Shiha Zikir masih dalam industri kerana Sharifah Aini - Utusan Malaysia

Shiha Zikir masih dalam industri kerana Sharifah Aini

KUALA LUMPUR 30 APRIL 2026 - Penyanyi, Shiha Zikir pada sidang akhbar konsert A Tribute to Sharifah Aini di Hotel Traders di sini hari ini. / M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bertuah pernah menjadi anak didik penyanyi lagenda, Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Shiha Zikir mengakui dirinya berbesar hati untuk menyumbang suara di Konsert A Tribute to Sharifah Aini yang bakal berlangsung pada 6 Jun ini.

Menurut Shiha, keperibadian tegas dan penyayang yang dipamerkan oleh Biduanita Negara yang dipanggil ‘umi’ itu merupakan asbab terbesar dirinya masih kukuh berdiri di dalam industri seni sehingga kini.

“Saya bertuah dapat belajar dengan arwah umi. Sampai ke akhir hayat beliau saya ada bersamanya. Beliau seorang yang sangat tegas dan penyayang. Antara sebab saya di sini kerana semangatnya. 

“Kalau tidak, saya rasa saya tidak akan berada dalam industri sehingga hari ini. Banyak fasa naik turun yang saya lalui itu tidak mudah untuk ditempuhi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ditatang persis anak sendiri, Shiha mengakui momen indah bersama Allahyarham membuatkan dirinya tidak kuat untuk mendendangkan semula lagu-lagu beliau seperti Bunga Putih Untuk Mama dan Bunga Tanjung di pentas gah itu.

Kata Shiha, lagu-lagu yang bakal disampaikan itu nanti cukup berat untuk disampaikan, bahkan dirinya bimbang gagal menahan air mata di hadapan ribuan penonton nanti. 

“Terlampau banyak kenangan manis bersama umi yang saya ingat sehingga kini. Umi layan saya seperti anak sendiri.  Ketika saya dipelawa untuk menyanyi di konsert tribute itu nanti, selepas mendengar demo, saya teresak-esak menangis.

“Saya bimbang saya tidak mampu sampaikan lagu arwah dengan baik. Saya takut saya tidak mampu bawakan lagu umi di pentas nanti. Tetapi saya bangga saya dipilih untuk membawakan lagunya. 

“Malah, saya rasa cukup bertuah dapat berada sepentas dengan penyanyi hebat seperti Datuk Khadijah Ibrahim dan Salamiah Hassan. Apa yang saya boleh janjikan adalah saya akan cuba dendangkan lagu-lagu umi dengan baik nanti,” kongsinya. 

Selain Shiha, konsert A Tribute to Sharifah Aini yang akan berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas itu turut dibarisi barisan penyanyi hebat seperti, Datuk Khadijah Ibrahim, Salamiah Hassan dan Asmidar.

Pesanan Allahyarham 

Sementara itu, penyanyi yang berusia 39 tahun itu mengakui pembawakan dirinya dalam industri hiburan hari ini adalah hasil daripada pesanan yang pernah dititipkan oleh Allahyarham Sharifah Aini.

“Selain daripada ibu bapa, pesanan-pesanan beliau membuatkan saya bersyukur kerana masih kekal dalam industri. Beliau banyak mengajar saya menjadi seorang wanita yang kental hati dan mental. Dia jadikan kisah hidupnya sebagai rujukan. 

“Dia sudah hadap macam-macam seperti fitnah dan sebagainya. Tetapi dia ajar saya untuk buat hal sendiri dan jadi orang yang baik serta berserah pada Allah.

“Beliau seorang wanita yang sangat kuat dan berdikari. Jadi keperibadian itu juga saya cuba lakukan apa saja dalam industri dengan bersungguh-sungguh kerana perjalanan seni saya tidaklah sehebat yang lain,” jelasnya.

Tambah Shiha, antara pesanan Allahyarham yang masih diamalkan sehingga kini adalah berkaitan cara pengurusan kewangan agar kehidupan lebih terjamin di masa sukar. 

“Pesanan arwah kalau mahu jadi orang berjaya kena berkorban. Dia juga ajar saya supaya membuat simpanan sebanyak 50 peratus daripada hasil titik peluh yang saya terima. 

“Dia pesan jangan boros kerana dulu saya seorang yang begitu. Saya cuba buat apa yang dipesan dan akhirnya saya dapat rasa kemanisan itu ketika Covid 19. 

“Dan saya masih amalkan perkara itu sehingga kini. Pada saya, setiap rezeki yang hadir itu bukan semuanya untuk kita. Sebahagiannya saya akn kongsikan dengan staf saya.

“Saya rasa seronok dapat kongsi rezeki dengan orang. Ramai saja yang kata 50 peratus itu nilainya banyak. Tetapi saya bersyukur kerana pada waktu sukar itu saya boleh bantu orang sekeliling kita,” kongsinya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN