SUBANG JAYA: Usaha memelihara khazanah marin serta memperkasakan golongan orang kurang upaya (OKU) menjadi antara mesej utama yang diketengahkan menerusi filem terbaharu, Takdir Akhir: Last Dive.
Diterbitkan Produksi Seni 2020, filem bergenre dokumentari itu mengetengahkan kehidupan dan cabaran sekumpulan penyelam termasuk golongan OKU, selain membawa mesej mengenai kepentingan menjaga kebersihan serta kelestarian ekosistem laut.
Bekas Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Datuk Amirul Azizan Abd Rahim berkata, karya berkenaan bukan sekadar memberi inspirasi kepada penonton, malah menyampaikan mesej supaya masyarakat tidak mudah berputus asa dalam mendepani cabaran kehidupan.
“Satu mesej yang sangat baik disampaikan kepada semua supaya tidak mudah berputus asa. Tiada yang mustahil, sama ada di darat mahupun di laut seperti yang dipaparkan menerusi filem ini.
“Ia turut mengetengahkan inisiatif membersihkan kawasan perairan negara yang berkait rapat dengan aspek kebersihan dan penjagaan alam sekitar,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan tertutup filem berkenaan di sini.
Turut hadir, Penerbit Eksekutif Takdir Akhir: Last Dive, Datin Dr. Wendy Wong dan Datuk Nancie Foo serta Timbalan Datuk Bandar MBSJ, Mohd. Zulkurnain Che Ali.
Sementara itu, Mohd. Zulkurnain berkata, pihaknya menghargai usaha pasukan produksi menghasilkan karya yang berbeza dengan menggabungkan mesej pemuliharaan alam sekitar dan keupayaan golongan OKU.

Menurutnya, filem berkenaan bukan sahaja mampu memupuk kesedaran masyarakat supaya menghargai ekosistem marin, malah mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi apabila mengetengahkan kesungguhan golongan OKU mengatasi keterbatasan diri.
“Paling penting dan mempunyai nilai sentimental tinggi adalah apabila ia menampilkan kesungguhan serta keupayaan golongan OKU.
“Menerusi elemen Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang diterapkan MBSJ, kehidupan laut merupakan antara elemen penting yang perlu kita pelihara bersama,” katanya.
Beliau berkata, MBSJ turut merancang untuk meneruskan kerjasama dalam aspek kempen dan promosi selain berhasrat membawa inisiatif berkaitan filem berkenaan kepada ahli Yayasan Anak Istimewa Selangor (YANIS).
Sarat dengan mesej pemuliharaan alam sekitar, Takdir Akhir: Last Dive mengisahkan Faiz, bekas pemain bola sepak yang lumpuh selepas menjadi mangsa kemalangan langgar lari.
Kehidupannya kemudian menemukan dia dengan Amelia, seorang jurulatih selam skuba yang komited membantu golongan OKU menikmati pengalaman menyelam dan meneroka dunia bawah laut.
Bagaimanapun, perjalanan mereka berubah apabila satu pendedahan mengejutkan membongkar rahsia Kamal, pengemudi bot yang terlibat dalam kegiatan pengeboman ikan dan mencuri karang.
Lebih mengejutkan, Kamal turut mempunyai kaitan dengan tragedi kemalangan yang menyebabkan Faiz kehilangan keupayaan untuk berjalan.
Filem yang bakal menemui penonton tidak lama lagi itu dibintangi Shiqin Kamal, Aniq Durar, Fiffy Azmi, Amerul Affendi dan Sandra Lim.
Ia turut menampilkan kemunculan istimewa Datuk Dr. Ras Adiba Mohd. Radzi serta penyanyi terkenal, Fauziah Latiff.










