JAKARTA: Usia yang bakal mencecah 80 tahun tidak pernah menjadi alasan buat Raja Dangdut Indonesia, Rhoma Irama, untuk memperlahankan langkahnya dalam dunia muzik.
Malah, penyanyi legenda itu masih belum terfikir untuk meninggalkan pentas seni, sebaliknya mahu terus berkarya selagi kudrat dan kesihatan mengizinkan.
Menjelang ulang tahun kelahirannya yang ke-80 pada 11 Disember ini, Rhoma berkata, aktiviti berfikir, bergerak, bersukan dan menghasilkan karya penting untuk memastikan tubuh serta mindanya kekal aktif.
“Wah, jangan! Kalau bersara, strok kita,” katanya berseloroh ketika ditemui pemberita.
Rhoma pada masa sama menekankan kepentingan memastikan minda sentiasa aktif dan tubuh terus bergerak walaupun usia semakin meningkat.
“Jangan pernah otak ini berhenti berfikir. Jangan pernah badan ini berhenti bergerak. Harus selalu bersukan, harus selalu kreatif,” katanya.
Bagi penyanyi lagu Gala Gala itu, muzik bukan sekadar pekerjaan yang boleh dihentikan apabila seseorang meningkat usia.
Sebaliknya, selagi masih mempunyai kemampuan untuk mencipta dan berkarya, dunia seni akan terus menjadi sebahagian daripada kehidupannya.
Selain aktif berkarya, Rhoma turut menitikberatkan kecergasan menerusi aktiviti berenang dan latihan silat.
Katanya, amalan bersukan tidak semestinya memerlukan kemudahan atau peralatan mahal, malah latihan silat boleh dilakukan dalam ruang yang sederhana.
Semangat untuk terus berkarya itu juga tidak dapat dipisahkan daripada perjalanan panjang Rhoma dalam industri muzik yang sudah menjangkau lebih enam dekad.
Beliau mula menceburi dunia hiburan pada 1963 menerusi kumpulan Gayhand sebelum menubuhkan Soneta pada 1973.
Bersama Soneta, Rhoma mencipta identiti tersendiri dengan menggabungkan muzik dangdut bersama elemen Melayu, rock, pop dan muzik India.
Menariknya, faktor usia juga tidak menghalang Rhoma daripada terus memikirkan masa depan Soneta.
Beliau mahu kumpulan yang menjadi antara bahagian penting dalam perjalanan kerjayanya itu terus berkembang dan menghasilkan muzik yang mampu mengikuti perubahan serta perkembangan muzik dunia.
Kesibukan Rhoma di pentas persembahan juga membuktikan bahawa beliau masih aktif dalam industri muzik.
Pada 15 Ogos lalu, Rhoma bersama Soneta tampil dalam Latihan Pestapora Malaysia selepas kira-kira 20 tahun tidak membuat persembahan di Malaysia.
Dalam persembahan itu, mereka membawakan beberapa lagu popular termasuk Euphoria, Judi, Keramat dan Kata Pujangga, selain berkolaborasi dengan kumpulan MALIQ & D’Essentials.
Komitmen Rhoma terhadap dunia muzik tidak berakhir di situ.
Beliau bersama Soneta turut dijadualkan membuat persembahan pada Pestapora 2026 di Jakarta pada 26 September ini.
Nama Rhoma dan Soneta tersenarai dalam barisan artis rasmi bagi persembahan hari kedua festival berkenaan.










