KUALA LUMPUR: Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2026 memperkenalkan semula kategori Pengulas Radio Terbaik yang sebelum ini digugurkan pada tahun 2022.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata kategori tersebut dipertandingkan semula susulan permintaan daripada pihak penyiar serta panel jawatankuasa pertandingan.
Menurut beliau, pengiktirafan itu wajar diberikan memandangkan bidang pengulasan sukan memerlukan kemahiran dan kepakaran tersendiri.
“Kategori ini dikembalikan kerana di Malaysia terdapat ramai peminat sukan. Bukan semua orang mampu menjadi pengulas sukan kerana ia satu kerjaya yang mencabar dan memerlukan kepakaran khusus.
“Justeru, kita memutuskan untuk memasukkan semula kategori tersebut,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Pencalonan Anugerah Seri Angkasa 2026 di Park Hyatt Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam perkembangan sama, kategori drama turut ditambah baik apabila Kategori Drama Bersiri Terbaik dimansuhkan dan digantikan dengan kategori Drama/Drama Bersiri/Drama Mikro Terbaik.
Selain itu, kategori Kandungan Video Terbaik turut dijenamakan semula sebagai Video Pendek Terbaik.
Teo berkata, sebanyak 60 kategori dipertandingkan pada ASA 2026 membabitkan 40 kategori televisyen (TV), 17 kategori radio dan tiga kategori media baharu.
“Selain itu, terdapat dua kategori khas iaitu Anugerah Khas Juri dan Tokoh Seri Angkasa, menjadikan keseluruhan sebanyak 62 kategori dipertandingkan,” katanya.
Beliau berkata, pencalonan ASA 2026 dibuka mulai 4 Jun hingga 22 Jun ini dan penyertaan perlu dikemukakan menerusi organisasi penyiaran berlesen.
Katanya, karya yang dipertandingkan mestilah telah disiarkan buat pertama kali di stesen penyiaran atau platform media baharu dalam tempoh antara 1 Januari 2024 hingga 31 Disember 2025.
Malam kemuncak ASA 2026 dijadual berlangsung pada 24 Oktober 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). -UTUSAN










