PETALING JAYA: Menyimpan trauma yang masih berbekas, anak kepada pelakon, Ani Mayuni, Wirda Viviana Zairi mengakui dirinya mengambil masa yang lama untuk mendedahkan kisah pahitnya dibuli di sekolah dahulu.
Menurut Vivian, perkara itu masih segar dalam ingatannya biarpun kini dirinya sudah berusia 21 tahun dan gembira menjalani kehidupan seperti biasa.
“Saya yakin ramai sudah tengok podcast Kita Kita Je berkenaan saya dibuli. Percayalah ambil masa bertahun untuk saya bukak cerita ini sebab masih segar dalam ingatan saya,” katanya di Threads.
Dalam masa sama, Viviana enggan mendedahkan identiti pembuli terbabit, selain menjelaskan perkongsian menerusi audio siar yang dikendalikan oleh pengacara, Datuk Aznil Haji Nawawi itu sekadar untuk menyebarkan kesedaran.
“Tetapi Alhamdulillah, ada hikmah di sebalik semua yang berlaku. Saya tidak dedah nama pembuli sebab bagi saya cukuplah hanya saya dan orang sekeliling saya sahaja yang tahu, sekadar kesedaran untuk semua orang. Katakan tidak pada buli.
“Bukan An Najwa yang buli ya. Kak Aqilah itu pula adalah orang yang selamatkan saya pada malam itu. Tidak lupa juga dua orang kawan baik saya yang sanggup ke depan untuk tolong saya,” tegasnya.
Sebelum ini, tular potongan sebuah audio siar anak kepada pelakon itu mendedahkan dirinya teruk dibuli oleh pelajar senior pada usianya tingkatan empat.
“Saya ingat sampai sekarang, ada seorang kakak ini (Aqilah) dia tarik saya. Budak tingkatan empat bergaduh dengan budak tingkatan lima. Dia seorang saja yang datang dekat saya dan tarik terus sebab dia nampak saya dalam keadaan lemah,” kongsinya.
Dakwa peserta Talk To My Manager Musim Kedua itu, dirinya dibuli tanpa rasa simpati sehingga lemah, selain menerima pelbagai kata-kata cacian dari pelaku.
“Tangan saya dipegang seperti dalam keadaan salib dan kaki pun diikat. Tak cukup dengan itu, selepas itu rambut saya ditarik. Dia kata, ‘Bangunlah bodoh! Kau tak payah nak buat-buat lemah, kau lari kuat pula’,” jelasnya.
Tidak mampu menahan emosi, Ani yang gagal menahan air matanya meluahkan kemarahannya terhadap pelaku yang membuli anak sulungnya itu.
“Dia cerita macam tu dekat saya. Saya geram, saya rasa nak jumpa setiap budak-budak nak tampar seorang-seorang,” ujarnya.










