Dalam dunia lakonan, persaingan di hadapan kamera bukan lagi sesuatu yang asing. Ada yang terlalu ghairah mahu menyerlah sehingga terlupa bahawa sesebuah naskhah tidak akan bernyawa tanpa keserasian seluruh pasukan.
Namun bagi pelakon terkenal, Zul Ariffin, populariti dan status sebagai pelakon utama bukan tiket untuk mendominasi set penggambaran atau ‘memakan’ rakan pelakon lain demi kelihatan lebih hebat di layar.
Sebaliknya, Zul memilih untuk membina suasana kerja yang lebih matang dan profesional dengan meletakkan rasa hormat sesama pelakon sebagai keutamaan.
Baginya, industri seni bukan sekadar tempat mencari perhatian, tetapi ruang untuk semua orang berkembang bersama-sama.
Menurut Zul, pengalaman pernah bergelar pelakon baharu membuatkan dia lebih memahami tekanan dan rasa gugup apabila perlu bergandingan dengan pelakon senior.
“Saya memang tidak suka budaya pelakon ‘makan’ pelakon lain sejak dahulu lagi. Saya lebih selesa bekerja secara kolaboratif kerana saya mahu membina hubungan kerja yang panjang dengan semua pelakon.
“Dalam projek filem The Furious: Pertaruhan Maruah, saya bekerja dengan Ikmal Amry dan Sky Iskandar yang masih baharu. Sebelum ini pun saya banyak digandingkan dengan pelakon muda dan muka baharu.
“Saya sendiri pernah berada di tempat mereka suatu ketika dahulu. Saya tahu bagaimana rasanya. Sebab itu saya berjanji dengan diri sendiri, jika suatu hari nanti saya menjadi pelakon senior, saya tidak mahu melayan pelakon baharu seperti mana yang pernah saya alami,” katanya.
Tambah Zul, dia percaya setiap pelakon mempunyai peranan tersendiri dan tidak perlu bersaing secara tidak sihat semata-mata untuk menonjolkan diri di hadapan kamera.
“Kalau ada pelakon yang terlalu mahu menonjol atau cuba ‘makan’ pelakon lain, sebenarnya tidak sukar untuk membalas semula. Namun akhirnya suasana kerja menjadi janggal.
“Penonton melihat kita sebagai satu pasukan. Jika seseorang itu terlalu mahu menyerlah seorang diri, pada saya dia bukan seorang ‘team player’.
“Saya pernah melalui pengalaman bekerja dengan individu seperti itu. Jadi saya akan ingat cara mereka bekerja, walaupun saya tidaklah memandang serong,” ujarnya.

Mengulas pengalamannya berhadapan dengan pelakon senior yang terlalu dominan ketika awal pembabitannya dalam industri, Zul berkata dia lebih memilih untuk berdiam diri daripada melayan ego.
“Saya okey sahaja. Kalau dia mahu sangat, saya biarkan sahaja. Saya tidak suka melawan ego orang, lebih-lebih lagi apabila melibatkan lelaki kerana selalunya akan berlaku pertembungan ego.
“Kalau dia mahu semua perhatian, silakan. Kalau mahu ‘spotlight’ semua terarah kepada dia pun tidak mengapa. Bagi saya, terpulanglah.
“Saya lebih suka bekerja dalam suasana yang tenang. Apabila selesai bekerja, saya hanya mahu pulang dan berehat,” katanya.
Dalam masa sama, Zul turut berkongsi caranya mendekati pelakon baharu yang selalunya hadir dengan perasaan gementar apabila bergandingan dengan pelakon senior.
“Perasaan gugup itu normal. Saya dahulu pun pernah rasa perkara yang sama apabila berlakon dengan senior.
“Sebab itu saya suka bergurau dan berbual dengan mereka untuk mencairkan suasana. Tidak perlu tunggu pelakon junior datang terlebih dahulu. Sebagai senior, kita sendiri boleh mulakan perbualan supaya mereka rasa lebih selesa.
“Apabila suasana di set selesa, hasil lakonan juga akan jadi lebih baik kerana semua orang dapat memberikan komitmen tanpa rasa tertekan,” katanya.
Menurut Zul lagi, seseorang pelakon tidak perlu membawa imej ‘hero’ di luar set penggambaran hanya kerana memegang watak utama dalam sesebuah naskhah.
“Kalau dalam drama atau filem kita pegang watak hero, tidak perlulah terbawa-bawa sikap itu dalam kehidupan sebenar.
“Kita cuma memainkan watak utama dalam cerita, jadi tidak perlu terlalu berlagak atau mahu dilayan istimewa,” katanya sambil ketawa.










