Amylea, Quarto kembali dengan Showcase 2.0 selepas mendapat sambutan hangat peminat - Utusan Malaysia

Amylea, Quarto kembali dengan Showcase 2.0 selepas mendapat sambutan hangat peminat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sambutan menggalakkan terhadap Amylea x Quarto live showcase 1.0 mendorong Amylea dan Quarto kembali menjayakan Amylea x Quarto live showcase 2.0 yang berlangsung di Saudagar Heritage Kitchen, Pejabat Pos Besar Kuala Lumpur, Bangunan Sultan Abdul Samad pada 25 Julai lalu.

Persembahan selama 90 minit itu diadakan susulan permintaan peminat yang mahu gabungan Amylea dan Quarto diteruskan selepas menerima pelbagai maklum balas positif daripada showcase terdahulu.

Sepanjang persembahan, Amylea menghiburkan penonton menerusi lagu-lagu popular seperti Kendati, Bukan Cinta, Tak Pernah Hilang dan Satu Cinta. Beliau turut mendendangkan dua karya terbaharunya, Genasara dan Binasa yang menjadi lagu tema drama Sujud Terakhir Encik Norman.

Malam itu turut membawa penonton menelusuri perjalanan Amylea sebagai pencipta lagu apabila beliau mempersembahkan karya yang pernah dipopularkan penyanyi lain seperti Akan Tiba nyanyian Alif Satar, Satu Cinta oleh Ernie Zakri dan Seribu Tahun Lagi yang dipersembahkan Imran Ajmain.

Amylea x Quarto

Menurut Amylea Azizan, persembahan kali ini menampilkan susunan muzik eksklusif, menggabungkan kekuatan vokal Amylea dengan sentuhan muzik Quarto yang cukup sinonim dengan persembahan elegan dan berkualiti.

Katanya Amylea x Quarto live showcase 2.0 bukan sekadar ulangan kepada persembahan terdahulu, tetapi merupakan penghargaan kepada peminat yang sentiasa memberikan sokongan.

“Selepas showcase lalu, saya dan Quarto menerima begitu banyak mesej daripada peminat yang mahu kami kembali bergabung. Menerusi sokongan itu Amylea x Quarto live showcase 2.0 lahir daripada kasih sayang peminat terhadap muzik kami.

“Kali ini kami hadir dengan susunan muzik yang lebih segar, lebih intim dan sarat dengan emosi. Saya berharap setiap yang hadir akan membawa pulang sebuah pengalaman yang tidak dapat dilupakan.” katanya dalam kenyataan hari ini.

Malam itu turut menyaksikan pra-pelancaran CLUB AMY, sebuah komuniti rasmi yang diwujudkan bagi menghimpunkan peminat setia Amylea selepas lebih dua dekad penglibatannya dalam industri muzik.

Sebagai kejutan, persembahan itu turut menampilkan usahawan kosmetik, Datuk Seri Alha Alfa yang bergandingan bersama Amylea menerusi lagu Pamit dan Kita Bikin Romantik.

Gabungan vokal Amylea dan susunan muzik Quarto memberi nafas baharu kepada setiap lagu yang dipersembahkan, sekali gus melengkapkan malam penuh nostalgia dan penghargaan buat para peminat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN