Adam Corrie serik terima jemputan hadiri program tanpa perjanjian bertulis - Utusan Malaysia

Adam Corrie serik terima jemputan hadiri program tanpa perjanjian bertulis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Adam Corrie Lee berkongsi pengalaman pahit apabila terpaksa menanggung kerugian selepas sebuah program yang sepatutnya disertainya dibatalkan pada saat akhir.

Menurut Adam, kejadian yang berlaku kira-kira 10 tahun lalu itu juga tergantung tanpa sebarang penyelesaian daripada pihak penganjur biarpun dirinya sudah mengeluarkan wang perbelanjaan untuk menampung kos penerbangan.

“Saya pernah melalui pengalaman kira-kira 10 tahun yang lalu. Seorang penganjur (pelajar) daripada sebuah universiti menghubungi saya untuk dijemput sebagai panel bagi sesi perkongsian. Tarikh telah dipersetujui dan saya pun mengosongkan jadual pada hari tersebut.

“Mereka juga memaklumkan bahawa bayaran akan dibuat selepas program selesai. Bagi memudahkan urusan dan mendapatkan tambang yang lebih murah, saya membeli sendiri tiket penerbangan pergi dan balik lebih awal.

“Namun, dua hari sebelum program berlangsung, saya dimaklumkan bahawa program dibatalkan. Persoalannya, bagaimana pula dengan tiket penerbangan yang telah saya beli? Selepas itu, tiada lagi maklum balas daripada pihak penganjur,” katanya menerusi satu perkongsian di Threads.

Dalam masa sama, pelakon berusia 58 tahun itu mengakui sejak kejadian itu dia sedar akan pentingnya untuk menerima jemputan secara hitam putih bagi menjaga hak kedua-dua pihak.

“Pengalaman itu mengajar saya satu perkara yang sangat penting. Sejak hari itu, setiap jemputan program saya akan meminta surat jemputan rasmi terlebih dahulu sebagai rekod dan persetujuan bertulis.

“Saya juga akan meminta pihak penganjur menguruskan sendiri tempahan tiket penerbangan, penginapan dan keperluan lain yang berkaitan. Bukan kerana terlalu berkira, tetapi untuk melindungi kedua-dua pihak daripada sebarang salah faham atau kerugian sekiranya berlaku perubahan pada saat akhir.

“Komunikasi yang jelas dan persetujuan secara hitam putih akan menjadikan urusan lebih profesional serta memberi ketenangan kepada semua pihak,” jelasnya.

Adam bagaimanapun berharap perkongsian tersebut dapat memberi kesedaran kepada pihak penganjuran sebarang program agar lebih profesional dalam sebarang urusan jemputan yang melibatkan komitmen kerja, masa serta perbelanjaan pihak tertentu.

“Semoga perkongsian ini menjadi panduan kepada penganjur program dan juga mereka yang menerima jemputan. Komunikasi yang baik sejak awal akan memudahkan segala urusan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN