JACLYN Victor, pada usia 47 tahun, nampaknya belum sedia meletakkan titik pengakhiran kepada penyertaan pertandingan nyanyian.
Selepas menjuarai Malaysian Idol, Ikon Malaysia, Gegar Vaganza (GV) musim ke-9, GV All Star, beliau kini dinobatkan juara pertandingan Singer 2026 Malaysia.
Sebahagian pandangan mungkin merasakan tidak adil apabila ibu dua cahaya mata ini menyertai pertandingan itu kerana maklum dengan kebolehan vokalnya yang mampu menenggelamkan peserta lain.
Malah, ada peminat yang sudah dapat mengagak kemenangan beliau sejak pertama kali pertandingan itu ke udara di saluran AEC.
Bagaimanapun, Jaclyn pula melihat kemenangannya dari sisi berbeza. Ia bukan tentang kemenangan sebuah program semata-mata, tetapi lebih kepada peluang yang terbuka luas untuk menembusi pasaran China sebaik sahaja terbang ke negara itu untuk mewakili Malaysia.
“Saya adalah peserta paling berusia dalam pertandingan itu. Saya pun berfikir perkara sama, kenapa tak habis-habis sertai pertandingan.
“Tapi apabila difikirkan semula, peluang ini datang secara tiba-tiba. Apa lagi wakili Malaysia ke negara negara luar, kenapa perlu saya sia-siakan?
“Peluang ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang bebakat dari segi nyanyian. Saya faham, setiap orang ada pandangan lebih-lebih lagi sekarang mereka bebas melontarkan pandangan di media sosial.
“Tapi bagi saya, ini membuka pintu seluasnya untuk saya belajar bahasa Mandarin. Selain itu, peluang untuk berhadapan dengan kelompok penonton baharu. Saya tidak tahu sama ada orang China dapat menerima saya atau tidak.
“Apa pun gembira sebab menang pertandingan itu. Saya rasa saya boleh menyanyi. Meskipun buat masa ini saya tidak fasih berbahasa Mandarin, tetapi saya harap orang China boleh menerima seadanya saya,” kongsinya.

Jaclyn dinobatkan juara apabila menundukkan lima vokalis yang terdiri daripada Priscilla Abby, Vanessa Reynauld, Geraldine Gan, Uriah see dan Nicole Lai.
Dia, akan diterbangkan ke China untuk berentap dengan pesaing global yang bakal menyertai pertandingan Singer China sekitar tahun depan.
Meskipun gemuruh, pemilik nama sebenar Jaclyn Joshua Thanaraj Victor yakin dengan kemampuannya mampu memberikan saingan sengit pada pertandingan itu nanti.
“Cara nyanyian saya berbeza dengan penyanyi di sana. Berdasarkan perhatian saya, mereka tidak menyanyi seperti kita yang ibarat ‘raksasa’ apabila membuat persembahan,” ujarnya.
Jaclyn dalam masa yang sama enggan terlalu selesa dengan pencapaian yang diraihnya selama lebih dua dekad menjadi anak seni.
Baginya perjalan masih jauh, keringat masih banyak yang perlu ditumpahkan, perjuangannya sebagai penyanyi tidak pernah selesai.
“Sebagai penyanyi, kita tidak boleh terlalu selesa dengan pencapaian yang kita miliki. Jauh sekali berpuas hati kerana sudah melangkah sejauh ini.
“Kita harus terus belajar, mengambil laluan yang berbeza untuk melebarkan sayap dan terbang lebih tinggi. Selagi boleh menyanyi, apa salahnya kita cuba,” kongsinya.
Dalam masa yang sama Jaclyn mengakui ada mendapatkan nasihat daripada penyanyi, Shila Amzah yang pernah menyertai dua pertandingan di China dan kini berjaya di sana.
“Tentunya sebelum menyertai pertandingan ini lagi, saya ada bercakap mengenai hal ini kepada dia.
“Siapa lagi yang layak berkongsi cerita kalau bukan dia. Shila pernah bertanding dalam pertandingan yang sama, kemudian berjaya mencipta nama di China dan mengumpul peminat di sana.
“Saya bertuah kerana adanya Shila untuk saya rujuk tentang senario dunia hiburan di sana. Saya tak tahu bagaimana lagi cara untuk saya faham industri seni di sana kalau tidak melalui Shila,” katanya menutup perbualan.











