Semua kisah itu akan saya bukukan - Yasin Sulaiman - Utusan Malaysia

Semua kisah itu akan saya bukukan – Yasin Sulaiman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Daripada saya layan kepala saya macam ini, apa kata saya buat sesuatu yang konstruktif, sesuatu yang saya  boleh salurkan fikiran saya  supaya tidak melilau. Duduk dalam penjara, perlu  jaga mental.

“Dalam buku itu, ada cerita pasal penggunaan kanabis ada cerita macam mana saya kena tangkap, macam mana saya hadapi tindakan undang-undang, macam mana keadaan saya dalam penjara dan di Hospital Bahagia, Ulu Kinta. Banyak cerita, banyak kisah yang menarik dalam buku ini.

Demikian ujar penyanyi, Yasin Sulaiman, 51, yang mendedahkan pengalamannya menghasilkan buku autobiografi ketika berada di dalam penjara. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagi kebanyakan orang, penjara mungkin diistilahkan sebagai satu tempat  yang penuh dengan tembok dan pintu besi. 

Namun, bagi Yasin, penjara menjadi tempat dia menyusun semula serpihan kenangan, nukilkan  satu per satu kisah hidup yang selama ini bergelora dalam fikiran.

Katanya, terlalu banyak masa terluang ketika berada di dalam sel membuatkan fikirannya mudah melayang kepada masa silam. Daripada terus melayan perasaan, dia memilih untuk menulis sebagai cara menjaga mentalnya.

“Buku itu ialah sebuah autobiografi, kisah hidup saya daripada kecil sehinggalah masuk ke Tanjung Rambutan. Cerita yang saya rasa orang ramai boleh ambil manfaat dan saya panjangkan.

“Kisah-kisah yang tidak berapa menarik itu saya buat pendek, tapi cerita-cerita yang menarik seperti sejarah sakit mental saya, yang saya rasa orang ramai boleh ambil manfaat daripada kisah itu, saya panjangkan. Semua itu saya tulis sebab saya tidak mahu fikiran saya melilau,” katanya.

Ditanya dengan lebih mendalam, Yasin berkata, buku itu kini hampir siap dan hanya menunggu proses memasukkan gambar sebelum diserahkan kepada penerbit. 

Dia masih menyimpan banyak gambar, keratan akhbar dan majalah yang dikumpulkan selama bertahun-tahun untuk dimuatkan sebagai pelengkap cerita.

Selain buku, tempoh itu turut melahirkan muzik baharu. Walaupun hanya beralatkan kertas dan pensel, dia berjaya menghasilkan puluhan lagu dengan 12 daripadanya sudah lengkap daripada segi lirik, melodi dan susunan muzik.

Yang lebih mencabar, dia menghafal setiap melodi lagu tersebut kerana dia tidak mengerti untuk menulis not muzik. Baginya, hari yang terlalu panjang di dalam penjara memberi ruang untuk mengulang-ulang lagu itu sehingga semuanya melekat dalam ingatan.

“Tidak ada alatan, saya ada kertas dengan pensil sahaja. Saya hafal sebab saya tidak pandai tulis not muzik, jadi saya ‘humming’ melodi dan kena tulis sambil ingat melodi itu. Semua 12 lagu itu saya hafal dalam kepala. 

“Bila saya dah dibenarkan masuk Hospital Bahagia, saya minta komputer riba dan mereka bagi. Masa itulah saya mula merakam idea-idea yang saya dah simpan,” katanya.

Dalam pada itu, Yasin tidak menafikan dia tetap menyesali tindakannya kerana melanggar undang-undang yang berkaitan dengan dadah, namun dia tetap bertegas bahawa dia tidak perlu malu dengan kesilapan yang pernah dilakukannya itu.

“Saya memang sudah buat salah sebab melanggar undang-undang. Saya sudah lalui tiga peringkat mahkamah dan sekarang saya tidak perlu berasa segan sebab saya tidak ada aniaya orang dan tidak ada susahkan sesiapa,” katanya menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN