Jadual seni padat, tetapi teater PGL sudah lama saya idamkan - Mimi Fly - Utusan Malaysia

Jadual seni padat, tetapi teater PGL sudah lama saya idamkan – Mimi Fly

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Mimi Fly mengakui komitmen jadual kerja yang padat tidak menghalang dirinya untuk menerima cabaran baharu sebagai watak Bayan dalam pementasan teater muzikal Puteri Gunung Ledang (PGL).

Mimi atau Shamimi Amalina Norhisham, 39, berkata, walaupun jadualnya sangat padat, dia tetap melihat peluang itu sebagai ruang untuk menambah pengalamannya.

“Saya memang sangat aktif dengan pelbagai kerja sekarang, sangat sibuk dengan sana-sini. Tapi apabila datang peluang ini, saya rasa terima kasih sebab masih diberi kepercayaan.

“Saya perlu fikir betul-betul dengan pihak pengurusan sebab komitmen teater ini besar. Bukan macam persembahan biasa. Jadi, saya perlu susun semula jadual,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui dalam Program Rise and Revive di IWK Eco Park, semalam.

Tambah Mimi, penglibatan dalam teater muzikal memberi pengalaman baharu yang berbeza berbanding kerjaya nyanyiannya sebelum ini.

“Saya memang lama tidak membuat projek seperti ini sejak 2018. Jadi bila masuk ke latihan, kelas tarian, yoga, bengkel dan semua itu, memang rasa sangat penat. Semuanya berjalan dengan serentak. Memang penat sampai tak cukup nafas.

“Saya suka bila dapat bekerja dalam satu pasukan yang kuat sebab semua orang ada disiplin dan semangat yang sama. Saya memang lama idamkan watak ini, jadi bila dapat peluang ini saya terus rasa ini masa yang sesuai.

“Saya tengok ramai rakan artis buat pelbagai cabang seni, jadi saya rasa saya pun boleh cuba pengalaman yang sama,” katanya.

Untuk rekod, Mimi kini sedang menjalani latihan intensif bagi pementasan Puteri Gunung Ledang yang dijangka menjadi antara produksi teater muzikal terbesar tahun ini.

Watak Bayan akan dibawakan oleh Mimi Fly bersama Nadia Aqilah yang berperanan sebagai pendamping rapat kepada Gusti Puteri Raden Adjeng Retno dalam pementasan tersebut.

Pementasan semula Teater Muzikal Puteri Gunung Ledang yang diterajui oleh Penerbit Eksekutif dan Pengarah, Datin Seri Tiara Jacquelina dijadualkan berlangsung pada Oktober 2026 dan bakal menampilkan barisan pelakon generasi baharu bagi menghidupkan kembali kisah epik tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN