MANILA: Polis menahan seorang individu berkaitan insiden tembakan di dalam Senat Filipina semalam, lokasi seorang ahli politik yang dikehendaki oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sedang berlindung.
Insiden tembakan itu tidak menyebabkan sebarang kecederaan dan berlaku ketika Senator yang juga bekas ketua polis negara, Ronald Dela Rosa berlindung di bangunan legislatif tersebut.
Setakat ini belum jelas berapa ramai suspek terlibat dan pihak berkuasa Filipina berkata, siasatan masih dijalankan.
“Suspek ditahan di kawasan kejadian, di tingkat dua bangunan Senat,” kata jurucakap polis Filipina, Brigadier Jeneral Randulf Tuano kepada pemberita.
Polis merampas peluru hidup daripada lelaki tersebut, yang sedang diuji untuk kesan serbuk letupan senjata api.
Setiausaha Dalam Negeri, Juanito Victor Remulla berkata, pengawal keselamatan Senat telah melepaskan tembakan amaran ke arah beberapa individu bersenjata tidak dikenali yang naik ke tangga bangunan Senat.
Penyerang kemudian melepaskan tembakan ke udara sebelum melarikan diri, manakala para senator termasuk Dela Rosa yang dikehendaki telah mengunci diri di dalam pejabat masing-masing.
Dela Rosa berlindung di Senat bagi mengelak penahanan berdasarkan waran ICC atas kes jenayah terhadap kemanusiaan iaitu pembunuhan.
Dela Rosa, dikenali sebagai ‘Bato’, pernah menjadi Ketua Polis Negara dari 2016 hingga 2018 semasa fasa awal kempen anti-dadah bekas Presiden, Rodrigo Duterte.
Kempen tersebut menyebabkan ribuan kematian, ramai daripadanya pengguna dadah dan pengedar kecil, menurut pemerhati hak asasi manusia.
Duterte, telah ditahan pada Mac tahun lalu, diterbangkan ke The Hague pada hari yang sama dan kini ditahan di sana sementara menunggu perbicaraan.-AFP










