Nar’sata: Sekutu Setan sebuah filem benar-benar ke depan dengan babak-babak keterlaluan. Empat lelaki memperkosa Balqis (Trisha Ooi) secara bergilir-gilir, sambil merakamkan momen ‘terhina’ itu merupakan babak paling mencuri tumpuan.
Untuk menjayakan babak itu, pelakon perlu bersedia. Dan disebabkan persediaan yang rapi maka setiap babak dijayakan dengan sebaiknya.
Salah seorang pelakon, Dai Fuad tidak mengambil masa panjang sebelum ditawarkan karakter Duka dalam filem berkenaan.
Malah, keserasian tercipta antara Fadlan Hazim, Imranul Effendy, Khenobu dan Aniq Suhair pada hari pertama penggambaran membuatkan mereka mendapat gelaran The Boys oleh pengarah iaitu Pierre Andre.
“Pertama sekali, saya harus berterima kasih kepada The Boys kerana memberi keserasian yang semula jadi dalam filem ini.
“Kami ‘blend in’ sejak hari pertama lagi. Gelaran The Boys itu diberikan kepada kami kerana pengarah nampak keserasian itu.
“Babak-babak membabitkan kami pun berlaku secara semula jadi, kelima-lima pelakon saling membantu sesama sendiri,” katanya sempena malam gala filem tersebut baru-baru ini.
Ditanya mengenai keluar masuk watak, Dai Fuad memaklumkan memang berlaku perkara itu tetapi tidak hebat seperti filem yang pernah dilakonkannya.
“Setiap pelakon ada tahap ‘kejahatan’ yang berbeza-beza. Karakter saya memang meninggalkan sedikit rasa bersalah.
“Tambahan pula saya ini pelakon baharu dan masih belajar bagaimana untuk keluarkan watak.
“Tapi untuk filem ini, tidaklah sukar (mengeluarkan watak) berbanding projek-projek lain.
“Tenaga yang dikeluarkan sangat positif, jadi tak adalah kita pulang dengan terbawa-bawa karakter ke rumah,” ujarnya.

BERBEZA BIDANG
Dai Fuad merupakan graduan undang-undang yang menamatkan pembelajaran tetapi tidak meneruskan cita-cita bergelar peguam.
Ditanya sebab memilih bidang lakonan berbanding guaman, beliau memetik pesanan yang ditinggalkan rakan industri sebagai azimat kehidupan.
“Saya sudah menghabiskan pengajian cuma belum ada rezeki untuk bekerja di lapangan.
“Pernah ada satu masa, orang tidak kenal siapa saya. Jadi, masa itu saya terfikir kenapa tidak jadi peguam sahaja sedangkan syarat menjadi peguam sudah cukup.
“Tapi saya pegang nasihat, jangan mudah putus asa. Nasihat itu saya terima dari ramai kenalan termasuk pelakon dan pengarah.
“Lakonan ini banyak penolakan, ia satu bidang yang agak keras. Sehingga tahun lepas, projek yang bermakna itu mulai datang kepada saya,” ujarnya.
Dalam pada itu, dia tidak merancang untuk menukar nama walaupun ramai yang beranggapan dirinya seorang yang warak dengan disebab perkataan Dai pada hadapan namanya
“Agak janggal, sebab gelaran Da’ie itu adalah keramat dan tinggi. Pada awalnya memang sedikit pelik. Namun lama -kelamaan saya akan betulkan jika ada yang tersilap.
“Mereka tidak menjadikan gelaran da’ie itu satu isu. Apatah lagi sekarang ini makin berkurangan kerana tak ramai panggil saya da’ie berbanding dulu,” kongsinya.










