KUALA LUMPUR: Tidak mengejar populariti atau sekadar mahu dikenali menjadi prinsip yang dipegang pempengaruh, Jessica MJ dalam membina kerjaya serta jenama miliknya.
Bagi wanita berusia 32 tahun itu, perhatian yang hadir di media sosial bukan ukuran sebenar kejayaan, sebaliknya apa yang dibina dan manfaat yang mampu diberikan kepada orang lain jauh lebih penting.
Katanya, pengalaman lebih sedekad dalam dunia media sosial termasuk perniagaan mengajarnya supaya tidak terlalu mengejar perhatian, apatah lagi membina sesuatu hanya kerana mahu dilihat berjaya.
“Saya tidak pernah letakkan populariti sebagai matlamat utama. Kalau orang kenal saya, itu satu perkara, tetapi saya lebih pentingkan apa yang saya boleh buat dengan peluang yang ada.
“Saya mahu orang kenal hasil kerja saya, bukan sekadar siapa saya atau berapa ramai pengikut saya,” katanya.
Menurut anak jati Kota Marudu, Sabah itu, prinsip berkenaan turut menjadi antara sebab dia mengambil keputusan membina jenama kosmetiknya sendiri, Jesskin, pada 2023.
Jessica berkata, keputusan itu dibuat selepas melalui pelbagai pengalaman dalam bidang perniagaan dan bukan semata-mata mahu menggunakan pengaruh yang dimilikinya untuk menjual sesuatu.
Sebaliknya, dia mahu membangunkan produk yang diyakini sendiri serta mempunyai nilai untuk dikongsi bersama pengguna dan wanita lain yang mahu menceburi bidang perniagaan.
“Saya tidak tergamak menjual sesuatu yang saya sendiri tidak yakin. Dari awal lagi, saya pegang prinsip itu.
“Sebab itu saya sanggup bermula dari bawah dan mengambil masa untuk belajar. Saya mahu faham setiap proses dan pastikan apa yang saya bawa benar-benar sesuatu yang saya percaya,” katanya.

Bagi Jessica, antara perkara yang lebih menggembirakannya ialah apabila pengalaman yang dikumpul sepanjang membina perniagaan dapat membantu wanita lain.
Katanya, dia mahu menggunakan platform yang ada untuk membuka lebih banyak ruang kepada wanita, khususnya generasi muda, supaya berani mencuba dan membina kehidupan sendiri.
“Misi saya dari dulu adalah untuk membantu lebih ramai wanita dalam perniagaan. Kalau saya boleh kongsi pengalaman dan ia memberi seseorang keberanian untuk bermula, bagi saya itu sudah satu pencapaian.
“Saya tidak mahu kejayaan itu hanya berhenti pada diri sendiri,” katanya.
Dalam masa sama, Jessica yang tidak melupakan asal-usulnya di Sabah turut aktif memenuhi undangan pelbagai program termasuk berkaitan kebudayaan dan komuniti.
Baginya, peluang kembali ke negeri kelahiran bukan sekadar untuk memperkenalkan diri atau jenama, tetapi ruang untuk terus berhubung dengan masyarakat.
Jessica mengakui perjalanan yang dilalui masih jauh dan banyak perkara yang mahu diterokainya.
Pada masa yang sama, Jessica juga merancang mengembangkan rangkaian Jesskin secara berperingkat, namun tetap mengambil pendekatan berhati-hati dalam setiap keputusan.
Katanya, pengalaman lebih 10 tahun dalam perniagaan membuatkannya semakin memahami bahawa membina sesuatu yang kukuh memerlukan masa.
“Saya masih belajar. Walaupun sudah lama dalam perniagaan, saya tidak rasa saya sudah tahu semuanya.Bagi saya, tidak perlu terlalu mengejar populariti. Kalau kerja kita baik, kita jaga kualiti dan konsisten, orang akan nampak sendiri. Itu yang saya mahu bina untuk jangka panjang,” katanya.










