Pemakanan tidak sihat burukkan masalah diabetes - Utusan Malaysia

Pemakanan tidak sihat burukkan masalah diabetes

Dr Tye Yi Loon
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Peredaran masa membawa bersama perubahan pada kebanyakan aspek kehidupan termasuk pemakanan dan sejak beberapa tahun kebelakangan ini kita dapat melihat ‘kegilaan’, khususnya golongan muda, terhadap makanan dan minuman ‘hipster’ yang unik.
Antar yang popular adalah pisang goreng bersalut keju, teh ais boba dan ‘Milo ais kepal’ yang mengandungi gula yang amat tinggi dan disifatkan oleh pakar kesihatan awam sebagai keterlaluan.
Jika dilihat pada corak pemakanan sedemikian, tidak hairanlah apabila berlaku peningkatan kes diabetes dalam kalangan orang muda berusia bawah 40 tahun di Malaysia sejak 11 tahun lalu dan ini bukanlah satu pencapaian yang boleh dibanggakan.
Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, prevalens diabetes dalam kalangan orang dewasa Malaysia berumur 18 tahun ke atas menunjukkan trend peningkatan, bermula dengan 11.2 peratus pada 2011, meningkat kepada 13.4 peratus (2015) dan terkini, 18.3 peratus atau 3.9 juta orang daripada populasi negara (2019).
Statistik ini dijangka terus meningkat apabila tinjauan NHMS dilaksanakan pada 2023.
Menurut Pakar Perubatan Dalam dan Nefrologi Hospital Pakar KPJ Pasir Gudang, Dr. Tye Yi Loon, kencing manis adalah penyakit kandungan gula di dalam badan sentiasa berada dalam paras tinggi.
“Gula dalam darah tidak dapat diserap sepenuhnya ke dalam sel yang mengakibatkan bacaan gula meningkat. Ini disebabkan oleh kekurangan pengeluaran insulin oleh pankreas yang menjadikankan gula tidak dapat dikawal dengan baik. Insulin merupakan salah satu hormon di dalam badan yang bertugas untuk mengawal dan mempengaruhi metabolism gula di dalam sel,” katanya.
Tambah Dr. Yi Loon, antara faktor utama peningkatan kencing manis dalam kalangan dewasa adalah obesiti. Sebanyak 50.1 peratus golongan dewasa di Malaysia mengalami kegemukan berbanding 48.6 peratus pada 2015. Selain itu, faktor yang menyumbang kepada risiko menghidapi penyakit kencing manis adalah peningkatan usia, gaya hidup tidak aktif dan pemakanan tidak sihat.
Pada peringkat permulaan, pesakit kencing manis biasanya tidak mengalami gejala spesifik. Namun, terdapat tanda-tanda yang mungkin menunjukkan seseorang itu menghidapi kencing manis antaranya sentiasa dahaga, kerap kencing, penyusutan berat badan, proses penyembuhan luka yang lambat atau mudah mendapat jangkitan kuman.
Sementara itu, beliau berpandangan trend membimbangkan tentang peningkatan kelaziman diabetes dalam kalangan generasi Y (lahir pertengahan 1980-an hingga 2000) berpunca daripada ‘keracunan makanan disebabkan pilihan sendiri’ dan kurang pergerakan fizikal.
“Ini perlu diperbaiki melalui gaya hidup aktif dengan melakukan pergerakan fizikal setiap 30 hingga 60 minit setiap hari serta berjalan kaki 50 kali dari satu dinding ke satu dinding lain di rumah.
“Pergerakan fizikal juga adalah paling penting berbanding senaman intensif, kerana senaman amat sukar dilakukan jika sudah tua atau mengalami osteoartritis. Namun jika ingin bersenam, digalakkan untuk melakukannya minimum 150 minit setiap minggu, selain melakukan aktiviti berjalan pantas selama 30 minit, lima hari seminggu,” katanya.
Dalam pada itu, Dr. Yi Loong memberitahu, walaupun kencing manis ini tidak dapat disembuhkan, tetapi ia masih boleh dikawal. Dalam jangka masa panjang, sekiranya penyakit ini tidak dikawal dengan baik, paras gula tinggi dapat merosakkan organ dan pesakit akan terdedah kepada komplikasi penyakit jantung, penyakit buah pinggang, angin ahmar, penyakit saraf dan lain-lain.
“Sewaktu pesakit mendapat komplikasi itu, kerosakan organ yang telah berlaku tidak dapat dipulihkan. Justeru, penting untuk kita mendapatkan pengesanan awal penyakit kencing manis,” ujarnya.
Hal ini supaya rawatan dapat diberikan pada peringkat awal. Bagi mengetahui seseorang itu mempunyai masalah kencing manis adalah dengan menjalani pemeriksaan darah. Antara pengesanan yang boleh dilakukan adalah melalui ujian saringan seperti ujian darah glukosa berpuasa (fasting blood sugar), ujian darah tolerasi glukosa (OGTT) atau ujian darah untuk HbA1c.
“Perubahan cara hidup sihat mampu mengelakkan risiko menghidapi penyakit kencing manis. Ini termasuklah mengamalkan pemakan sihat dan seimbang. Antaranya mengurangkan pengambilan makanan manis.
“Tetapi kita juga perlu tahu makanan berkarbohidrat tinggi seperti nasi, biskut, kek, kuih-muih dan mi turut menyumbang kepada meningkatkan kandungan gula dalam badan.
“Orang ramai perlu mengetahui kandungan nutrisi dalam setiap makanan supaya dapat mengesan kandungan gula yang tersembunyi,” ujarnya.
Selain itu, tambah Dr. Yi Loon lakukan juga aktiviti fizikal dalam rutin harian, seperti berjalan pantas dan menaiki tangga. Aktiviti dan senaman ini turut berfungsi untuk mengurangkan berat badan yang berlebihan.
“Bagaimanapun, adalah sukar melakukannya tanpa disiplin tinggi. Jadi, sangat penting untuk sesorang itu bersungguh-sungguh mengikuti rawatan yang diberikan dan melakukan perubahan gaya hidup lebih sihat. Ini kerana kencing manis ini merupakan penyakit berpanjangan,” katanya.

Antara rawatan kencing manis termasuklah:
Mengamalkan gaya hidup yang sihat dan pengambilan makanan seimbang.
Pengambilan ubat kencing manis mengikut jadual yang ditetapkan oleh doktor/pakar perubatan.
Mendapatkan pendidikan kesihatan berkenaan risiko dan komplikasi yang wujud bersama penyakit ini.
Men­dapatkan rawatan susulan dengan mengikuti pemeriksaan berkala di fasiliti kesihatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya