KUALA LUMPUR: Selepas beberapa tahun membangunkan pasaran di luar negara, pengeluar minuman tempatan Callabio Manufacturing Sdn. Bhd. kini memulakan penghantaran komersial produk sirap Bariistar ke Amerika Syarikat (AS).
Penghantaran pertama itu membabitkan 16,800 botol pelbagai perisa bernilai RM840,000 yang dilepaskan dalam satu majlis di MARA Halal Industrial Park, Batu Caves, di sini.
Produk berkenaan akan diedarkan oleh M&C Barista Supply Company yang dilantik sebagai pengedar eksklusif Bariistar di AS.
Pengarah Callabio Manufacturing, Dr. Shahir Suhaimi berkata, langkah berkenaan adalah hasil proses rundingan yang mengambil masa beberapa bulan selepas pihaknya bertemu dengan wakil dari AS pada pameran Gulfood Dubai, Januari lalu.
Menurutnya, pertemuan itu pada peringkat awal hanya membabitkan pengenalan produk dan perbincangan mengenai keperluan pasaran sebelum diteruskan dengan penghantaran sampel serta rundingan berkaitan harga, perisa, pengedaran dan bentuk kerjasama.
“Selepas pertemuan itu, kami teruskan dengan penghantaran sampel dan beberapa perbincangan. Dari situ barulah kita dapat melihat kesesuaian produk serta bentuk kerjasama yang diperlukan untuk pasaran AS,” katanya.
Beliau berkata, proses menyediakan penghantaran komersial pertama turut mengambil kira faktor logistik, khususnya perubahan kos pengangkutan antarabangsa.
Katanya, syarikat perlu menilai beberapa pilihan laluan dan kaedah penghantaran bagi memastikan kos serta urusan logistik dapat disesuaikan dengan keadaan pasaran.
“Pada Januari lalu, saya pergi ke Gulfood seorang diri kerana pada ketika itu kami perlu mengawal bajet dengan sangat teliti.
“Beberapa bulan kemudian, kita sudah sampai ke peringkat penghantaran pertama. Bagi kami, ini menunjukkan proses membina pasaran luar negara memang memerlukan masa dan beberapa peringkat,” katanya.
Menurut Shahir, Bariistar mula dibangunkan pada 2021 dengan tumpuan awal kepada pasaran tempatan sebelum syarikat secara berperingkat meneroka peluang di luar negara.
Penyertaan dalam Malaysia Batam International Exhibition anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA) pada 2023, katanya, antara lain memberi peluang kepada syarikat memperkenalkan produk kepada pembeli dari luar negara.
Daripada penyertaan itu, syarikat kemudiannya mengembangkan pasaran ke Indonesia dan menubuhkan syarikat di Jakarta pada tahun sama.
Bariistar kini mempunyai kehadiran di sembilan pasaran antarabangsa, manakala penyertaan dalam Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) 2024 turut memberi pendedahan kepada syarikat mengenai keperluan pasaran eksport.
Dalam perkembangan berkaitan, Callabio Manufacturing menyasarkan produk Bariistar untuk memasuki antara 2,000 hingga 5,000 premis perniagaan F&B di AS menerusi jaringan pengedarnya.
Antara kawasan yang dikenal pasti termasuk Detroit, New York City, Chicago, Phoenix, San Francisco Bay Area, Philadelphia, Dallas dan Seattle.
Bagaimanapun, Shahir berkata, perkembangan pasaran akan dibuat secara berperingkat bergantung kepada penerimaan produk serta keperluan pengedar dan pelanggan di negara berkenaan.
Pematuhan bantu buka ruang eksport
Sementara itu, beliau berkata, pematuhan terhadap keperluan keselamatan makanan menjadi antara perkara yang diberi perhatian dalam usaha syarikat mendapatkan pasaran luar negara.
Kemudahan pengeluaran Callabio Manufacturing mempunyai pensijilan dan sistem berkaitan keselamatan serta pengurusan makanan termasuk Halal JAKIM, HACCP, GMP dan MeSTI, selain berdaftar dengan U.S. Food and Drug Administration (FDA).
“Apabila kita bercakap mengenai eksport, perkara seperti pematuhan, konsistensi produk dan dokumentasi perlu diberi perhatian kerana ia menjadi sebahagian daripada keperluan untuk memasuki pasaran tertentu.
“Bukan hanya soal produk, tetapi bagaimana syarikat dapat memenuhi keperluan pembeli dan peraturan pasaran yang dituju,” katanya.
Beliau berkata, pengalaman membangunkan pasaran antarabangsa juga memberi peluang kepada syarikat menilai semula produk serta operasi pengeluaran berdasarkan keperluan setiap negara.
Bagi fasa seterusnya, syarikat merancang memperluaskan rangkaian Bariistar kepada beberapa kategori produk termasuk sos, minuman serbuk dan puri.
Callabio Manufacturing turut menyasarkan jualan keseluruhan RM8 juta bagi 2026, namun perkembangan pasaran eksport akan bergantung kepada permintaan dan pengembangan rangkaian pengedaran.
Majlis pelepasan penghantaran itu dirasmikan Pengarah Bahagian Infrastruktur Komersial MARA, Mimi Mazlin Mohamad Yusof dan turut dihadiri Pengarah Pejabat MARA Negeri Wilayah Persekutuan, Syed Saifuddin Syd Ahmad, pegawai MARA, wakil pengedar, rakan strategik serta warga kerja Callabio Manufacturing.
Menurut Shahir, penglibatan MARA dalam program dan pameran antarabangsa sebelum ini memberi peluang kepada syarikat mendapatkan pendedahan mengenai pasaran luar negara serta berhubung dengan bakal rakan niaga.
Bagi Callabio Manufacturing, penghantaran pertama ke AS itu menjadi sebahagian daripada proses syarikat menguji dan membangunkan pasaran baharu, selepas sebelum ini mengembangkan produk Bariistar secara berperingkat ke beberapa negara lain.











