Penyanyi nombor satu negara pun ada pembenci, apatah lagi saya - Nabila Razali - Utusan Malaysia

Penyanyi nombor satu negara pun ada pembenci, apatah lagi saya – Nabila Razali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Meskipun sudah lali menerima pelbagai kecaman, penyanyi, Nabila Razali mengakui dirinya tidak akan berkompromi dengan kritikan yang melampaui batas apatah lagi melibatkan keluarganya.

Menurut Nabila, dia bagaimanapun sudah semakin matang dalam mengendalikan emosi setiap kali berdepan kecaman, selain mengambil segala teguran yang diterima untuk perbaiki diri ke arah yang lebih baik.

“Kalau dahulu memang terasa. Ada sesetengah komen yang boleh membuatkan saya terasa hati. Antara yang paling melekat apabila ada yang mempersoalkan sama ada ibu bapa saya tidak malulah mempunyai anak seperti saya?

“Ada juga yang membuat andaian bahawa suami saya perlu menahan telinga setiap kali saya menyanyi. Perkara begitu langsung tidak ada kaitan. Kalau mereka cakap saya tidak pergi ke kelas vokal, perkara seperti itu saya boleh perbaiki.

“Tetapi kalau komen itu sampai menjatuhkan maruah keluarga, saya memang kurang gemar. Biasanya perkara seperti itu yang membuatkan saya membalas. Kalau setakat komen-komen biasa, saya okey sahaja.

“Saya jarang melenting di media sosial. Kalau saya melenting, mungkin disebabkan mereka menyebut perkara yang saya tidak gemar dan tidak selesa,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Nabila berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis pelancaran muzik video lagu terbaharunya, Cukup Sampai Sini, pada Selasa.

Dalam masa sama, penyanyi lagu Pematah Hati itu tidak menolak kemungkinan sekiranya ada dalam kalangan individu yang mengecamnya itu adalah peminat karyanya dalam diam.

“Tentang mereka yang mengecam, saya tidak berani hendak cakap lebih-lebih. Kita tidak tahu sama ada orang yang menulis komen itu sama dengan mereka yang datang berjumpa atau bergambar dengan saya.

“Saya selalu berpegang bahawa kalau penyanyi nombor satu negara pun ada pembenci, apatah lagi Nabila Razali. Bukan saya hendak membandingkan diri dengan penyanyi nombor satu negara.

“Maksud saya, sesiapa sahaja boleh ada orang yang tidak menyukai mereka. Muzik dan minat semuanya subjektif. Setiap orang mempunyai minat masing-masing.

“Saya percaya walaupun seseorang tidak menyukai kita, mungkin masih ada satu perkara tentang kita yang dia suka. Mungkin dia tak suka saya, tetapi dia suka lagu saya,” jelasnya.

Mengulas mengenai Cukup Sampai Sini, Nabila menyifatkan single yang dihasilkan bersama Justin Seow Seng Tack itu begitu istimewa sepanjang kerjaya seninya kerana menjadi karya pertama yang dihasilkan sendiri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×