakses, pelbagai perkara tidak bagus yang mereka akan lihat. Tapi kita tidak nafikan kepentingan teknologi dan internet. Mereka masih perlukan kedua-dua perkara ini pada masa akan datang.
“Cuma, untuk umur sekarang, kami rasakan ia tidak perlu untuk perkembangan emosi dan mental. Apabila sudah cukup besar dan tahu mana baik dan buruk, barulah kita benarkan,” jelasnya.
Selain itu kata Zarah, dia mahu menerapkan kemahiran dan ikhtiar hidup sebagai persediaan dengan sebarang kemungkinan pada masa akan datang.
“Kalau berlaku apa-apa mereka masih boleh teruskan kehidupan. Contohnya, semasa perintah kawalan pergerakan (PKP). Banyak hilang pekerjaan. Kalau ada kemahiran kita boleh buat apa sahaja termasuk mencari duit,” ujarnya.
Apa yang paling penting katanya, dia tidak mahu menerapkan sistem riba dalam kehidupan anak-anaknya dan bergantung kepada pinjaman bank terutama membeli rumah atau kereta.
Zarah sendiri tidak mengambil pinjaman daripada mana-mana institusi perbankan sama ada untuk membeli rumah atau kenderaan. Dalam erti kata lain, memulakan gaya hidup sara diri atau homesteader.
Asasnya mudah. Sebagai umat Islam, dia tidak mahu terjebak dengan sebarang unsur riba dan pinjaman itu memeritkan.
Dia juga keluar dari zon selesa dan bergantung kepada hasil perniagaan sabun untuk meneruskan kehidupannya. Rumah disewa dan kereta yang dibeli merupakan kereta terpakai.
Cara hidup sebegini sememangnya unik pada zaman sekarang, ketika kita semua berlumba-lumba mengejar harta.
Walau apapun segalanya terletak pada individu itu sendiri dan Zarah sempat menitipkan nasihat. Pesannya, niat perlu betul dalam setiap perkara yang dilakukan. – Mingguan Malaysia
Pembelajaran awal di rumah, tak perlu ke sekolah rendah?
- Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI
- 5 Februari 2023, 5:31 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Bukan senang jadi bos
1 Disember 2024, 8:20 am
Gaji RM1,500 tapi hantaran lebih RM15,000
24 November 2024, 10:03 am
Dua tahun pendidikan di bawah Kerajaan Madani
17 November 2024, 10:21 am