JERANTUT: Kira-kira 2,000 penduduk dua buah kampung di Ulu Tembeling di sini kecewa kerana kerap mengalami gangguan talian telekomunikasi, sejak beberapa tahun lalu.
Penduduk Kampung Pagi dan Kampung Kuala Sat mendakwa, talian telefon dan internet kerap terputus antara satu hingga tujuh jam sehingga menyukarkan mereka berhubung dengan saudara-mara dan rakan di luar, termasuk mengakses maklumat.
Penduduk Kampung Pagi, Mi Hamidi Nipah, 57, berkata, boleh dikatakan setiap hari berlaku gangguan talian telefon dan internet di penempatan mereka.
“Tempoh gangguan sehingga satu jam, malah pernah sampai separuh hari sehingga menyusahkan penduduk dan pelancong untuk berhubung termasuk melayari internet.
“Senario ini juga dihadapi oleh guru sekolah rendah dan petugas klinik kesihatan di sini untuk berhubung dengan jabatan masing-masing termasuk penggunaan internet,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mi Hamidi yang juga imam masjid kampung itu memohon pihak berwajib menyelesaikan masalah itu termasuk kerap membuat pemeriksaan di menara berhampiran.
Seorang lagi penduduk, Khairul Azuan Muhamad, 43, berkata, Ulu Tembeling sepatutnya sudah membangun kerana kebanyakan penduduk memiliki peranti serta komputer riva, selain kehadiran ramai pelancong.
“Pihak berwajib perlu kerap memeriksa pencawang termasuk menaik taraf kemudahan ini supaya gangguan tidak berulang,” katanya. – UTUSAN










