KUALA LUMPUR: Seramai 11 lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang RT6.
Mereka ialah Raja Ratanam, K. Sunthreson, C. Vijaya Kumar, N. Nadarajah, T. Raman, R. Vijayan, M. Kumaaran, N. Harichandran, S. Maran, Suwaran Singh and Mohd Atif Mohammad Ali Khan.
Kesemua tertuduh berusia antara 22 dan 48 tahun, dikawal ketat oleh pihak polis ketika dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa telah menjadi ahli kumpulan jenayah terancang “GengRT6” di daerah Sentul antara 14 Januari 2020 hingga 27 April lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130V(1)Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun, jika sabit kesalahan
Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh memandangkan kes berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Hakim Izralizam Sanusi menetapkan 24 Jun ini bagi sebutan semula kes.
Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Lokman Kasim dan Yazid Mustaqim Roslan.
Tertuduh-tertuduh, Raja Ratanam, Kumaaran dan Harichandran diwakili peguam bela Datuk Rajpal Singh manakala Sunthreson, Suwaran Singh dan Mohd. Atif diwakili peguam, Eu Kah Mun.
Peguam-peguam bela, M.Mathaven, Grace Francis dan Muhammad Izzhar Idris mewakili tertuduh, Vijayan, manakala peguam-peguam bela, S.Kirthen dan S.Premila mewakili tertuduh Maran.
Peguam bela, Kelvin Francis mewakili tertuduh Vijaya Kumar namun Nadarajah dan Raman tidak diwakili peguam.
Media sebelum ini melaporkan, pihak polis telah menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dikenali sebagai ‘Geng RT’ menerusi operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di sekitar Lembah Klang, April lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, sindiket dipercayai aktif sejak tahun 2020 dan terlibat dalam aktiviti pemprosesan serta pengedaran pelbagai jenis dadah termasuk methamphetamine, heroin, ganja dan ephedrine di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
Beliau berkata, JSJN telah menjalankan tindakan agresif terhadap kumpulan jenayah terancang itu sejak Disember 2025.
Selain itu, Hussein memberitahu, JSJN kini masih giat mengesan saki-baki ahli sindiket yang dipercayai masih berada dalam negara. – UTUSAN










