Seni bukan sekadar hobi, tetapi menjana pendapatan – Farah Ahmad - Utusan Malaysia

Seni bukan sekadar hobi, tetapi menjana pendapatan – Farah Ahmad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bagi kebanyakan orang, masa menunggu di lokasi penggambaran mungkin diisi dengan melayari telefon pintar, berbual bersama rakan sekerja atau berehat melepaskan lelah.

Namun bagi pelakon, Farah Ahmad detik-detik yang sering dianggap membosankan itu ditemani kotak berisi warna, berus dan pelbagai peralatan seni yang dibawa ke mana sahaja dia pergi.

Bukan kerana mahu mengisi masa lapang semata-mata, tetapi kerana seni telah lama menjadi teman setia yang menenangkan jiwa, selain membantu menambah pendapatan untuk keluarga.

“Kalau kawan-kawan dalam industri yang rapat dengan saya, mereka tahu saya memang akan bawa barang-barang seni setiap kali keluar bekerja atau bekerja di luar kawasan. Dalam dunia lakonan, kita memang banyak menunggu.

“Jadi daripada hanya menunggu, saya isi masa dengan melakukan sesuatu yang saya suka. Selain menjadi pengisian masa, ia juga boleh menjana pendapatan sampingan,” katanya kepada Pancaindera.

Sebagai ibu tunggal, Farah mengakui setiap usaha kecil yang mampu menjana pendapatan mempunyai nilai tersendiri, malah menyifatkan bakat yang dimiliki sebagai satu anugerah yang boleh dimanfaatkan, bukan sekadar disimpan sebagai minat peribadi.

“Daripada asyik bercerita tentang masalah, saya lebih suka mencari jalan untuk mengatasinya. Saya percaya setiap orang ada kelebihan yang Tuhan berikan dan mungkin itulah punca rezeki kita.

“Saya memang seronok melukis dan menghasilkan karya seni. Bila pergi penggambaran, saya akan bawa barang-barang seni dan buat sesuatu untuk diri sendiri atau anak-anak.Pada saya, itu sangat bermakna dan tanda saya sentiasa ingatkan mereka setiap kali terpaksa berjauhan atas tuntutan kerja,” jelasnya.

Menurut Farah, minat terhadap seni sebenarnya sudah berputik sejak zaman persekolahan lagi. Walaupun bercita-cita mengikuti aliran seni, takdir membawanya ke kelas sains kerana kelas seni ketika itu sudah penuh. Namun, keadaan tersebut tidak pernah memadamkan kecintaannya terhadap dunia kreatif dan tetap meneruskan minatnya secara kecil-kecilan dengan sokongan guru seninya.

Pernah berkongsi foto dirinya mengenakan seluar jeans bercorak kartun kegemarannya, Betty Boop yang dilukis sendiri di Instagram, Farah turut menghasilkan pelbagai karya termasuk lukisan pada kasut sebelum beralih kepada resin art.

“Saya memang suka mengumpul bahan-bahan seni. Kalau pergi pusat beli-belah, orang lain masuk kedai pakaian atau perabot, saya pula akan mencari kedai seni. Arwah suami saya, Pitt Hanif pun tahu adakala pukul 2 atau 3 pagi saya akan berkarya.

Lebih menarik, menantu kepada pelakon, Farah melihat seni sebagai satu bentuk terapi yang sukar digantikan dengan perkara lain. Ada kalanya, ketika orang lain sedang lena dibuai mimpi, dia masih tekun menghasilkan karya sehingga lewat pagi.

“Apabila kita menghasilkan sesuatu dalam keadaan tenang dan ikhlas, orang bukan sahaja nampak hasilnya cantik, tetapi mereka dapat merasakan aura dan emosi yang ada pada karya tersebut.

“Sebab itu ada kalanya saya rasa karya itu biasa sahaja, tetapi orang lain sangat menyukainya,” tambahnya.

Walaupun jadual lakonannya kini semakin padat, menantu kepada seniwati, Datuk Fauziah Nawi masih menerima tempahan daripada pelanggan yang setia menantikan sentuhan kreatifnya.

“Ramai pelanggan memahami keadaan saya. Ada yang sanggup menunggu kerana mereka mahukan sentuhan saya pada hasil karya tersebut. Bagi mereka, itu yang lebih penting,” katanya.

Bagaimanapun, Farah turut berharap masyarakat lebih menghargai nilai seni tempatan yang sering disalah erti sebagai mahal tanpa sebab.

Katanya, harga sesebuah karya bukan hanya ditentukan oleh kos bahan semata-mata, sebaliknya melibatkan kreativiti, masa, pengalaman dan emosi yang dicurahkan oleh pengkarya.

“Harga karya seni bukan hanya bergantung kepada bahan yang digunakan. Selain bahan, ia melibatkan kreativiti, idea dan masa yang dicurahkan. Ramai orang hanya melihat harga kanvas, warna atau bahan mentah.

“Tetapi mereka tidak nampak nilai kreativiti yang ada di sebalik sesuatu karya. Kreativiti dan rasa itu tidak boleh dibeli. Setiap individu melihat sesuatu daripada perspektif yang berbeza dan itulah yang menjadikan seni begitu bernilai,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN