Jangan anggap drama patuh syariah tidak laku - Utusan Malaysia

Jangan anggap drama patuh syariah tidak laku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam dunia drama tempatan yang semakin rancak mengejar perhatian penonton dan ledakan media sosial, kontroversi seolah-olah menjadi ‘jalan pintas’ untuk sesebuah naskhah mendapat perhatian.

Kecurangan, penyondol, konflik rumah tangga, perceraian dan pelbagai isu sensitif sering dijadikan ramuan untuk mencetuskan perbualan, malah ada yang sengaja dibina sehingga penonton berasa marah, geram atau tidak puas hati.

Namun, apakah benar drama perlu menjual kontroversi untuk menjadi popular?

Persoalan itu wajar direnungkan apabila Ketua Pegawai Operasi TV Al-Hijrah, Nadzariah Mohamed, berpandangan bahawa drama patuh syariah juga mampu meraih populariti, malah berpotensi menjadi tular jika dihasilkan dengan niat, pendekatan dan kreativiti yang tepat.

Menurut Nadzariah, masalahnya bukan kerana penonton tidak mahu menonton kandungan yang menjaga batas agama, tetapi mungkin industri sendiri terlalu cepat membuat andaian bahawa sesuatu yang patuh syariah tidak mempunyai nilai komersial.

“Ya. Jika kita benar-benar mahu melakukannya dan mempunyai niat serta tujuan yang betul, perkara ini sebenarnya boleh dilakukan. Kita mahu membantu para pengkarya supaya mereka dapat melihat dan menghasilkan drama-drama Islamik yang patuh syariah, tetapi pada masa yang sama masih boleh menjadi popular atau ‘viral’.

“Ia memerlukan kerjasama antara pelakon, penulis skrip, pengarah dan stesen televisyen. Apabila semua pihak mempunyai niat dan objektif yang sama, insya-Allah drama atau garis panduan drama patuh syariah boleh dihasilkan.

“Ini memang antara niat kami, iaitu membimbing dan membantu pengkarya menghasilkan drama Islamik yang berkualiti dan patuh syariah,” katanya.

Nadzariah sendiri mengakui realiti pasaran drama ketika ini agak mencabar untuk mendapatkan naskhah yang benar-benar dibangunkan berlandaskan konsep patuh syariah.

“Memang dalam pasaran sekarang agak sukar untuk mendapatkan drama yang benar-benar dibuat dengan konsep patuh syariah. Kebanyakan drama yang popular mempunyai elemen seperti kecurangan, isu rumah tangga atau konflik yang kontroversi.

“Sekarang kita lihat banyak drama yang mengetengahkan isu seperti kecurangan, ‘penyondol’, moral dan pelbagai isu sensitif. Jadi, kami terpanggil untuk menyediakan drama yang mempunyai nilai dan kandungan yang segar.

“Kita mahu penonton melihat bahawa drama patuh syariah juga boleh mempunyai nilai, cerita masyarakat dan jalan cerita yang menarik. Ia bukan sekadar drama yang terlalu ‘flat’. Pada masa yang sama, terdapat batas-batas tertentu yang perlu dipatuhi,” katanya.

Di sinilah cabaran sebenar kepada pengkarya.Patuh syariah tidak sepatutnya diterjemahkan sebagai membuang konflik daripada cerita. Sebaliknya, konflik masih boleh wujud, cuma cara ia dipersembahkan perlu lebih kreatif dan tidak menjadikan perkara yang dilarang sebagai bahan tarikan utama.

Nadzariah berkata, pihak stesen sendiri tidak mengambil pendekatan menerima bulat-bulat setiap naskhah yang dihantar, sebaliknya proses semakan dilakukan sejak peringkat awal.

“Sebab itu setiap drama atau skrip yang dihantar akan dinilai oleh panel dan unit patuh syariah untuk menentukan kesesuaiannya serta mengenal pasti sama ada terdapat unsur kontroversi atau perkara yang perlu diubah.

“Semasa proses pitching lagi, kita sudah nyatakan bahawa kita mahu terlibat dalam proses penyediaan skrip akhir dan naskhah akhir. Jadi, ia memang merupakan satu bentuk kerjasama.

“Ini bukan bermaksud kita menerima bulat-bulat skrip yang dihantar. Kita mempunyai garis panduan dan DNA stesen. Dalam masa yang sama, kita juga mahu menyajikan kandungan yang pelbagai. Stesen ini bukan hanya mengenai ceramah dan ustaz; kita juga mahu mempunyai telefilem dan drama.

“Dengan kerjasama pengarah, penerbit, penulis dan pelakon, Alhamdulillah proses ini dapat dipermudahkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, TV AlHijrah turut memperkenalkan empat karya baharu yang merangkumi dua telefilem dan dua drama bersiri, khusus untuk tayangan premium di aplikasi penstriman digital AlHijrah Plus (AH+) sebelum disiarkan di saluran TV AlHijrah.

Empat judul yang diperkenalkan ialah Bersuara Tapi Tak Didengar, Mistik Bilik Mayat, Ghost Buskers dan Azan Terakhir Seorang Banduan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×