Saya dan bekas isteri berpisah sejak 173 hari yang lalu - Fikri Ibrahim - Utusan Malaysia

Saya dan bekas isteri berpisah sejak 173 hari yang lalu – Fikri Ibrahim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas 173 hari merahsiakan perkara itu, pelakon dan pelawak, Fikry Ibrahim, akhirnya mendedahkan dia dan bekas isteri, Siti Khalizah Alihan, telah bercerai sekitar April lalu.

Fikri atau Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim, 32, berkata, dia tidak terus menceritakannya kerana menganggap ada perkara yang lebih elok disimpan serta dilalui secara tenang.

“Dengan izin Allah, saya ingin berkongsi bahawa saya dan bekas isteri berpisah sejak 173 hari yang lalu.

“Saya memilih untuk mengambil sedikit masa sebelum berkongsi kerana ada perkara yang lebih baik disimpan dan dilalui dengan tenang.

“Bukan kerana mahu menyembunyikan, tetapi kerana saya perlukan ruang untuk mengumpul kekuatan dan menerima ketentuan-Nya,” katanya menerusi satu hantaran di Instagram miliknya.

Menurut bekas hos Melodi itu, dia enggan menunding jari kepada sesiapapun berhubung perceraian tersebut malah dia terbuka menerima ketentuan itu sebagai takdir yang telah ditetapkan Allah SWT.

“Tiada siapa yang perlu dipersalahkan. Ada perjalanan yang Allah izinkan untuk kita tempuh bersama dan ada perjalanan yang akhirnya membawa kita ke jalan yang berbeza,” katanya.

Dalam pada itu, Fikry turut mendoakan kesejahteraan bekas isterinya agar sentiasa dalam rahmat Allah SWT, diberi kemudahan dalam setiap urusan, serta dikurniakan kebahagiaan dan ketenangan jiwa.

“Saya juga berdoa agar Allah memberikan saya ketenangan, kekuatan dan kebahagiaan untuk meneruskan kehidupan.

“Walaupun kini kami tidak lagi bersama, dia tetap pernah menjadi seseorang yang saya cintai dan pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup saya.

“Untuk itu, saya memilih untuk mengenangnya dengan doa dan terima kasih kerana pernah menjadi isteri saya.

“Semoga Allah menjaga kita masing-masing, mengampuni segala kekurangan, dan menggantikan setiap yang telah berlalu dengan sesuatu yang lebih baik,” katanya.

Untuk rekod, Fikry dan bekas pasangannya telah mendirikan rumah tangga menerusi satu majlis tertutup di Jitra, Kedah pada 12 Februari tahun lalu.

Sebelum ini, Siti Khalizah dilaporkan pernah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Mei 2025 atas alasan tiada persefahaman.

Walau bagaimanapun, Siti Khalizah mengambil keputusan untuk menarik balik tuntutan perceraian tersebut pada bulan Jun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×