Saya harap Fatima dan Jarir akan terus berkasih sayang’ - Utusan Malaysia

Saya harap Fatima dan Jarir akan terus berkasih sayang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi, Amira Othman meluahkan rasa kagum terhadap kematangan anak tirinya, Nur Fatima Aisya yang sangat mengambil berat terhadap adiknya, Jarir Umar yang kini berusia lima bulan.

Menurut Amira, Fatima bukan sahaja sentiasa teruja setiap kali bertemu adiknya, malah mula menunjukkan sisi matangnya sebagai seorang kakak kepada Jarir.

“Fatima sangat sayangkan adiknya. Setiap kali datang ke rumah, dia begitu teruja apabila melihat Jarir. Kalau bapanya mencium Jarir berlebih-lebihan pun, dia akan cakap, ‘Daddy, nanti Jarir sakit’.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya rasa sikapnya sangat manis dan dia juga sangat matang. Dia faham bahawa Jarir merupakan adiknya dan dia sangat menyayangi adiknya. Dalam hal itu, saya amat mengagumi Fatima,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu terbaharunya, Jarir Umar, hari ini.

Syukur kini bergelar seorang ibu, Amira turut berharap agar hubungan akrab dua beradik tersebut terus berkekalan sehingga dewasa.

“Saya harap Fatima dan Jarir akan terus berkasih sayang sampai bila-bila. Mudah-mudahan Jarir juga dapat melindungi kakaknya sampai bila-bila,” luahnya.

Mengulas mengenai keputusan untuk tidak mendedahkan wajah Jarir kepada umum, Amira menjelaskan bahawa dia dan suaminya, Fattah Amin tidak pernah berniat untuk menyembunyikan anak mereka.

Sebaliknya, keputusan tersebut diambil bagi melindungi anaknya yang masih kecil, selain menjaga kesihatan mentalnya sendiri.

“Saya rasa kami akan berkongsi tidak lama lagi, Insya-Allah. Saya juga mahu anak saya membesar seperti orang biasa. Takkanlah setiap kali keluar, saya perlu menyembunyikan anak?

“Kasihan kepadanya. Insya-Allah, kami akan berkongsi bagaimana rupa Jarir nanti. Cuma, bapanya yang akan membuat perkongsian tersebut. Saya akan mengikut keputusannya,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Amira juga dilantik sebagai duta produk penjagaan ibu dan anak, Yootree selari dengan fasa kehidupannya yang baharu sebagai seorang ibu.

Sempena pelantikan itu juga Amira turut melancarkan lagu terbaharunya, Jarir Umar, karya istimewa yang didedikasikan khas buat anaknya.

Untuk rekod, Amira dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 14 September 2025 dan dikurniakan pada 23 Jun 2026.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini