PETALING JAYA: Tampil mempertahankan maruah anaknya, ibu kepada Haneesya Hanee, Norhasnida, menepis dakwaan kononnya pelakon itu ‘menjual’ isu warna kulitnya yang gelap untuk meraih simpati tetapi mendedahkan anaknya menjadi mangsa fitnah dan penghinaan keterlaluan.
Norhasnida Hassan, berkata, perkara yang benar-benar mencetuskan kemarahan mereka adalah apabila anaknya itu didakwa sebagai wanita Rohingya yang tidak mempunyai maruah dan menganggap tuduhan itu sebagai satu penghinaan dan fitnah.
“Saya terpanggil untuk buat video ini disebabkan saya tengok video dan hantaran terbaru anak saya tular. Ada orang kata, tak habis-habis pasal isu kulit gelap.Sebenarnya orang salah faham. Bukan masalah isu kulit gelap, masalah sekarang dia dihina dan difitnah.
“Yang mencetuskan kemarahan kami ialah apabila ada yang mengatakan dia perempuan Rohingya yang tiada maruah. Itu yang kami tak boleh terima,” katanya menerusi satu hantaran video di Instagram miliknya.
Tegas Norhasnida, dakwaan yang mengaitkan Haneesya Hanee dengan keturunan lain adalah tidak berasas kerana dia dan bekas suaminya berketurunan Melayu.
“Saya yang melahirkan dia. Saya orang Melayu, bapa dia pun orang Melayu dan dia masih hidup. Keluarga sebelah bapanya pun ada di Kampung Baru dan adik-beradiknya juga ada di Kluang. Jadi jangan fitnah asal-usul anak saya,” ujarnya.
Malah, menurutnya, jika benar mereka tidak redha dengan warna kulit anaknya, sudah lama dia mengubah penampilan anaknya itu, namun sehingga kini Haneesya Hanee sendiri enggan menerima produk atau rawatan yang bertujuan memutihkan kulit.
“Sampai sekarang kalau ada produk berunsurkan pemutihan atau pencerahan, dia tak mahu terima. Kalau kami tak redha, dari dulu lagi kami dah ubah. Sekarang pun ada macam-macam rawatan, tetapi dia tak buat.
“Saya selalu cakap, adakah dia nak jadi orang biasa atau luar biasa? Kulit dia itulah yang membezakan dia dengan orang lain. Saya percaya dia ada aura sendiri kerana kulit itu memang sesuai dengan dirinya,” katanya.
Dalam pada itu, Norhasnida mempersoalkan mengapa masyarakat lebih mudah menerima lelaki berkulit gelap, tetapi perkara sebaliknya berlaku apabila melibatkan anak perempuannya sehingga menerima pelbagai gelaran berbentuk penghinaan.
“Saya tak tahu kenapa di Malaysia, lelaki berkulit gelap menjadi satu kebanggaan. Kenapa kau tak cakap kepada KJ itu Negro? Kenapa tak panggil Rohingya kepada KJ?
“Saya tahu anak saya seorang selebriti dan awak semua netizen. Jadi, saya perlu redha dengan perbuatan awak semua? Sebab netizen yang bawa anak saya itu masuk ke dalam industri tapi industri tak bagi peluang kepada anak saya,” katanya.
Kata Norhasnida, anaknya juga pernah mempunyai peluang untuk mengembangkan kerjaya sebagai model di luar negara, namun memilih untuk tidak berbuat demikian kerana masih mahu menjaga maruah diri dan keluarganya.
“Kalau dia tak ada maruah, dah lama dia pergi ke luar negara. Dia tahu industri di sana mungkin boleh menerima kulit seperti dia. Tetapi dia tak pergi kerana dia sayang saya dan tak nak saya menderita di sini dan tak mahu saya berdosa,” katanya.
Menutup penjelasannya, dia berharap masyarakat lebih berhati-hati ketika meninggalkan komen di media sosial kerana setiap kata-kata mampu melukakan hati seorang ibu, sambil menegaskan sekali lagi bahawa isu sebenar yang diperjuangkannya bukanlah warna kulit Haneesyahanee, tetapi fitnah serta penghinaan yang berulang kali dilemparkan terhadap anaknya.
“Tapi apa pun, saya mahu tegaskan sekali lagi, ini bukan tentang warna kulit dan tidak redha, tidak. Sebab dia tidak mahu orang lain lalui apa yang dia lalui. Saya tak mahu orang lain rasa tak ada sesiapa peduli, tapi ada anak saya yang peduli tentang perkara yang sama.
“Nasihat saya untuk semua, tengok kiri dan tengok kanan. Mungkin satu hari nanti ada insan yang berkulit gelap dalam keluarga awak juga.
“Harap awak semua faham apa yang saya sampaikan. Ini bukan tentang warna kulit tapi tentang penghinaan terhadap anak saya,” katanya.
Sebelum ini, Haneesya Hanee pernah membuat beberapa hantaran mengenai dirinya sukar untuk mendapat tawaran berlakon disebabkan kontroversi yang pernah menimpanya pada tahun 2018 selain daripada isu kulit gelap wanita tersebut.
Susulan itu, ramai warganet yang melontarkan kata-kata hinaan mengenai warna kulitnya, malah ada yang tergamak mempersoalkan asal-usul keturunannya.











