Cebisan kanser rupanya daging ayam - Utusan Malaysia

Cebisan kanser rupanya daging ayam

Dr. Azlina Firzah Abdul Aziz
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Terpedaya dengan bomoh, sampel yang disangka cebisan kanser rupanya cebisan daging ayam.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Pakar Bedah Kanser Usus Besar, Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. Luqman Mazlan berkata, terdapat dalam kalangan pesakit kanser usus besar membawa kononnya cebisan kanser yang berjaya dibuang bomoh.

Dr. Luqman Mazlan

Namun, setelah diambil sampel yang ditunjukkan pesakit untuk dibuat ujian makmal, rupanya cebisan tersebut hanyalah cebisan daging ayam mentah.

Menurut beliau, ada juga pesakit ‘menghilangkan diri’ sebaik doktor mengesahkan mereka menghidap kanser.

“Pesakit itu mungkin terlalu terkejut sehingga dunia menjadi gelap sekali gus berikhtiar dengan cara perubatan lain.

“Saya pernah jumpa dengan seorang pesakit yang menghilangkan diri lebih kurang enam bulan selepas disahkan menghidap kanser usus besar. Dia datang jumpa saya semula selepas itu dengan membawa bersama sampel kanser dalam beg plastik.

“Pesakit itu dengan yakin memaklumkan, dia sudah berjaya membuang kanser usus besar dihidapinya dengan bantuan seorang ‘ustaz’.

“Saya kemudian meminta izin pesakit tersebut untuk membuat ujian terhadap sampel yang dibawa itu. Selepas dihantar ke makmal, rupa-rupanya ‘kanser’ tersebut adalah cebisan daging ayam,” katanya di sini semalam.

Dr. Luqman berkata, tindakan pesakit `menghilangkan’ diri dalam tempoh lama menyukarkan rawatan kerana pesakit terpaksa menjalani pembedahan lebih kompleks disebabkan kanser sudah melarat.

Jelas beliau, beberapa tahun kebelakangan ini, kanser jenis itu atau dipanggil kanser kolon menunjukkan peningkatan drastik dalam kalangan lelaki dewasa negara ini.

Menurut Laporan Registri Kanser Kebangsaan Malaysia 2012-2016 diterbitkan pada 2019, sebanyak 14.8 peratus daripada kes kanser yang dilaporkan dalam kalangan lelaki adalah kanser usus besar diikuti kanser paru-paru (13.2 peratus).

“Kita perlu faham sekiranya sel kanser tersebut tidak dikesan awal, ia akan merebak lebih jauh hingga menjejaskan organ di sekitarnya.

“Apatah lagi dengan kedudukan usus kita yang berhimpit dengan organ lain di dalam abdomen kita. Ini boleh menyukarkan pembedahan dan rawatan selanjutnya,” katanya.

Daripada pengalaman tersebut, Dr. Luqman menasihatkan supaya individu yang menunjukkan tanda-tanda seperti perubahan kekerapan membuang air besar, sakit perut berpanjangan dan pembuangan najis berdarah segera datang ke hospital untuk pemeriksaan.

Mengulas isu sama, Pakar Bedah Payudara dan Endokrin, Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. Azlina Firzah Abdul Aziz berkata, berdasarkan pengalaman lebih 20 tahun dalam pengkhususan itu, beliau berdepan dengan ramai wanita yang mengalami tekanan sebaik mendengar keputusan diagnosis mereka.

Sebagai seorang wanita, beliau memahami perasaan mereka apabila mendengar perkataan kanser terutama kanser payudara kerana mereka takut kehilangan ‘aset kewanitaan’ hingga sanggup mencari pengamal perubatan ghaib yang menjanjikan kesembuhan tanpa perlu pembedahan.

“Seorang pesakit saya juga pernah menghilangkan diri. Kami cuba menghubunginya tetapi gagal. Tidak lama selepas itu, dia datang berjumpa dengan saya dan menunjukkan kesan parut di payudaranya.

“Rupa-rupanya bomoh yang merawatnya itu menggunakan pisau untuk mengeluarkan ketulan kanser tersebut. Saya terkejut, tetapi sebagai pakar perubatan profesional, saya perlu menjalankan tugas saya menyelamatkan pesakit walaupun sudah melarat,” katanya.

Menurut Dr. Azlina Firzah, kanser payudara adalah kanser paling banyak menyerang wanita di negara ini dengan kadar 34.1 peratus berbanding dengan jenis kanser lain.

Jelasnya, walaupun inisiatif kebangsaan mengesyorkan ujian saringan mamogram ke atas wanita berusia 40 tahun ke atas tetapi beliau berharap supaya wanita lebih muda turut mengadakan ujian pemeriksaan payudara sendiri secara bulanan dan diikuti oleh saringan ultrasound.

Beliau menjelaskan, sekiranya seseorang wanita itu mempunyai sejarah kanser payudara dalam kalangan keluarga terdekat seperti ibu dan adik-beradik, dinasihatkan untuk membuat ujian saringan dan mendapatkan rundingan secepat mungkin doktor pakar.

“Bukan hendak menakut-nakutkan, tetapi jika rawatan kanser payudara ditunda, kos perubatannya juga mungkin bertambah,” katanya.

Hospital Pantai Kuala Lumpur adalah antara hospital swasta yang dilengkapi pakar perunding kanser berpengalaman dan berkemahiran.

Malah, ramai pesakit luar negara seperti Singapura, Indonesia dan Brunei yang datang ke hospital itu untuk mendapatkan rawatan kanser usus besar dan payudara. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN