Bonda Tun bisik mungkin ini persembahan terakhir bersama saya – Siti Nurhaliza - Utusan Malaysia

Bonda Tun bisik mungkin ini persembahan terakhir bersama saya – Siti Nurhaliza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengakui kenangan manis membuat persembahan bersama isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali akan tersemat rapi dalam ingatan sehingga ke akhir hayatnya.

Menurut Siti, dirinya tersentuh apabila terimbau ungkapan Allahyarhamah yang menyifatkan persembahan biola di sebuah acara sebelum ini mungkin menjadi penampilan terakhir mereka bersama.

“Kenangan bersama Bonda Tun Hasmah tidak akan hilang daripada ingatan saya selamanya. Semasa persembahan, Bonda Tun berbisik kepada saya, ‘Ini mungkin persembahan terakhirnya bersama saya’.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kerana itulah saya tidak dapat menahan air mata dan terus menangis sepanjang latihan bersama arwah,” katanya menerusi hantaran di Instagram Story.

Dalam masa sama, penyanyi lagu Sehebat Matahari itu turut menyifatkan pelukan hangat tokoh negara yang mesra disapa dengan panggilan manja Bonda Tun itu akan dirindui selamanya.

“Saya dapat rasakan pelukan erat seorang ibu. Saya pun rasa tidak mahu melepaskan pelukan erat itu. Bonda Tun akan selalu berada dalam doa Siti, sepertimana doa Siti buat mak dan abah Siti,” tulisnya.

Siti dan Allahyarhamah sebelum ini pernah berkongsi pentas dalam beberapa acara, termasuk Majlis Makan Malam Amal Kempen Tabung Pahlawan pada 2019 apabila Tun Siti Hasmah memainkan biola dengan diiringi nyanyian Siti.

Kemudian, pada Ogos tahun lalu, Tun Siti Hasmah sekali lagi mencipta kenangan ketika mengiringi nyanyian Siti menerusi lagu Gubahanku dengan gesekan biola yang dihadiahkan oleh penyanyi itu kepada beliau dalam Program Jangkauan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) – Sounds of Malaysia di Universiti Multimedia (MMU).

Ketika sesi latihan persembahan berkenaan, Siti juga dilihat gagal menahan sebak sebelum menguatkan hati untuk menyempurnakan persembahan pada malam tersebut.

Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada usia 100 tahun, kelmarin.

Pemergian Allahyarhamah turut disifatkan Siti sebagai satu kehilangan besar buat negara, selain mengenang beliau sebagai seorang tokoh yang penyayang, lemah lembut dan memiliki sifat keibuan yang tinggi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×