Kencing berdarah – tanda awal penyakit - Utusan Malaysia

Kencing berdarah – tanda awal penyakit

Dr. Surayne Segaran, Pakar Urologi, Pantai Hospital Penang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Apabila air kencing bertukar kepada warna yang tidak normal seperti biasa, pastinya akan timbul pelbagai persoalan. Lebih-lebih lagi, apabila air kencing tiba-tiba berwarna merah atau berdarah, anda mesti fikir adakah ia berbahaya atau tidak?
Masalah kencing berdarah atau pun dikenali sebagai Haematuria adalah salah satu gejala paling menakutkan untuk sesiapa yang mengalaminya.
Menurut Pakar Urologi, Pantai Hospital Penang, Dr. Surayne Segaran, keadaan ini terbahagi kepada darah yang boleh dilihat dan darah yang tidak boleh dilihat (mikrosopik).
“Darah yang boleh dilihat dianggap sebagai suatu gejala yang amat penting kerana ia boleh memberi amaran awal mengenai beberapa penyakit dalam sistem aliran air kencing, termasuk kanser, walaupun ia berlaku sekali sahaja.

Pada keseluruhannya, lebih kurang 15 peratus daripada pesakit yang mengalami gejala ini didapati mengalami kanser di buah pinggang atau pundi kencing. Selain kanser, gejala ini boleh juga disebabkan oleh batu karang atau jangkitan kuman,” jelasnya
Tambah Dr. Surayne, dalam kalangan wanita, jangkitan kuman dalam air kencing lebih kerap dikesan, manakala batu karang dan kanser lebih kerap dihidapi oleh lelaki.
Risiko kanser juga berkaitan umur pesakit yang mengalami gejala ini, dan lebih kerap dikesan dalam kalangan mereka yang berumur 60 tahun ke atas.
“Darah dalam air kencing mungkin berasal daripada sebarang organ di sistem aliran air kencing, termasuk buah pinggang, ureter (saluran di antara pundi kencing dan buah pinggang), pundi kencing atau kelenjar prostat.
“Ini bergantung kepada puncanya, pendarahan ini mungkin berkaitan gejala lain seperti sakit belakang, demam, dan rasa pedih atau tidak puas apabila membuang air kecil. Walaupun pendarahan tidak berasa sakit, keadaan yang berbahaya mungkin masih ada dan pemeriksaan terperinci diperlukan untuk menentukan puncanya,” jelasnya.
Menjelaskan lebih lanjut tentang darah yang tidak boleh dilihat, beliau berkata, keadaan ini boleh berlaku tanpa seseorang mengalami apa-apa gejala lain dan biasanya dikesan apabila menjalani pemeriksaan rutin.
Dalam keadaan ini ujian air kencing perlu diulangi dan sekiranya darah dikesan sekali lagi, pemeriksaan yang lanjut diperlukan.

Tanda awal kanser
“Lebih kurang tiga peratus daripada pesakit yang mengalami gejala ini akan disahkan menghidapi kanser. Keadaan ini kadangkala disebabkan oleh penyakit atau kegagalan fungsi buah pinggang, dan boleh berlaku bersama dengan tekanan darah tinggi, kaki yang bengkak dan kencing yang berbuih (disebabkan kandungan protein tinggi dalam air kencing).
“Kencing yang mengandungi ketulan darah beku adalah satu gejala yang amat merisaukan kerana ketulan ini mungkin menyekat aliran air kencing dengan sepenuhnya. Dalam keadaan ini kemungkinan besar pesakit yang mengalami masalah ini perlu masuk ke hospital untuk menerima rawatan kecemasan dan seterusnya untuk menjalani pemeriksaan untuk menentukan punca pendarahan,” ujarnya.
Dalam pada itu, ujian yang diperlukan untuk menentukan punca darah dalam air kencing bergantung kepada gejala lain yang dialami oleh pesakit.
Pakar dalam bidang urologi biasanya mengendalikan pemeriksaan diagnostik berkaitan saluran kencing, serta rawatan seterusnya jika diperlukan.
Pada peringkat awal, ujian air kencing dan ujian darah diperlukan untuk mengesan jangkitan kuman dalam air kencing, dan menentukan fungsi buah pinggang.
“Imbasan ultrasound atau CT biasanya diperlukan untuk mengesan batu karang atau kanser buah pinggang. Walaupun imbasan CT lebih mahal dan memerlukan penggunaan sinar-X yang tinggi, ia disyorkan untuk menentukan punca darah yang boleh dilihat di air kencing, manakala imbasan ultrasound boleh digunakan dalam keadaan pendarahan mikroskopik.
“Selain ini, pemeriksaan saluran air kencing dan pundi kencing dengan kamera yang halus (sistoskopi) disyorkan untuk kebanyakan yang mengalami gejala pendarahan, terutamanya dalam kalangan mereka yang mengalami darah yang boleh dilihat, yang berumur lebih 50 tahun dan untuk mereka yang merokok,” katanya.
Pun begitu, pemeriksaan dengan imbasan sahaja tidak mencukupi untuk mengecualikan masalah kecil yang mungkin terkandung di dalam pundi kencing. Ujian sistoskopi biasanya boleh dijalankan sebagai pesakit luar dengan membius bahagian yang diperiksa sahaja. Selain daripada ini, pesakit yang mengalami penyakit buah pinggang mungkin memerlukan biopsi buah pinggang.
“Rawatan untuk pendarahan dalam air kencing bergantung kepada punca pendarahan. Contohnya, jangkitan kuman boleh dirawati dengan ubat antibiotik, manakala batu karang boleh dipecahkan dengan menggunakan gelombang kejutan dari luar badan, atau dengan laser dengan kaedah endoskopik (menggunakan kamera yang halus melalui saluran semula jadi badan).
“Jika pesakit mengidap kelenjar prostat yang bengkak, ia boleh dirawat dengan ubat, atau mungkin memerlukan pembedahan secara endoskopi. Kanser di buah pinggang biasanya memerlukan prosedur untuk membuang organ itu, tetapi kebanyakan pakar urologi mahir melaksanakan prosedur ini dengan kaedah ‘lubang kunci’ (laparoskopik) yang membenarkan pemulihan yang lebih pantas berbanding dengan pembedahan terbuka,” jelasnya.
“Tidak kira puncanya, setiap penyakit boleh dirawati dengan lebih berkesan kalau ia dikesan pada peringkat awal. Sesiapa yang mengalami gejala kencing berdarah harus dapatkan nasihat perubatan dengan segera,” nasihat beliau. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya