Kesihatan tidak boleh dikompromi

Kesihatan tidak boleh dikompromi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM beberapa tahun kebelakangan ini, dunia menyaksikan ketidaktentuan global yang semakin kompleks, konflik geopolitik, peperangan, gangguan rantaian bekalan antarabangsa, inflasi, peningkatan kos bahan mentah, serta ketidakstabilan ekonomi dunia yang memberi kesan langsung kepada hampir semua sektor kehidupan, termasuk sektor kesihatan.

Malaysia tidak terkecuali daripada tempias krisis ini. Peningkatan kos ubat-ubatan, peralatan perubatan, bahan pergigian, teknologi kesihatan dan kos operasi fasiliti kesihatan semakin dirasai oleh sektor awam dan swasta.

Hakikatnya, kesihatan bukan sekadar satu sektor perkhidmatan, tetapi merupakan asas kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat.

Sistem kesihatan yang lemah bukan sahaja memberi kesan kepada rawatan pesakit, malah akan menjejaskan produktiviti tenaga kerja, kestabilan sosial dan keyakinan rakyat terhadap masa depan negara.

Dalam dunia moden hari ini, kekuatan sesebuah negara tidak lagi hanya diukur melalui pembangunan fizikal atau pertumbuhan ekonomi semata-mata, tetapi juga melalui kemampuan negara melindungi kesihatan dan maruah rakyatnya.

Atas sebab itu, perbincangan mengenai masa depan sistem kesihatan negara tidak boleh lagi dilihat sebagai isu politik kepartian atau persaingan antara sektor awam dan swasta.

Sebaliknya, ia memerlukan keberanian politik, dasar jangka panjang yang konsisten, serta penyatuan semua pihak kerajaan, pembangkang, pengamal kesihatan, institusi pendidikan, sektor swasta dan rakyat sendiri untuk memastikan akses kesihatan yang adil, mampan dan berkualiti dapat terus dipertahankan demi masa depan negara tercinta.

Baru-baru ini, penulis diberi peluang menyertai forum di Health Summit Asia 2026 bertajuk Healthcare on the Brink: Costs, Compliance & What Comes Next.

Dalam sesi tersebut, pelbagai isu besar berkaitan sistem kesihatan negara dibincangkan secara terbuka peningkatan kos rawatan, tekanan pematuhan regulatori, kekurangan tenaga kerja kesihatan, kelestarian sistem kesihatan awam dan swasta, serta cabaran masa depan apabila teknologi dan kecerdasan buatan (AI) mula memasuki dunia penjagaan kesihatan secara agresif.

Namun selepas tamat forum tersebut, satu persoalan besar terus bermain dalam fikiran, adakah kita benar-benar melihat kesihatan sebagai agenda nasional yang menyatukan rakyat, atau kita masih melihatnya sebagai isu yang berpecah mengikut sektor, politik dan kepentingan tertentu?

Hakikatnya, kesihatan bukan sekadar isu kementerian atau hospital semata-mata. Kesihatan ialah isu rakyat. Ia berkait secara langsung dengan maruah manusia, produktiviti negara, kestabilan sosial dan masa depan generasi akan datang.

Menteri Kesihatan mungkin antara jawatan paling sukar dalam sesebuah kerajaan. Apa sahaja keputusan yang dibuat akan memberi kesan kepada jutaan rakyat.

Dalam keadaan ekonomi global yang mencabar, kerajaan pula perlu mengurus pelbagai sektor serentak pendidikan, keselamatan, subsidi, ekonomi dan pembangunan negara. Kita perlu berlaku adil kepada pembuat dasar kerana mengurus sistem kesihatan negara bukan sesuatu yang mudah.

Tetapi pada masa yang sama, kita juga perlu berani mengatakan bahawa kesihatan ialah hak rakyat.

Apabila kita menyebut tentang “hak”, kita sebenarnya bercakap tentang keadilan. Dalam Islam, konsep adil bukan bermaksud semua orang mendapat perkara yang sama secara mutlak, tetapi meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Maka dalam konteks kesihatan, keadilan bermaksud setiap rakyat perlu diberi peluang yang munasabah untuk mendapatkan rawatan yang berkualiti, cepat dan selamat tanpa mengira latar belakang ekonomi, bangsa, agama atau kecenderungan politik mereka.

Apabila seseorang mengalami serangan jantung, doktor tidak akan bertanya dia menyokong parti mana. Apabila seorang ibu membawa anaknya yang demam ke hospital, jururawat tidak akan bertanya dia berasal daripada kaum apa.

Apabila seseorang pesakit memerlukan pembedahan kecemasan, sistem kesihatan tidak sepatutnya membezakan warna kulit, ideologi atau status sosial. Kesihatan sepatutnya menjadi titik penyatuan negara.

Apabila kita mahu membina sistem kesihatan yang lebih baik, semua pihak perlu duduk semeja kerajaan, pembangkang, sektor awam, sektor swasta, universiti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), profesional kesihatan dan rakyat sendiri.

Kita tidak boleh terus bergerak dalam keadaan terlalu fragmented atau terpisah-pisah. Hari ini, hubungan antara sektor kesihatan awam dan swasta di Malaysia masih mempunyai jurang yang besar. Kadangkala kedua-dua pihak dilihat bergerak dalam dunia yang berbeza.

Sedangkan hakikatnya, kedua-duanya saling memerlukan.

Hospital kerajaan memikul tanggungjawab besar kepada majoriti rakyat, khususnya golongan B40 dan M40. Dalam masa yang sama, sektor swasta pula membantu mengurangkan beban sistem awam, menyediakan kepakaran tertentu dan mempercepatkan akses rawatan kepada sebahagian masyarakat.

Namun, kita masih memerlukan hubungan awam-swasta yang lebih matang, lebih strategik dan lebih menyatu.

Kita tidak boleh lagi melihat sektor swasta sebagai “lawan” kepada sistem awam, atau sistem awam sebagai “beban” kepada negara. Kedua-duanya perlu bergerak sebagai satu ekosistem kesihatan nasional yang saling melengkapi.

Dalam keadaan kos rawatan yang semakin meningkat, populasi semakin menua dan penyakit kronik semakin bertambah, negara memerlukan pendekatan baharu yang lebih inklusif dan lestari. Kalau tidak, sistem akan terus berada dalam keadaan tekanan yang tinggi.

Kita boleh melihat Thailand sebagai contoh yang menarik. Thailand sering dipuji sebagai antara negara Asia Tenggara yang berjaya membangunkan sistem Universal Health Coverage (UHC) secara lebih menyeluruh.

Mereka mempunyai keberanian politik untuk memperkenalkan dasar yang lebih inklusif walaupun negara mereka juga berhadapan pelbagai cabaran ekonomi dan sosial.

Tetapi kita juga perlu jujur, sistem Thailand bukan sempurna. Masih terdapat masalah kesesakan hospital kerajaan, tekanan kerja kepada petugas kesihatan, isu pembiayaan jangka panjang, serta ketidakseimbangan fasiliti antara bandar dan luar bandar.

Mereka juga masih bergelut dengan isu sumber manusia dan sustainability sistem.

Namun sekurang-kurangnya Thailand menunjukkan bahawa apabila sesebuah negara benar-benar mempunyai political will dan kesungguhan nasional, sistem kesihatan boleh dibina secara lebih menyeluruh dan lebih dekat dengan rakyat.

Malaysia sebenarnya mempunyai potensi yang sangat besar untuk pergi lebih jauh. Kita mempunyai universiti yang baik, hospital pengajar yang berkualiti, tenaga profesional yang kompeten, sektor swasta yang kuat dan masyarakat yang semakin celik kesihatan.

Kita juga berada dalam era teknologi baharu yang membuka ruang besar kepada kecerdasan buatan (AI), penjagaan kesihatan digital dan teleperubatan. Tetapi semua ini memerlukan satu perkara paling penting keberanian politik dan penyatuan nasional.

Kadangkala kita terlalu sibuk berdebat tentang siapa betul dan siapa salah sehingga terlupa bahawa rakyat sedang menunggu penyelesaian.

Dalam isu kesihatan, terlalu banyak ego dan terlalu banyak fragmentation akhirnya akan merugikan rakyat sendiri. Kita memerlukan dasar kesihatan jangka panjang yang melangkaui politik lima tahun sekali.

Sistem kesihatan negara tidak boleh berubah terlalu banyak hanya kerana pertukaran kepimpinan atau perubahan politik. Kesihatan rakyat memerlukan kestabilan, kesinambungan dan hala tuju yang jelas.

Kita juga perlu mula melihat pelaburan kesihatan sebagai pelaburan strategik negara, bukan sekadar kos operasi tahunan. Apa guna bangunan pencakar langit jika hospital sesak? Apa guna teknologi canggih jika rakyat takut mendapatkan rawatan kerana kos?

Apa guna pertumbuhan ekonomi jika petugas kesihatan semakin burnout dan generasi muda hilang keyakinan terhadap masa depan sistem kesihatan negara?

Dalam dunia moden hari ini, kekuatan negara bukan lagi hanya diukur melalui ketenteraan atau ekonomi semata-mata. Pandemik Covid-19 telah mengajar kita bahawa sistem kesihatan ialah benteng keselamatan negara yang sebenar.

Apabila sistem kesihatan runtuh, ekonomi juga akan runtuh.Sebab itu, kita perlu berhenti melihat isu kesihatan sebagai isu partisan. Kesihatan rakyat ialah tanggungjawab bersama. Sama ada kerajaan, pembangkang, sektor swasta, NGO atau universiti semuanya perlu memainkan peranan.

Dalam Islam, menjaga nyawa merupakan salah satu maqasid syariah yang utama. Maka usaha memperkukuhkan sistem kesihatan sebenarnya bukan sekadar agenda pembangunan, tetapi juga amanah moral dan tanggungjawab kemanusiaan.

Akhirnya, kita perlu bertanya kepada diri sendiri: Apakah jenis negara yang kita mahu tinggalkan kepada anak-anak kita? Adakah kita mahu mewariskan sistem yang semakin berpecah, semakin mahal dan semakin sukar diakses?

Atau kita mahu membina sistem kesihatan yang lebih adil, lebih manusiawi dan lebih bersatu? Saya percaya rakyat Malaysia sebenarnya mempunyai hati yang besar.

Apabila berlaku banjir, tragedi atau bencana, kita dapat melihat rakyat pelbagai bangsa dan agama membantu antara satu sama lain tanpa bertanya latar belakang politik.

Semangat itu masih ada. Dan semangat itulah yang perlu dibawa ke dalam sistem kesihatan negara. Kerana akhirnya, apabila seseorang jatuh sakit, dia bukan lagi ahli politik, penyokong parti atau angka statistik.

Dia hanyalah seorang manusia yang berharap untuk dirawat dengan bermaruah dan maruah manusia tidak sepatutnya dikompromi. – UTUSAN

PENULIS ialah Kapt(B) Profesor Madya Dr.ohd  Mohd Haikal Muhamad Halil, Dekan, Kulliyah Pergigian, Universiti islam Antarabangsa Malaysia(UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN