Tidak layak digelar komposer jika guna AI cipta lagu - Hazama - Utusan Malaysia

Tidak layak digelar komposer jika guna AI cipta lagu – Hazama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kecerdasan buatan (AI) bukan lagi sesuatu yang asing dalam industri muzik hari ini. Dengan hanya beberapa ayat arahan, sebuah lagu lengkap kini boleh dihasilkan dalam beberapa minit sahaja.

Persoalannya, adakah individu yang menghasilkan lagu menggunakan AI layak digelar sebagai komposer dalam erti kata sebenar?

Bagi penyanyi dan komposer, Hazama atau Hazama Ahmad Azmi, jawapan kepada persoalan itu cukup jelas. Seorang komposer sepatutnya menghasilkan karya berdasarkan ilham dan sentuhan sendiri, bukannya bergantung sepenuhnya kepada sistem teknologi itu.

“Seorang komposer mesti menyumbang daripada segi melodi melalui instrumen. Tidak kiralah gitar, piano atau vokal, melodi itu mesti datang daripada ilham sendiri. Jadi, bila siapa yang buat kaedah sebegitu, orang itu layak digelar komposer.

“Sekiranya kita membuat lagu melalui penerangan yang kita tulis dan kita letakkan dalam platform itu, saya rasa mereka tidak boleh dianggap sebagai komposer kerana lagu yang dicipta adalah melalui deskripsi, bukannya melalui instrumen.

“Jadi, saya rasa AI itu yang patut dianggap komposer, bukan individu yang menulis deskripsi untuk sebuah lagu yang dijana oleh AI. Sekurang-kurangnya, mesti datang ilham dan idea daripada intelektual diri bukannya intelektual AI,” ujarnya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.

Selain itu, Hazama turut menjelaskan bahawa terdapat perbezaan yang jelas antara komposisi muzik yang lahir daripada idea manusia dengan hasil yang dijana sepenuhnya oleh AI. 

“Bagi saya, komposisi melalui AI, mereka tidak akan jumpa reka bentuk bunyi kerana semua menggunakan platform yang sama dan mereka akan dapat bunyi gitar ataupun melodi yang lebih kurang sama juga.

“Elemen kejutan dan keunikan dalam sesebuah karya semakin berkurang dan menyebabkan muzik menjadi lebih seragam dan kurang mempunyai identiti tersendiri. Ini boleh menjadikan industri muzik kurang warna,” katanya.

Jelasnya, jawapan kepada keperluan teknologi ini dalam kerjaya peribadinya juga amat jelas. Sebagai pengkarya yang sekian lama mengalirkan keringat di pentas seni, dia melihat tiada ruang mendesak untuk jiwanya berpaling kepada kecerdasan buatan.

“Secara peribadi, saya rasa ia tidak penting kerana tanpa bantuan teknologi tersebut, saya masih mampu mencipta atau memproduksikan sebuah lagu. Saya mengatakan sebegini kerana AI diciptakan untuk membantu bukan untuk bergantung.

“Mungkin AI ini penting bagi sesetengah orang. Kalau kita gunakan AI untuk lagu iklan, mungkin AI ini boleh membantu kerana reka bentuk bunyinya sesuai untuk lagu iklan,” jelasnya.

Tambah Hazama lagi, lagu-lagu arus perdana tidak dapat dihasilkan oleh AI disebabkan lagu-lagu ini memerlukan panduan yang jelas beserta dengan konsep yang betul.

“Tetapi, untuk lagu-lagu arus perdana seperti pop, lagu-lagu popular yang perlukan konsep yang tersusun, saya merasakan AI tidak mampu menjana lagu-lagu sebegitu. Bagi saya, komposer–komposer lain akan merasakan perkara yang sama dengan pendapat saya kerana mengubah lagu tidak akan sama sekiranya menggunakan AI,” ujarnya.

Bagaimanapun, dia sendiri juga pernah meluangkan masa meneliti keupayaan teknologi kecerdasan buatan ini demi melihat sejauh mana ia mampu pergi. Hasilnya, lagu ciptaan AI terasa kosong kerana ia tidak mempunyai perasaan seperti lagu yang dihasilkan oleh manusia.

“Saya pernah meluangkan masa untuk mendengar sendiri hasil ciptaan AI. Saya dapati perjalanan melodi daripada AI tidak mempunyai rasa kerana tiada rasa sentuhan manusia di situ. Dia bukan anugerah yang sempurna daripada Tuhan.

“Bagi saya, manusia adalah sebaik-baik ciptaan di dunia ini dan bukan AI. Saya tidak menidakkan teknologi itu harus berkembang. Ia penting sekiranya kita gunakan teknologi tersebut untuk membantu,” tambahnya.

Dalam pada itu, dia melihat ada garis pemisah yang ketara antara penyanyi baharu dengan pejuang seni generasi terdahulu.

“Apa yang tiada pada generasi dalam industri muzik dahulu adalah teknologi. Tapi disebabkan kekurangan itu, saya rasa di situ mereka lebih kreatif. Mereka berjaya membentuk karakter serta reka bentuk bunyi tersendiri kerana gemar bereksperimen dengan bunyi. Itu yang membezakan mereka.

“Pada zaman sekarang, kıta tidak boleh menidakkan teknologi itu daripada membantu. Kita perlu ambil tahu juga. Tapi, lebih baik jika teknologi itu digunakan oleh orang tahu berkarya,” ujarnya.

Tambah Hazama, jika ketelitian generasi lama disuntik dengan kemudahan hari ini, ia pasti mampu membawa industri muzik tempatan ke tahap yang lebih tinggi.

“Bayangkan jika anak seni zaman dahulu dibekalkan dengan kemudahan teknologi sehebat sekarang, saya rasa industri muzik Malaysia sudah lama maju,” katanya. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN