KUALA LUMPUR : YouTuber Indonesia, Frans Sanjaya bersama seorang pekerja muzium dikenali sebagai Sadan tampil memohon maaf selepas kenyataan mereka mengenai siri animasi Upin & Ipin mencetuskan kekeliruan dalam kalangan rakyat Malaysia dan Indonesia.
Permohonan maaf itu dibuat menerusi sebuah video yang dimuat naik di YouTube selepas kedua-duanya dikecam susulan dakwaan berkaitan hak cipta siri animasi popular tersebut.
“Kami ingin memohon maaf sebesar-besarnya kepada rakyat Malaysia dan Indonesia atas salah faham dan kekeliruan yang telah kami timbulkan.
“Kami mengakui kenyataan yang dikeluarkan adalah satu kekhilafan dan sama sekali tidak berniat untuk menuntut hak atau merendahkan mana-mana pihak.
“Kami berharap kesalahan ini dapat dimaafkan dan marilah kita berdamai kerana Indonesia dan Malaysia ialah negara serumpun dan berjiran,” kata mereka.
Terdahulu, tular video memaparkan Frans ketika mengunjungi Muzium Wayang di Indonesia bersama Sadan.
Dalam video tersebut, Sadan mendakwa hak cipta karakter Upin & Ipin yang didakwa asalnya bernama Ariffin telah dibeli oleh sebuah syarikat produksi Malaysia pada tahun 2008.
Dakwaan itu bagaimanapun disangkal Les’ Copaque yang menegaskan siri animasi berkenaan merupakan karya asli milik syarikat itu sepenuhnya.
Untuk rekod, Upin & Ipin mula diterbitkan pada tahun 2007 dan kekal popular di seluruh Asia Tenggara termasuk Malaysia serta Indonesia.










