KUALA LUMPUR: Lebih dua dekad mempertahankan sebuah karya yang sarat dengan nilai sejarah dan budaya bukan tugas mudah, namun itulah keupayaan yang dikagumi pelakon legenda Indonesia, Christine Hakim terhadap Puan Sri Tiara Jacquelina.
Christine, 69, yang pernah menghidupkan watak Bayan dalam filem Puteri Gunung Ledang (PGL) pada 2004, mengakui terpesona dengan kemampuan Tiara mengekalkan roh dan kekuatan naskhah berkenaan sehingga kini.
Kekaguman itu diluahkan selepas beliau bersama seorang lagi pelakon Indonesia, Reza Rahadian, 39, sanggup terbang dari Jakarta khusus untuk menyaksikan pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical 2026 (PGLM) di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), baru-baru ini.
Lebih istimewa, kunjungan itu menjadi peluang pertama buat Christine menyaksikan sendiri karya berkenaan dipentaskan dalam bentuk muzikal selepas tidak berkesempatan menghadiri pementasan sulungnya di Istana Budaya pada 2006.
Menurut Christine, kekuatan PGLM bukan hanya terletak pada persembahan barisan pelakon, sebaliknya kemampuan Tiara memastikan semangat dan identiti karya itu terus terpelihara merentas generasi.
“Saya dapat merasakan energi keseluruhan pementasan ini. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana Tiara selama lebih 22 tahun ini mampu menjaga tenaga dan ‘rasa’ PGL.
“Saya rasa itu hal yang paling sukar,” katanya ketika ditemui pada malam ke-18 pementasan.
Sementara itu, Tiara menyifatkan kehadiran Christine dan Reza sebagai penghargaan besar yang memberikan suntikan semangat kepada seluruh warga produksi.
Katanya, beliau tidak menyangka kedua-dua sahabat baiknya itu sanggup meluangkan masa untuk datang dari Indonesia semata-mata bagi menyaksikan pementasan berkenaan.
“Hadirnya Reza bersama Ibu Christine menjadi satu inspirasi besar kepada seluruh keluarga Puteri Gunung Ledang, terutama saya sendiri.
“Christine dan Reza merupakan teman baik saya dan saya pun tidak sangka mereka sanggup meluangkan masa untuk datang menyaksikan persembahan kami. Christine sangat istimewa bagi saya,” katanya.
Dalam pada itu, Christine turut memberikan pujian kepada Nadia Aqilah dan Mimi Fly yang berkongsi watak Bayan, selain teruja melihat Mila Mohsin meneruskan legasi ibunya sebagai Puteri Gunung Ledang.
Malah, beliau secara berseloroh menyatakan keyakinan bahawa Mila mampu membawakan watak itu lebih baik daripada Tiara.
“Saat tahu Mila akan berperan sebagai Puteri Gunung Ledang, saya yakin dia akan menjadi lebih baik daripada ibunya (Tiara).
“Saya kenal Mila sejak usia dia tujuh tahun, saat kami menjalani pembikinan filem PGL. Itu sudah 22 tahun lalu dan sekarang Mila berumur 29 tahun.
“Melihat Mila di pentas, dia juga seperti ibunya, sangat serius dan fokus. Saya seperti melihat versi Tiara yang baharu dalam sosok Mila di PGL. Mila persis ibunya,” katanya.
Bagi Christine, PGL juga mempunyai nilai yang lebih besar daripada sekadar sebuah persembahan seni kerana berupaya mendekatkan generasi muda dengan sejarah dan warisan bersama Malaysia serta Indonesia.
Justeru, beliau berharap hubungan kedua-dua negara yang berakar daripada pertalian sejarah dan budaya dapat terus diperkukuh menerusi karya seni seumpama itu.
Reza mahu PGL ke Indonesia
Sementara itu, Reza menyifatkan PGLM sebagai sebuah produksi yang mengagumkan, malah mengakui hampir terlepas peluang menyaksikan pementasan berkenaan kerana kesukaran mendapatkan tiket.
“Indah, menakjubkan. Saya gembira kerana akhirnya dapat menonton PGL, hampir gagal tidak mendapat tiket.
“Saya harus ucapkan terima kasih kepada Ibu (Christine Hakim) kerana beliau mendapatkan tiket buat saya,” katanya.
Menurut pelakon itu, kehadiran mereka bukan sekadar untuk memberikan sokongan kepada Tiara, sebaliknya mereka benar-benar mahu menikmati keseluruhan produksi yang dipersembahkan.
Reza turut berharap kejayaan PGLM mampu menjadi pencetus kepada perkembangan lebih rancak industri teater, khususnya dalam menghasilkan muzikal berskala besar.
Katanya, sambutan penonton terhadap produksi berkenaan membuktikan karya teater tempatan mempunyai potensi untuk terus berkembang dan mencapai standard lebih tinggi.
“Melihat ribuan penonton yang telah menonton dan ribuan lagi yang masih menunggu, saya berharap ini boleh menjadi lokomotif untuk sebarang syarikat teater lain.
“Dengan skala yang dipersembahkan, ini menjadi standard dan semoga ini menjadi harapan serta cahaya di sebalik Gunung Ledang yang boleh mendorong lebih banyak muzikal pada masa akan datang,” katanya.
Malah, Reza turut menyimpan hasrat untuk melihat PGLM dipentaskan di Indonesia menerusi kerjasama seni yang menggabungkan bakat dari kedua-dua negara.
Menurutnya, penceritaan berteraskan sejarah Melaka dan Majapahit membuka peluang kepada sebuah kolaborasi menarik dengan penggiat seni Malaysia mewakili Melaka, manakala seniman Indonesia menghidupkan latar Majapahit.
“Mungkin jika ia dipentaskan di Indonesia, kita boleh mempunyai keluarga Malaysia sebagai bahagian Melaka. Dan orang Indonesia, semua orang Indonesia, menjadi sebahagian daripada Majapahit.
“Dan itu akan menjadi sesuatu yang menarik. Saya rasa itu akan menjadi sebuah kolaborasi yang indah,” katanya.
Untuk rekod, perjalanan PGL bermula menerusi filem arahan Saw Teong Hin yang ditayangkan pada 2004, menampilkan Tiara sebagai Gusti Puteri Retno Dumilah dan Christine sebagai Bayan.
Kejayaan filem itu kemudian membawa kepada penghasilan PGLM yang mula dipentaskan di Istana Budaya pada 2006.
Selepas beberapa musim, karya berkenaan kembali ke pentas pada 2026 dengan Mila meneruskan watak Puteri Gunung Ledang, sekali gus memperlihatkan kesinambungan legasi seni merentas generasi.
Pementasan terbaharu itu mencatat sambutan memberangsangkan apabila kira-kira 23,000 tiket bagi 16 persembahan habis terjual dalam tempoh kurang dua jam.
PGLM 2026 dijadualkan berlangsung di JCPAC sehingga 17 November ini, termasuk persembahan tambahan The Grand Finale, sebelum kembali ke Singapura.
Sementara itu, perancangan untuk mengadakan musim baharu di Kuala Lumpur pada 2027 serta jelajah kebangsaan masih di peringkat awal.











