KUALA LUMPUR: Kumpulan tribute ABBA, Björn Again bakal memberikan pengalaman berbeza kepada peminat yang hadir pada malam konsert The ABBA Forever Tour ke Kuala Lumpur, pada 12 Ogos ini.
Setelah lebih sedekad tidak menghiburkan peminat di Malaysia, Agnetha Falstart memaklumkan pelbagai elemen kejutan yang menjadikan konsert mereka lebih daripada sekadar persembahan muzik.
“Kami sentiasa melakukan pembaharuan. Namun, kami tidak boleh mendedahkan terlalu banyak kerana tidak mahu merosakkan elemen kejutan. Dalam beberapa lagu, mungkin ada seseorang yang tiba-tiba menyampaikan bahagian rap.
“Selain itu, terdapat juga sesi menari dan menyanyi bersama penonton. Saya tidak boleh berkongsi terlalu banyak maklumat, tetapi sememangnya terdapat pelbagai kejutan dalam persembahan kami.
“Ramai datang ke persembahan kami dengan jangkaan untuk mendengar muzik semata-mata. Ada yang menyangka persembahan kami hanya mempunyai satu dimensi, sedangkan sebenarnya ia merupakan sebuah persembahan yang pelbagai dan penuh dengan lapisan berbeza,” katanya.
Dalam pada itu, Benny Anderwear turut menjamin malam konsert itu nanti bukan sekadar mempersembahkan lagu-lagu malar segar semata, sebaliknya peluang untuk mereka berinteraksi dengan peminat secara lebih dekat.
“Ramai penonton terkejut apabila menyedari betapa banyaknya mereka ketawa sepanjang persembahan kami. Terdapat banyak unsur humor dan jenaka. Jadi, elemen itu mungkin menjadi satu kejutan yang menyenangkan buat mereka,” jelasnya.
Dua anggota band ikonik itu berkata demikian pada sidang media bersama kumpulan tribute ABBA, Björn Again secara virtual, hari ini.
Dalam pada itu, kumpulan yang menghidupkan semula lagu Gimme! Gimme! Gimme! turut menggalakkan peminat memeriahkan suasana malam konsert dengan mengenakan busana bertemakan era kegemilangan ABBA sekitar tahun 1970-an.
Menurut Agnetha, pemakaian kostum bukan sahaja menceriakan suasana, malah menjadikan pengalaman menonton konsert lebih bermakna.
“Bagi kami, temanya tentang mengekspresikan diri dan berseronok dengan gaya era 1970-an. Penonton boleh memakai pakaian berkilauan yang dihiasi labuci atau kostum seperti yang pernah dipakai oleh ABBA.
“Kami menggalakkan orang ramai untuk bergaya kerana ia membuatkan mereka berasa lebih terhubung dengan pengalaman konsert. Mereka juga boleh berseronok dengan mengambil gambar dan video.
“Kita bukannya boleh memakai pakaian seperti itu setiap hari. Sebenarnya boleh sahaja, sekiranya mahu. Kami sendiri memakainya. Jadi, mengapa tidak menjadikan konsert itu sebagai satu pengalaman penuh dan mencipta malam yang paling menyeronokkan?” kata Agnetha.
Konsert The ABBA Forever Tour ke Kuala Lumpur bakal diadakan di Zepp Kuala Lumpur, pada 12 Ogos ini.
Band tribute kumpulan lagenda itu bakal menyajikan sekitar 20 buah lagu malar segar ABBA termasuk Dancing Queen, Mamma Mia, Fernando dan banyak lagi selama dua jam 30 minit.
Untuk info, Björn Again ditubuhkan di Melbourne dan telah membuat persembahan di lebih 120 negara serta kekal sebagai satu-satunya penghormatan ABBA yang disahkan secara rasmi oleh ahli ABBA.










