Walaupun kemungkinan tercetusnya peperangan di rantau ini dilihat tipis, hakikatnya ancaman terhadap keselamatan negara tidak boleh dipandang ringan, apatah lagi dalam dunia moden yang menyaksikan konflik tidak lagi terbatas kepada penggunaan senjata semata-mata.
Dalam banyak keadaan, ancaman boleh hadir dalam bentuk lebih halus seperti pengaruh ideologi, penyebaran maklumat yang memecah-belahkan masyarakat atau serangan tidak konvensional yang mampu menggugat kestabilan negara secara perlahan tanpa disedari.
Keadaan ini menuntut rakyat untuk memiliki tahap kesedaran keselamatan tinggi serta bersedia dari segi mental dalam menghadapi sebarang kemungkinan.

Pakar Perang Saraf dan Penganalisis Keselamatan & Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, kekuatan utama sesebuah negara sebenarnya bermula daripada perpaduan rakyatnya sendiri yang menjadi benteng pertama dalam menangkis sebarang ancaman luar.
Katanya, tanpa perpaduan yang kukuh, sesebuah negara lebih mudah terdedah kepada unsur-unsur yang boleh melemahkan kestabilan dalaman, sama ada melalui provokasi, manipulasi emosi atau penyebaran naratif yang mengelirukan.
Justeru, nilai kebersamaan, toleransi dan semangat kekitaan perlu sentiasa dipupuk agar masyarakat kekal bersatu dalam apa jua keadaan.
“Rakyat tidak perlu panik jika berlaku situasi tidak menentu. Tindakan seperti pembelian panik atau penyimpanan stok makanan secara berlebihan bukan sahaja tidak membantu, malah boleh menimbulkan kekurangan bekalan dan menjejaskan keseimbangan pasaran.
“Sebaliknya, masyarakat perlu kekal rasional dalam membuat keputusan serta sentiasa merujuk kepada maklumat rasmi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
“Mematuhi arahan kerajaan dalam situasi kecemasan adalah penting bagi memastikan keadaan dapat dikawal dengan baik tanpa menimbulkan kekecohan,” katanya.
Beliau berkata, sokongan terhadap ideologi kenegaraan yang berteraskan perpaduan dan semangat kebangsaan juga memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan negara terus terpelihara.
Ujarnya, nilai ini bukan sahaja mengukuhkan identiti negara, malah membantu rakyat untuk kekal teguh dalam menghadapi sebarang cabaran.
SISTEM KESELAMATAN TERSUSUN
Noor Nirwandy berkata, dari sudut kesiapsiagaan negara pula, Malaysia sebenarnya mempunyai sistem keselamatan yang tersusun dan komprehensif yang diselaraskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan kerjasama pelbagai agensi keselamatan lain.
Katanya, setiap ancaman yang timbul akan ditangani melalui mekanisme yang telah dirangka lebih awal, termasuk pelaksanaan prosedur operasi standard dan sidang keselamatan khas.
Menurut Nirwandy, Malaysia juga mempunyai pengalaman serta keupayaan yang baik dalam menguruskan pelbagai situasi keselamatan, sama ada dalam keadaan aman mahupun ketika berdepan ancaman luar.
“Keupayaan ini memberi keyakinan negara berada dalam keadaan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
“Di peringkat serantau, kerjasama antara negara anggota ASEAN turut menjadi faktor penting dalam memastikan kestabilan Asia Tenggara.
“Komitmen terhadap penyelesaian konflik melalui rundingan dan diplomasi telah menjadi amalan utama yang berjaya mengelakkan tercetusnya peperangan berskala besar,” katanya.
Noor Nirwandy berkata, pendekatan diplomasi ini terbukti berkesan apabila beberapa pertikaian antara negara anggota, termasuk melibatkan Kemboja dan Thailand, dapat diselesaikan secara aman tanpa berlarutan menjadi konflik bersenjata yang serius.
Katanya, walaupun pernah berlaku insiden kecil di kawasan sempadan, ia dapat dikawal dan diselesaikan melalui saluran diplomatik.
Namun, beliau menegaskan kekuatan sesebuah negara tidak seharusnya hanya diukur melalui keupayaan ketenteraan semata-mata.
“Sebaliknya, perpaduan rakyat, ketahanan ideologi serta kesediaan masyarakat untuk mempertahankan keamanan bersama merupakan elemen yang sama penting dalam memastikan negara terus stabil,” katanya.

APA PERLU DIBUAT JIKA BERPERANG?
Pakar undang-undang antarabangsa dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Salawati Mat Basir menjelaskan dalam situasi krisis besar seperti konflik atau peperangan, golongan awam merupakan pihak yang paling terkesan, sama ada dari segi emosi, keselamatan mahupun kelangsungan hidup.
Sehubungan itu, beliau menekankan persediaan mental serta pengurusan sumber asas merupakan antara aspek paling penting bagi membantu sesebuah keluarga menghadapi keadaan sukar dengan lebih tenang dan terkawal.
Menurutnya, masyarakat perlu memahami dalam keadaan darurat, emosi yang tidak stabil dan panik tidak terkawal boleh memburukkan lagi keadaan.
Oleh itu, pengurusan emosi menjadi perkara asas yang perlu diberi perhatian.
“Langkah pertama yang perlu diambil oleh ibu bapa ketika berlaku krisis ialah menenangkan anak-anak. Mereka perlu diberi kefahaman situasi sukar yang dihadapi hanyalah bersifat sementara dan pelbagai pihak sedang berusaha memulihkan keadaan.
“Dalam masa sama, ibu bapa tidak seharusnya memarahi atau menakut-nakutkan anak-anak dengan berita buruk.
“Sebaliknya, mereka perlu memberi sokongan dan keyakinan agar anak-anak tidak berasa keseorangan dalam menghadapi ketakutan atau panik,” katanya.
BEKALAN MAKANAN TERHAD
Selain aspek emosi, Dr. Salawati berkata, dalam keadaan krisis, bekalan makanan mungkin menjadi terhad dan sukar diperoleh.
Oleh itu, masyarakat perlu belajar menyesuaikan diri dengan makanan asas dan tidak terlalu memilih.
Menurutnya, orang ramai perlu membiasakan diri dengan makanan ringkas seperti roti, nasi atau bubur sekiranya bekalan semakin berkurangan.
“Walaupun rakyat Malaysia sudah terbiasa dengan makanan yang pelbagai dan enak, dalam keadaan darurat mereka perlu menyesuaikan diri dengan makanan lebih sederhana tetapi mencukupi untuk keperluan tenaga.
“Bagi menghadapi sebarang kemungkinan, setiap keluarga juga digalakkan untuk menyimpan bekalan makanan asas di rumah.
“Antara barangan penting yang disarankan termasuk beras, tepung, makanan dalam tin, telur, gula dan garam,” katanya.
Beliau menjelaskan bekalan ini amat penting jika pergerakan keluar rumah menjadi terhad atau bekalan di pasaran terganggu.
Dalam pada itu, kerjasama antara jiran turut memainkan peranan penting ketika berlakunya krisis.
Dr. Salawati berkata, sekiranya berlaku gangguan komunikasi seperti talian telefon atau internet tidak berfungsi, hubungan kejiranan boleh menjadi sumber bantuan terdekat.
Katanya, penduduk disaran untuk mengenali jiran di kawasan masing-masing supaya mereka dapat saling membantu, termasuk mendapatkan bantuan kecemasan dengan lebih cepat.
Dalam situasi tertentu, ketua komuniti seperti ketua taman atau jawatankuasa penduduk juga boleh membantu menyelaras maklumat serta menyalurkan bantuan kepada penduduk setempat.
Dalam krisis besar, kerajaan lazimnya akan mengeluarkan arahan dan maklumat terkini berkaitan bekalan asas seperti makanan, air dan elektrik.
Justeru, orang ramai perlu sentiasa peka terhadap pengumuman rasmi dan mengelakkan daripada mengambil tindakan terburu-buru yang boleh menimbulkan kekecohan.
Beliau turut mengingatkan tekanan emosi seperti kemarahan, ketakutan dan panik boleh mencetuskan konflik dalam masyarakat jika tidak dikawal dengan baik.
Sehubungan itu, dalam keadaan sukar, perkara paling penting ialah memastikan emosi dan psikologi sentiasa dalam keadaan stabil.
Ini kerana emosi yang tidak terkawal boleh membawa kepada situasi tidak diingini.
Selain itu, orang awam juga perlu mengutamakan keselamatan diri dan keluarga dengan mengelakkan berada di kawasan berisiko serta tidak keluar rumah tanpa keperluan mendesak.
Secara keseluruhannya, dengan persediaan asas mencukupi, kerjasama komuniti yang kukuh serta kawalan emosi baik, masyarakat diyakini mampu menghadapi situasi krisis dengan lebih teratur, tenang dan selamat.










